Friday, April 30, 2010

Sejarah Hari Pekerja

Bagi kebanyakan orang yang bekerja, sambutam Hari Pekerja atau Hari Buruh bermakna hari untuk bercuti dan berehat bersama keluarga dan teman.

Namun, tidak ramai yang tahu sejarah di sebalik kewujudan cuti umum ini yang diraikan bukan sahaja di Malaysia, malah di seluruh dunia pada tanggal 1 Mei setiap tahun.

Hari Buruh sebenarnya bermula pada musim bunga tahun 1872 apabila pemimpin buruh Amerika Syarikat, Peter McGuire, mengetuai 100 000 pekerja yang tidak berpuas hati dengan masa kerja yang panjang dan upah yang murah.

Mereka mengadakan mogok dan berarak di jalan raya untuk menuntut supaya masa kerja yang tidak menentu dikurangkan dan ditetapkan kepada lapan jam sehari.

Tanggal 5 September 1882, menandakan perarakan hari pekerja pertama diadakan di New York di mana seramai 20 000 pekerja menyertai perarakan tersebut dengan slogan 'lapan jam kerja, lapan jam rehat, lapan jam rekreasi'.

McGuire mencadangkan supaya pekerja di Amerika Syarikat diberi cuti umum setiap Isnin pertama bulan September, iaitu tarikh Hari Pekerja yang disambut di Amerika Syarikat dan Kanada sehingga hari ini.

Pada 1 Mei 1886, 400 000 pekerja di Amerika Syarikat mengadakan demontrasi besar-besaran untuk memendekkan masa kerja. Demontrasi berakhir dengan kematian apabila menjadi mangsa kekerasan pasukan polis.

Selepas peristiwa hitam itu, Kongres Sosialis Dunia, pada Julai 1889, mengisytiharkan 1 Mei sebagai Hari Pekerja Sedunia dan menuntut semua negara menggubal akta supaya waktu kerja ditetapkan kepada lapan jam sehari.

Di Malaysia Hari Pekerja mula disambut dan diumumkan sebagai cuti umum pada 1972 oleh Timbalan Perdana Menteri pada masa itu, Tun Dr Ismail Abdul Rahman.

Dipetik dari sumber asal : akhbar Sinar Harian 1 Mei 2010.

Thursday, April 22, 2010

SK Seri Makmur Juara Hoki (L) MSSD Sabak Bernam


Kejayaan Pasukan Perempuan menjadi juara semalam telah diikuti pula oleh Pasukan Lelaki pada hari ini. 22 April 2010, SK Seri Makmur sebagai tuan rumah terus unggul. Hari ini Pasukan Hoki Lelaki telah menjadi juara setelah mengalahkan pasukan SK Panchang Bedena dengan jaringan 2 - 0.

Perlawanan yang begitu mendebarkan itu turut disaksikan oleh Penolong Pegawai Pendidikan Daerah iaitu En. Saroni bin Tasuki. En Saroni juga turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang.

Semoga kejayaan pasukan hoki ini akan berkekalan pada masa hadapan. Syabas dan tahniah kepada dua orang jurulatih yang tidak jemu melatih pasukan hoki SK Seri Makmur iaitu Pn. Meizratul Chew binti Abdullah dan En. Yasin bin Erang.

Kepada pelajar yang terpilih bagi menwakili daerah Sabak Bernam, diucapkan selamat berjuang dan selamat berjaya.

Wednesday, April 21, 2010

SK Seri Makmur Juara Hoki (P) MSSD Sabak Bernam

Barisan pemain yang telah mengharumkan nama sekolah...

Tahniah diucapkan kepada pasukan hoki perempuan SK Seri Makmur kerana telah muncul sebagai juara dalam Pertandingan Hoki Perempuan MSSD Sabak Bernam.

Pertandingan yang berlangsung pada 21 April 2010 di Padang SK Seri Makmur disertai oleh lima buah sekolah. Selaku tuan rumah SK Seri Makmur telah bermain bermati-matian untuk muncul sebagai juara setelah mendapat tentangan sengit daripada pasukan SK Simpang Lima.

Guru Besar SK Seri Makmur Puan Hajjah Sariah binti Sidek telah menyampaikan hadiah kepada para pemenang.

Berikut adalah kedudukan setelah tamat liga tersebut:

1. SK Seri Makmur
2. SK Simpang Lima
3. SK Seri Mawar
4. SK Seri Utama
5. SK Seri Sekinchan

Tahniah diucapkan kepada semua yang terlibat menjayakan temasya tersebut dan ucapan tahniah juga diucapkan kepada jurulatih pasukan SK Seri Makmur iaitu Puan Meizratul Chew binti Abdullah dan En. Mohd Yasin bin Erang. Semoga pasukan hoki lelaki yang akan berjuang esok 22 April 2010 akan menurut jejak pasukan perempuan.

Monday, April 19, 2010

SK Seri Makmur Tuan Rumah Hoki MSSD Sabak Bernam

SK Seri Makmur telah dipertanggungjawabkan sebagai tuan rumah bagi mengendalikan Pertandingan Hoki MSSD Daerah Sabak Bernam 2010. Pertandingan tersebut akan berlangsung selama dua hari iaitu pada 21 April 2010 sehingga 22 April 2010.

Semoga pertandingan ini dapat berjalan dengan lancar dan berjaya. Yang penting semoga keadaan cuaca akan sentiasa cerah tanpa kehadiran hujan lebat kerana jika berlaku hujan lebat, maka sistem pengaliran air di padang SK Seri Makmur tidak mampu untuk mengeringkan air tersebut dengan serta merta.

Kepada pasukan yang bakal bertanding..diucapkan dapat mempamerkan aksi yang terbaik dan penuh semangat kesukanan. Akhirnya diucapkan selamat berjuang kepada pasukan hoki SK Seri Makmur di bawah jurulatih Cikgu Meizratul Chew Abdullah dan Cikgu Mohd Yasin Erang.

Friday, April 16, 2010

Temasya Olahraga MSSD Daerah Sabak Bernam


Temasya Olahraga MSSD Daerah Sabak Bernam telah berlangsung selama 2 hari bermula dari 12 April sehingga 13 April 2010 yang lalu. Temasya ini berlansung di Stadium Sabak Bernam.

SK Seri Makmur telah menghantar 4 orang peserta bagi menyertai 4 acara. Dua orang atlit lelaki menyertai acara 100 meter dan 200 meter. Begitu juga dengan atlit perempuan, mereka juga menyertai acara 100 meter dan 200 meter.
Peserta dari SK Seri Makmur dari kiri Mohd Nabil Nafiz, Muhammad Aizat, Nor Izzati dan Nursyazwani.

Hasil usaha selama dua hari tersebut, kami membawa pulang dua butir pingat iaitu pingat perak bagi acara 100 meter lelaki dan pingat gangsa dalam acara 200 meter melalui pelari Muhammad Aizat bin Zulaili.


Adik Muhammad Aizat telah terpilih mewakili Daerah Sabak Bernam dalam acara olahraga ini. Pertandingan peringkat negeri akan berlangsung di Stadium Kelana Jaya, Kelana Jaya, Petaling Jaya. Semoga kontinjen Sabak Bernam memperolehi kejayaan yang memberangsangkan dalam temasya tersebut yang bakal berlangsung pada 20 hingga 24 April 2010 nanti.

Bertemu dengan kawan lama dari SK Pasir Panjang.

Friday, April 9, 2010

Ehhh..ehhh...baru aku tahu...

9 April 2010, Jumaat- Seperti minggu-minggu yang berlalu, aku melaksanakan solat Jumaat di Masjid Makmuriah Sungai Besar. Tapi apa yang menarik perhatian saya pada khutbah pada hari ini ialah tentang tajuknya iaitu 'Pengamal Rasuah Pengkhianat Negara'.

Saya cuba memahami segala isi khutbah yang mengupas isu rasuah ini...ah...begitu menarik dan mantap. Siap dengan dalil dari beberapa ayat Al-Quran. Ingin saya kongsi beberapa intipati dari khutbah tersebut:

Jika masalah rasuah ini terus meningkat, dikhuatiri ia akan mengancam kestabilan politik, ekonomi dan keselamatan negara.

Rasuah dalam perspektif hukum Islam adalah haram dan mereka yang melakukan rasuah sama ada pemberi, penerima atau bersubahat adalah dianggap perompak harta rakyat.

Punca yang menyebabkan berlakunya rasuah ialah bernafsu besar atau bersifat tamak haloba, mengamalkan cara hidup mewah, ingin cepat kaya dan terikut-ikut dengan gaya rakan sekerja.

Justeru buruknya kesan kepada negara apabila rasuah bermaharajalela, maka khatib menyeru agar aktiviti rasuah ini dapat diperangi secara serius.

Ooooo barulah kita tahu yang sebenarnya yang menjadi pengkhianat negara ialah pengamal rasuah. Bukan apa, cuma saya agak terpelik dan terhairan sedikit, kerana beberapa hari sebelum ini, ada sebuah parti politik tu...buat ceramah di Pekan Pasir Panjang yang mengupas tajuk 'Selamatkan Malaysia dari Pengkhianat'. Tetapi apa yang dihuraikan dalam pidatonya tak sentuh pun bab perasuah sebagai pengkhianat negara.

Heee...he.... lain orang , lain pula takrif mereka tentang siapa pengkhianat negara yang sebenarnya.... Ah.....lu fikirlah sendiri. Jadi jika ada yang mendengar huraian dari kedua-dua pihak, maka gunakanlah akal fikiran yang Allah kurniakan ini untuk berfikir dan menilai berlandaskan ajaran agama kita ... bukan disebabkan kebencian kita terhadap sesuatu kaum itu menyebabkan kita tidak berlaku adil kepada mereka.

Empat hari kemudian, sebuah lagi parti politik telah membuat ceramah di Pasir Panjang. Kali ini penceramahnya menjawab semula apa yang disampaikan oleh penceramah sebelumnya.

Apa-apa pun, aku tetap layan semuanya....tahniah Ezam...Tahniah Nizar...yang penting aku tetap aku ... peminat setia Sup Gear Box he..he..he...he..yang mudah diperolehi di tempat ceramah, Titik.

Thursday, April 8, 2010

Berkongsi Ilmu



7 April 2010 Selasa - SK Seri Makmur telah didatangi oleh sekumpulan pelawat dari SK Ulu Yam Baru, Hulu Selangor. Rombongan seramai 6 orang ini terdiri daripada Guru Besar, YDP PIBG dan guru-guru Tahun 6.

Tujuan kunjungan ini adalah bagi berkongsi ilmu bagi meningkatkan pencapaian SK Ulu Yam Baru terutama dalam pencapaian 5A UPSR. SK Seri Makmur dipilih kerana suasana antara SK ULu Yam Baru dan SK Seri Makmur hampir sama, sama ada dari segi kedudukan di luar bandar mahupun enrolmen muridnya.

Sepanjang lawatan ini ahli rombongan diberi taklimat oleh Guru Besar Puan Hjh Sariah Sidek dan barisan Pentadbir. Mereka dibawa melawat ke Tahun 6 hingga ke Prasekolah. Segala perancangan dan strategi yang dijalankan oleh SK Seri Makmur dalam mengekalkan bilangan murid yang mencapai 5A telah dikongsikan bersama.

Akhirnya pihak SK Seri Makmur mengucapkan terima kasih kerana sudi memilih sekolah ini untuk dikongsi ilmu dan semoga lawatan ini akan mencapai objektif yang dihasratkan.

Barisan GPK sibuk melayan pertanyaan daripada rakan dari SK Ulu Yam Baru

Melawat ke Prasekolah

Sila lah.. makanlah apa yang ada.

Saturday, April 3, 2010

Eh...Tak Sangka Pulak...

Kenangan bersama Sahizam (Kiri) dan Anuar(Kanan) di hadapan rumah guru di Tembangau 2.
Seperti pagi-pagi yang sebelumnya...sepanjang percutian baru-baru ini saya akan ke pasar Temerloh. Pagi 19 Mac 2010, tanpa disangka-sangka saya telah terserempak dengan kawan yang telah 18 tahun berpisah.

Sedang saya membeli ikan, saya telah ditegur...terpandang sahaja wajahnya, terpancul dari mulut saya "macam kenal je.." Dia membalas, "Apa pulak tak kenalnya...sambil memanggil nama saya".

Itulah rakan saya Sahizam Johar yang saya kenali 20 tahun dahulu ketika sama-sama berkhidmat di SK Felda Tembangau 1, Kemayan, Triang , Pahang. Saya bersembang panjang, bertanya itu dan ini, ah..Sahizam langsung tak beri peluang saya bercakap...memang mulutnya begitu tak kan kering dengan idea sejak dahulu lagi.

Kami bergebang di salah sebuah warung, di pinggiran pasar. Bermacam cerita keluar...dari kisah anak isteri sampailah ke kisah kejayaan kawan-kawan. Sahizam memulakan tugas sebagai guru selepas 3 tahun saya berada di Tembangau. Dia telah menghabiskan 18 tahun berkhidmat di Tembangau...bermula di SK LKTP Tembangau 1.Kemudian beliau menyambungkan pelajaran dan ditempatkan semula di SMK Tembangau yang ketika itu baru dibuka dan menumpang di SK LKTP Tembangau 1 sebanyak 4 kelas.

Kini beliau telah berpindah ke salah sebuah sekolah menengah di bandar Mentakab sebagai Guru Penolong Kanan. Itulah rezeki kawan-kawan di negeri Pahang, ramai yang telah berjaya menjawat jawatan GPK dan GB walaupun tempoh perkhidmatan bawah daripada saya.

Dari ceritanya, saya dimaklumkan kedudukan kawan-kawan yang sama-sama tinggal di rumah guru Felda Tembangau 2 ( rumah peneroka yang dijadikan rumah guru)

Idris...sudah berhenti menjadi guru, kini bertugas sebagai pegawai di Kementerian Pengajian Tinggi.

Sarudin... menjadi pegawai di Pejabat Pendidikan Daerah Bera

Darwazi Wahid...menjadi Guru Besar di salah sebuah sekolah di Bera.

Anuar yang berasal dari Melaka ni...katanya tak mahu balik Melaka dan mengajar di salah sebuah sekolah menengah di Bera setelah begitu lama mengajar di SMK Felda Bukit Mendi.

Itulah serba sedikit cerita yang saya peroleh...emmm, mungkin cuti akan datang saya akan berkunjung ke rumahnya di Taman Bukit Bendera, Mentakab. Berkenalan dengan anak-anaknya..termasuklah isterinya Cikgu Norhayati yang sama-sama mengajar di SK Felda Tembangau 1 bersama saya dahulu.

Barisan guru SK LKTP Tembangau 1 tahun 1991. Kamilah barisan guru yang dianggap sebagai peneroka awal sebab pada waktu itu Gugusan Felda Tembangau baru dibuka. Kami berkhidmat di sini tanpa kemudahan elektrik, bekalan air paip dan perkhidmatan telefon jangan haraplah. Bas nak ke Bahau pun 3 kali sehari. Ambil gaji di Bahau Negeri Sembilan. Kalau sakit pun kena pergi Hospital Kuala Pilah Negeri Sembilan. Lima tahun saya mengharung perit getir demi anak bangsa. Mandi pun air periga yang berwarna merah...

Yang istimewanya...kehidupan kami guru-guru bagaikan satu keluarga, kerana semuanya tinggal setempat dan dalam masyarakat yang tertutup terputus dari dunia luar. Segala urusan kena ke Negeri Sembilan sebab bandar terdekat Triang jauhnya hampir 70 kilometer berbanding bandar Bahau sejauh 56 kilometer.

Friday, April 2, 2010

Detik 2 April 1966

Detik 2 April 1966 - ketika aku menangis keseorangan, di sekelilingku terdengar keriuhan keriangan daripada kedua ibu bapaku serta abang dan kakakku. Mereka begitu teruja menyambut orang baru yang mendapat nombor keahlian yang ke-7.

Detik 2 April 2010 - Ketika ini usiaku telah memanjat ke-44 tahun. Ini bermakna aku semakin hampir untuk menuju ke arah-Nya Tuhan Rabul Jalil. Sesekali ku cuba menoleh ke belakang...menggamit memori yang telah ketinggalkan...ah, penuh dengan suka dan duka. Selama 44 tahun yang kulalui...kecuba menghitung-hitung bekalan yang bakalku bawa. Aduh...rasanya belum mampu untuk aku menuju ke sana...dengan bekalan yang kurasa masih tidak seberapa.

Tuhan....dibaki usia ini, kau bantulah aku untuk beristiqamah menurut segala suruhan-Mu dan meninggalkan segala larangan-Mu. Kau jadikanlah hidupku pada hari ini lebih baik dari semalam...dan esok akan lebih baik dari hari ini.

Tuhan, aku tidak layak masuk ke Syurga-Mu...tetapi aku tidak sanggup menahan siksa api Neraka-Mu. Ya...Allah, ampunkan dosa-dosaku.....

Ya..Allah, Ya, Tuhanku....janganlah Kau-biarkan aku tersungkur di pintu Syurga-Mu.