Wednesday, September 30, 2009

Lawatan ke Sekolah Bestari

Lawatan ke Sekolah Bestari Seri Bintang Selatan telah diadakan pada 1 Oktober 2009.
















Monday, September 28, 2009

Kursus Bestari 4M 28 Sept - 23 Okt. 2009

30 Sept. 2009 Rabu

Kuliah hari ini disampaikan oleh Pn. Padlon binti Abd. Rahman
Isinya berkaitan tentang 'Penghayatan Amalan P&P Bestari':

-P&P Bestari
berpusat murid
murid menjadi berminat dan aktif
guru sebagai pembimbing
penerapan nilai-nilai

Bagi sesi kedua Pn.Sarimah binti Hj Awang meneruskan kuliah tentang 'Penghayatan Amalan P&P Bestari'.
segala urusan dengan Pn. Sarimah mesti melalui e-mail: intan5169@yahoo.com


Pada sebelah petang En. Mohd Yusof bin Shamsuddin meminta kami membuat satu induksi set tentang tajuk 'Sambutan Hari Jadi'.

29 Sept. 2009 Selasa

Hari ini kuliah diteruskan lagi. Tajuknya 'Penelitian Elemen P&P Bestari'. Bermula pada pukul 8:00 pagi dan tamat pada pukul 1:00 tengah hari. Sebanyak empat elemen yang perlu diambil perhatian dalam P&P Bestari iaitu:
1.Ciri-ciri pelajar
2.Pendekatan
3.Strategi, dan
4.Kemahiran Generik
Kuliah disampaikan oleh Dr. Roshani binti Abdullah

Pada sebelah petangnya pula, kami diberi taklimat tentang satu kaedah membaca yang terbaru iaitu 'Photoreading'. Kaedah ini dikatakan berkesan untuk memperolehi ilmu dengan kadar yang cepat dan berkesan. Kuliah disampaikan dalam Bahasa Inggeris. Aku tak dapat apa-apa la...hampas je... sebab aku tak mahir Bahasa Inggeris.


Pemandangan di Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Bahasa Melayu

28 Sept. 2009 Isnin

Hari ini bermulalah kehidupan saya selama sebulan di Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Bahasa Melayu di Lembah Pantai Kuala Lumpur. Untuk hari-hari berikut ini terpaksalah melalui kehidupan sebagai pelajar yang bergelumang dengan kuliah.

Walaupun agak perit rasanya untuk menamatkan kursus ini, namun aku tetap akan berusaha mengharunginya. Ah...berbagai perasaan bercampur baur, teringat anak-anak yang ditinggalkan, teringatkan anak-anak murid yang terpaksa berhadapan dengan guru-guru ganti. Entah diajar atau hanya ditunggu sahaja anak murid saya tu.

Di sini aku ditempatkan di bilik asrama. Tidak seperti berkursus di hotel yang serba lengkap... di sini hanya disediakan bilik yang ala kadar sahaja. Tapi syukurlah ada juga tempat untuk berteduh selama sebulan. ... semoga saya berjaya dalam kursus ini dan mendapat ilmu yang dapat dimanfaatkan apabila pulang ke sekolah nanti.

Saturday, September 26, 2009

Bersantai D'Teluk Cempedak

Bersama anak keempat Muhammad Khairul Rasyid

Bersama anak ketiga Muhammad Firdaus

Pada hari raya kedua, saya sekeluarga telah beraya di rumah abang di Indrapura, Kuantan.
Kesempatan ini telah saya gunakan untuk membawa anak-anak bersantai di Pantai Teluk Cempedak.

Pantai Teluk Cempedak mempunyai pemandangan yang indah dan menarik, pasirnya putih melandai dan airnya jernih menjadikan anak-anak begitu teruja bermain di gigi air.

Nak mandi tak dapat kerana tak bawa pakaian untuk mandi. Jadi duduk melepak je la. Hari itu macam berada di tepi pantai di negara seberang... tak tahulah mengapa ramai sangat warga seberang berkampung di sini... tak dapat balik kampung lah tu.

Saturday, September 19, 2009

Bakar Lemang


Seperti biasa apabila menjelang hari terakhir Ramadan, kami sekeluarga akan membantu Wan membakar lemang. Petang tadi, sekali lagi kami membakar lemang.

Pada tahun ni tak banyak lemang yang Wan buat... hanya 8 batang sahaja. Cukuplah tu.
Buat banyak-banyak pun nanti tak termakan, dah jadi membazir pula.

Di bulan puasa ni, main kat tepi api...huh tergugat juga iman. Perit rasanya tekak ni.
Apa pun demi meraikan Syawal yang bakal menjelma kuharungi juga kepanasan itu. Akhirnya berjaya juga lemang itu masak. He..he..he..Besok pagi bolehlah kami makan lemang tu sama-sama.

Friday, September 18, 2009

Kepulangan

Bila tibanya hari raya, maka berbondong-bondonglah warga perantau akan pulang ke kampung halaman untuk menyambut hari lembaran bersama ibu bapa, sanak saudara dan sahabat handai yang sudah lama tidak bertemu. Biasanya di hari lembaran inilah mereka semua akan berkumpul kerana di waktu inilah mereka akan pulang ke kampung halaman.

Bagi saya, sudah masuk tahun ke-5, saya sekeluarga akan beraya di Temerloh, Pahang. Sejak arwah ibu saya meninggal pada tahun 2003, saya tidak pernah lagi beraya di kampung halaman iaitu di Simpang Lima, Sungai Besar, selangor.

Saya sekeluarga telah pulang ke Temerloh pada 18 September 2009. Pada pukul 9.00 pagi kami telah memulakan perjalanan. tidak banyak destinasi yang kami singgah kerana puasa. Kami hanya singgah di Stesyen Petronas di Tanjung Karang untuk membeli roti dan air kerana Si Firdaus dan Si Rasyid tu dah kelaparan. Kemudian kami meneruskan perjalanan.

Kali ini saya memilih untuk menggunakan lebuh raya sepanjang perjalanan kerana tidak mahu melalui jalan lama iaitu Jalan Karak - Temerloh takut sesak. Di Lebuh Raya Pantai Timur, kami berehat sebentar di R & R Lanchang. Kami tiba di Temerloh lebih kurang pukul 1.00 tengah hari. Bandar Temerloh sesak ... kami sangkut di situ. Alhamdulillah, akhirnya kami selamat sampai di Kampung Tanjung Batu, Seberang Temerloh, kampung halaman isteri saya.

Thursday, September 17, 2009

Monday, September 14, 2009

Hanya Kad Pengganti Diri


Di kesempatan ini saya sekeluarga mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri kepada semua muslimin dan muslimat. Kepada kawan-kawan, saudara-mara dan sahabat-handai diucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri, Maaf zahir dan batin

Daripada:
Zainon Abidin bin Musa
Robiah binti Romli
Muhammad Zaid
Muhammad Khairul Aiman
Muhammad Firdaus
Muhammad Khairul Rasyid

Sunday, September 13, 2009

Dam...dam.. dum...


Dam...dam...dum... terkenang semasa kecil, apabila musim bulan puasa... kami geng bebudak akan sibuk bermain mercun dan meriam. Tiada gangguan dan teguran daripada golongan tua atau mak bapak.

Yang peliknya, walaupun semua kanak-kanak boleh dikatakan akan bermain mercun dan meriam...tetapi tak terdengar pula ada yang putus jari atau tercedera di mana-mana anggota. Mungkin kami ni main dengan penuh disiplin dan tak tahu nak kreatif sangat.

Tapi kini...itu semua tinggal kenangan. Di zaman anak-anak saya nie... bukannya mereka tak teringin nak main itu semua. Jauh di lubuk hati mereka, begitu teruja untuk turut bermain. Larangan yang dibuat oleh pihak kerajaan menjadikan saya tidak dapat untuk memenuhi hasrat mereka... sabar ajela...

Bermacam alasan dah saya bagi pada anak saya yang keciltu...asyik-asyik minta belikan mercun. Bagi alasan nanti kena tangkap dek polis...dia akan jawab budak lain tu main, tak kena tangkap pun. Mati kutulah macam ni...memanglah di kejiranan saya ni pantang malam menjelma je...teruslah dengar bunyi dam...dam...dum..

Mereka semua mungkin tak tahu bahawa bermain mercun tu satu kesalahan di sisi undang-undang. Mak bapak mereka pun nampaknya tak kisah. Yang paling pelik tu polis yang duduk di pondok komuniti ni tak pernah nak tegur ... memahami jiwa bebudak le tu.

Apa pun... untuk tak menghampakan...nanti ayah belikan mercun pop..pop. Kira ok la tu...

Saturday, September 12, 2009

Friday, September 11, 2009

Jualan Mega Datang Lagi...


Seperti tahun lepas jualan mega musim perayaan datang lagi. Setiap kedai berlumba-lumba menawarkan potongan harga. Ada yang menawarkan sehingga 70 % dan 80 % potongan harga. Bagi kita sebagai pengguna, berlumba-lumba untuk memenuhi tuntutan hawa nafsu. Jika apa yang kita beli itu merupakan barang yang perlu tidaklah mengapa tetapi ada juga barang yang kita tidak perlu...tetapi kita tetap membelinya.

Semakin ke penghujung Ramadan, semakin rancak kita menghabiskan masa digedung-gedung membeli belah. Demi satu tujuan, memenuhi impian untuk meraikan Syawal yang lebih ceria.

Sama ada sedar atau tidak, kita mungkin terlupa di penghujung Ramadan ini juga ada satu lagi tawaran yang lebih besar... iaitu satu malam yang sangat istimewa...Lailatul Qadar. Sesiapa yang membeli pada malam ini akan diberi hadiah yang cukup istimewa bukan sekadar 70 atau 80 % potongan tetapi sehingga seribu bulan atau lebih kurang 83 tahun. Wah, ganjaran yang cukup istimewa!

Tetapi...sejauh manakah kita berlumba-lumba untuk mengejar jualan istimewa yang diberi oleh Allah swt ini. Jualan yang mana satukah yang menjadi rebutan kita... di gedung membeli belah atau malam LailatulQadar. Lu fikirlah sendiri kata Nabil Si Raja Lawak.

Tuesday, September 8, 2009

UPSR...Oh..UPSR


Setelah enam tahun menumpukan perhatian terhadap pengajaran guru, hari ini perjuangan pelajar tahun enam akan diuji dengan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah atau nama manjanya UPSR. Bermula 8 hingga 10 September 2009, kira-kira 517 908 orang murid tahun enam akan menduduki ujian tersebut di seluruh negara.

Diharap segala hasil usaha mereka akan membuahkan hasil '5A'. Selamat berjaya.

Monday, September 7, 2009

Andainya Aku Tahu ... Ini Ramadan Terakhirku...


Andai aku tahu ini Ramadan terakhirku... tentu siangnya aku akan sibuk berzikir, tentu aku tak akan jemu melagukan syair rindu mendayu, merayu kepada-Nya, Tuhan yang satu. tentu solat akan kukerjakan di awal waktu dengan penuh khusyuk dan tawadhuk. Tubuh dan kalbu akan bersatu memperhambakan diri menghadap Rabbul Jalil dan menangisi kecurangan janji. Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanya kepada-Mu Allah Tuhan sekalian alam.

Andainya aku tahu ini Ramadan terakhirku... tidak akan aku sia-siakan walau sesaat yang berlalu ... setiap saat tidak akan kubiarkan begitu sahaja. Di setiap kesempatan juga masa yang terluang akan kualunkan ayat-ayat suci-Mu.

Andainya aku tahu ini Ramadan terakhirku... tentu malamnya aku sibukkan dengan bertarawih, berqiamullail, bertahajjud mengadu dan merintih memohon belas kasih-Mu. Tuhanku... aku tidak layak untuk masuk ke syurga-Mu, namun aku tidak upaya menanggung siksa api neraka-Mu, terima taubatku dan ampunkanlah dosa-dosaku.

Andainya aku tahu ini Ramadan terakhirku... tentu diriku tidak akan melupakan mereka yang tersayang. Mari kita meriahkan Ramadan ... kita buru, kita cari dan kita tunggu suatu malam idaman yang lebih baik dari seribu bulan.

Andainya aku tahu ini Ramadan terakhirku... tentu aku bakal menyediakan batin dan zahir mempersiapkan diri, rohani dan jasmaniku, menanti dan menunggu jemputan Izrail, di kiri dan kanan lorong-lorong redha ar-Rahman.

Duhai Ilahi... andainya ini Ramadan terakhir buat aku...jadilah ia Ramadan paling bererti, paling berseri, menerangi kegelapan hati menyeru ke jalan menuju redha dan kasih sayang-Mu ya Rabbi. Semoga kebaikan mewarnai kehidupan di sana nanti... Namun tidak akan ada manusia yang akan mengetahui adakah Ramadan ini merupakan yang terakhir bagi dirinya. Yang termampu bagi diriku hanyalah berusaha, bersedia dan meminta belas daripada-Nya.

Semoga Ramadan kali ini memberi aku seribu erti dalam kehidupan, insan yang sentiasa mencari pedoman dan cahaya hidup bagi meneruskan sisa-sisa kehidupan ini.

Thursday, September 3, 2009

Ramadan Kau datang Lagi...


Masa berlalu begitu cepat. Kini kita telah memasuki fasa kedua Ramadan. Di fasa pertama Allah telah menjanjikan rahmatnya untuk orang-orang yang berpuasa. Semoga kita termasuk di dalam golongan yang diberi rahmat oleh Allah swt.

Pada fasa kedua ini, Allah menjanjikan keampunan kepada hamba-hambanya yang berpuasa.
Justeru itu, marilah kita berdoa dan memohon kepada-Nya agar kita termasuk di dalam kalangan hamba-Nya yang diberi pengampunan. Bertafakurlah sejenak ... ahh... begitu banyak dosa-dosa yang memburu kita. Sama ada sedar atau tidak, setiap insan pasti terpalit dengan dosa... kalau pun bukan kita yang melakukannya ... mungkin isteri atau anak-anak kita. Sebagai pemimpin dalam keluarga, kita pasti akan dipertanggungjawabkan di atas apa yang dilakukan oleh mereka.

Hari ini 16 Ramadan... bermakna empat hari lagi, kita akan memasuki fasa yang terakhir. Di sinilah Allah menjanjikan pembebasan daripada siksaan api neraka. Alangkah beruntungnya... kalau kita termasuk salah seorang daripada kalangan hamba-Nya yang dibebaskan daripada siksaan api neraka.

Tapi... di hari-hari terakhir begini, kita semakin berat untuk melakukan ibadat. Lihatlah ... masjid dan surau tidak sepenuh seperti di awal-awal Ramadan. Belum sebulan puasa, nafsu kita semakin ghairah untuk meraikan kedatangan Syawal. Tidak salah... tapi biarlah berpada.

Di sepuluh malam terakhir ini, dikatakan akan datang tetamu yang cukup bermakna iaitu malam seribu rahmat lailatul kadar yang lebih baik dari seribu bulan. Sudah hampir setengah abad aku mengharungi bulan Ramadan... aku masih tidak pasti ... sudahkah aku menemui malam penuh berkat itu. Moga-moga tahun ini aku dapat menemuinya kerana aku tidak pasti sama ada aku akan bertemu lagi atau tidak pada Ramadan 1431.