Tuesday, June 29, 2010

Selamat Datang Pn Hajjah Hasnah Maruan


29 Jun 2010- Selasa, Hari ini SK Seri Makmur menerima kehadiran Guru Besar baru. Beliau ialah Pn Hajjah Hasnah binti Maruan. Warga SK Seri Makmur mengucapkan selamat datang kepada beliau.

Sebelum ini Pn Hajjah Hasnah merupakan Guru Besar SK Sungai Tengar, Sungai Air Tawar, Sabak Bernam.

Harapan kami, Puan Hajjah Hasnah gembira bertugas di sini dan seterusnya dapat terus memacu kecemerlangan SK Seri Makmur sesuai dengan VISI SK Seri Makmur 'SK Seri Makmur Cemerlang 2010'

Selamat bertugas....

Sunday, June 27, 2010

Mesyuarat Agung KOSPEP Tahun 2010

27.6.2010 ( Ahad) - Hari ini telah berlangsung Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi Serbaguna Perkhidmatan Pendidikan Sabak Bernam Berhad (KOSPEP) kali ke - 25. Mesyuarat ini berlangsung di Dewan Tun Abdul Razak, Sabak Bernam, Selangor. Lebih kurang 782 orang ahli telah hadir pada kali ini. Mesyuarat ini dirasmikan oleh Penolong Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Wilayah Sabak Bernam/Kuala Selangor.

Beberapa perkara baru telah dicadangkan dalam mesyuarat kali ini iaitu:

Satu cadangan agar KOSPEP memberi sagu hati kepada ahli yang pergi menunaikan fardu haji sebanyak RM500.00 telah dipersetujui sebulat suara.

Cadangan dari Ahli Lembaga Koperasi untuk memberhentikan potongan dana pendidikan sebanyak RM10.00 mulai bulan Oktober 2010 juga dipersetujui sebulat suara. Hal ini dilakukan kerana dana pendidikan kini telah mencecah 0.75 juta ringgit dan mencukupi untuk keperluan ahli. Bagi ahli yang mempunyai anak yang masuk ke universiti bolehlah memohon pinjaman dana pendidikan ini sebanyak RM3000.00 bagi setiap anak. Pinjaman ini perlu dibayar balik tanpa dikenakan sebarang faedah.

Bagi dividen pada tahun 2009, koperasi akan membayar mulai 1 Ogos 2010. Pada tahun 2009, KOSPEP telah membayar sebanyak 10 % dividen kepada ahli. Jumlah ini berkurangan jika dibandingkan dengan dividen sebelum ini di mana dividen KOSPEP tidak pernah kurang daripada 15%. Mungkin kelembapan ekonomi memaksa KOSPEP mengurangkan dividen tersebut. Namun begitu jumlah tersebut masih tinggi jika dibandingkan dengan dividen dari institusi lain.

Semoga KOSPEP terus maju dan berjaya pada masa hadapan dan seterusnya dapat memberi perkhidmatan yang terbaik kepada semua ahli. Kepada guru-guru yang berkhidmat di Sabak Bernam yang masih belum menjadi ahli...bertindaklah sekarang dengan menjadi ahli...banyak kebaikan yang kita perolehi daripadanya.

Monday, June 21, 2010

Pupuslah Spesies Kita...


21 Jun 2010, Hari ini sedang saya menghabiskan masa rehat di makmal komputer, saya terdengar sayup-sayup ngomelan Ustaz Nizam iaitu Penyelaras Bestari SK Seri Makmur....Pupuslah spesies kita, katanya. Lantas saya pertanya, Kenapa?

Oh...rupa-rupanya, Ustaz Burhanuddin Bahari bakal meninggalkan kami semua. Beliau telah mendapat surat pertukaran ke Daerah Gombak. Ya..la, kalau begitu memang spesies lelaki akan pupus di SK Seri Makmur...sebab baru tiga minggu lepas Ustaz Khozyn pindah...dan hari ini Ustaz Burhanuddin pula pindah.

Walau apapun, kami mengucapkan selamat jalan kepada Ustaz Burhan di atas perpindahan ini. Walaupun hasratnya hendak kembali ke negeri kelahirannya..Kelantan tidak tercapai, namun sekurang-kurangnya perpindahan ke Gombak sedikit memudahkannya berulang-alik ke Kelantan.

Ya..la...memang perit rasanya, jika terpaksa berjauhan dengan isteri. Beliau bertugas di Selangor, manakala isteri pula bertugas di Kelantan. Dah lebih setahun beliau terpaksa berulang-alik. Bukan sedikit masa, tenaga dan kewangan yang terpaksa dikorbankan.

Akhirnya didoakan agar Ustaz Burhanuddin sentiasa cemerlang dan dapat melaksanakan tanggungjawab sebagai pendidik dengan gembira dan ceria.

Sunday, June 20, 2010

Ya...huu..UPSR Mansuh....??????


Kementerian Pelajaran membayangkan kemungkinan akan memansuhkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di masa hadapan. Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata beliau melihat ada kewajaran untuk berbuat demikian kerana aspek pembelajaran ketika ini dilihat lebih berorientasikan kepada peperiksaan sehingga tujuan utama untuk memberikan pendidikan holistik tidak dapat dilakukan sepenuhnya.

Beliau juga berkata, peperiksaan UPSR mungkin akan diteruskan tetapi sebagai penilaian pencapaian pelajar di peringkat sekolah sahaja dan bukannya sebagai peperiksaan awam.

Apa-apa pun, segala keputusan yang akan diambil, perlu mendapat pandangan semua pihak terutama daripada kalangan yang terlibat dalam bidang pelajaran. Bagi saya, apa yang baik itu perlu disokong...sebagai guru yang pernah mengajar di Tahun 6 selama berbelas tahun...saya dapat rasai, apa yang dirasai oleh guru-guru Tahun 6 sekarang.

Saturday, June 5, 2010

Program Teknik Menjawab Soalan UPSR 2010


Selama dua hari bermula dari 5 Jun hingga 6 Jun 2010, murid-murid Tahun 6 SK Seri Makmur akan berada di hujung daerah Sabak Bernam bagi mengikuti Program Teknik Menjawab Soalan UPSR 2010.
Murid-murid berkumpul di tapak perhimpunan sebelum bertolak ke ILDAS.

Seramai lebih kurang 210 murid akan didedahkan dengan teknik menjawab soalan UPSR oleh tenaga penceramah yang diundang khas mengikut kepakaran mata pelajaran masing-masing.

Bertempat di Institut Latihan dan Dakwah Selangor (ILDAS)di Sungai Lang Sungai Air Tawar, murid-murid diharap dapat memberi perhatian dan fokus terhadap program yang dilaksanakan. Dengan suasana nyaman dan terhindar daripada hiruk-pikuk, bolehlah murid-murid memberi perhatian terhadap segala tunjuk ajar guru-guru nanti.

Tidak ketinggalan, slot motivasi juga turut dimuatkan pada sebelah malam bagi menyegarkan semula semangat murid-murid untuk terus mengekalkan kecemerlangan. Dengan kos sebanyak RM55.00 bagi seorang murid ini, diharap program ini memberi impak yang diharapkan.

Sekalung tahniah kepada semua guru tahun 6 yang sentiasa berusaha demi menjana kecemerlangan untuk para pelajar. Teruskan usaha murni anda ini. SK Seri Makmur Cemerlang 2010.

Thursday, June 3, 2010

Majlis Perpisahan Ustaz Khozyn Afif @ Arif


Seorang lagi guru SK Seri Makmur melangkah pergi. Petang ini 3 Jun 2010, satu perhimpunan tergempar telah diadakan bagi meraikan Ustaz Khozyn Afif yang bakal meninggalkan SK Seri Makmur.

Permohonan pertukaran beliau telah berjaya. Pada 1 Jun 2010 beliau telah melaporkan diri di sekolah barunya iaitu SK Sultan Idris 2, Kuala Kangsar. Setelah empat tahun setengah berkhidmat di SK Seri Makmur dan selama itulah juga beliau terpaksa berjauhan dengan anak dan isteri, maka hari ini beliau akan meninggalkan SK Seri Makmur bersama pengalaman dan suka duka bersama warga di sini.

Segala pengorbanan berulang alik ke Kuala Kangsar saban minggu tidak lagi menjadi igauan. Namun begitu, beliau terpaksa pula berjauhan dengan kampung halamannya di Sepintas, Sabak Bernam.

Ustaz Khozyn Afif @ Arif menyampaikan ucapan terakhir di hadapan murid-murid.

En. Shaharudin Salihan mewakili guru-guru sesi petang menyampaikan cenderamata kepada Ustaz Khozyn.

Murid-murid juga tidak ketinggalan memberi cenderamata kepada Ustaz Khozyn.

Murid-murid mengambil kesempatan bersalam-salaman dengan Ustaz Khozyn.