Saturday, July 31, 2010

Giliran Kuning Si Bunga Matahari Mengungguli Temasya


31 Julai 2010 (Sabtu) - Kuning Si Bunga Matahari mengungguli Temasya Sukan Tahunan kali ke-39 SK Seri Makmur. Temasya yang berakhir pada pukul 12.45 tengah hari itu telah memahat kejayaan yang cemerlang bagi Kuning Si Bunga Matahari apabila diumumkan sebagai johan keseluruhan temasya pada kali ini. Diikuti tempat kedua oleh rumah Biru, ketiga rumah Hijau si Bunga Ros dan tempat keempat dimiliki oleh Merah si bunga Raya.

Bagi acara perbarisan Rumah Kuning telah menjadi johan, diikuti pasukan Prasekolah. Manakala hiasan rumah terbaik pula dimenangi oleh Rumah Merah.

Acara yang bermula pada pukul 8.30 pagi itu didahului dengan acara perbarisan lintas hormat oleh pasukan yang mengambil bahagian. Rumah Kuning menyemarakkan kekuningan bunga matahari manakala Prasekolah begitu comel dan bergaya dengan warna ungu si bunga anggerik.Selepas bacaan ikrar kejohanan yang diketuai oleh Ketua Murid adik Mohd Aiman, maka acara pun bermula.

Sepanjang kejohanan, pelbagai aksi telah dilihat. Melihat kesungguhan anak-anak didik berusaha dan berjuang untuk mendapat tempat pertama...sungguh mengujakan. Acara untuk ibu bapa turut diadakan. Sebagai menutup acara...tarik tali antara rumah menjadi tontonan.

Penutupan Rasmi Temasya Sukan kali ke-29 SK Seri Makmur telah disempurnakan oleh YDP PIBG SK Seri Makmur, En. Halim bin Masri. Temasya kali ini berjalan dengan lancar dalam keadaan padang dan cuaca yang begitu baik. Kepada pasukan yang berjaya diucapkan tahniah....dan kepada yang kalah diucapakan cuba lagi pada masa hadapan.
Rumah Merah Si Bunga Raya menjuarai hiasan rumah terbaik.
Perbarisan terbaik dirangkul oleh Kuning Si Bunga Matahari
Bacaan Ikrar Kejohanan diketuai oleh adik Mohd Aiman, Ketua Murid SK Seri Makmur
Tiup belon daripada murid Kelas Pendidikan Khas membuka gelanggang.
Acara Lari Berhalangan - Kelas Prasekolah
Lari Bawa Bola - Tahun 1
Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Sabak Bernam, En. Mokhtar Manijo menyampaikan hadiah kepada para pemenang.
Acara Lari Dalam Guni- Tahun 4
Acara Skiping - Tahun 5
Murid Tahun 6 bersedia untuk memulakan acara Lari Dalam Guni
Boling Padang- acara untuk kaum ibu dan bapa
Acara Tarik Tali terbuka mengakhir acara temasya ke-39. Aksi Rumah Merah.
Acara Tarik Tali- aksi Rumah Kuning
Berkumpul di tengah padang - Majlis Penutup
Majlis penutup
En. Halim bin Masri, YDP PIBG SK Seri Makmur merasmikan penutupan Temasya Sukan Tahunan kali ke-39 SK Seri Makmur.
Rumah Kuning diisytiharkan sebagai JUARA pada tahun ini...Tahniah.....
Merakam kenangan selepas selesai temasya.

Friday, July 30, 2010

Minat Melukis

Tahniah saya ucapkan kepada Juruteknik Makmal Komputer SK Seri Makmur kerana telah berjaya menyiapkan sebuah lukisan di penjuru dinding Makmal 1.

Walaupun mengamil masa sehingga 6 bulan, namun hasil kreatifnya cukup memuaskan. Memanglah masa yang diambil agak lama...kerana melukis ni bukan kerja utama beliau. Beliau hanya mencalit berus lukisan apabila ada kelapangan dan ada mood aje.

Semoga lebih banyak sudut akan dilukis oleh beliau nanti. Saya tetap menyokong usaha beliau nanti....emmmmm...maklumlah nak suruh saya melukis....jawabnya lukis orang jadi beruklah hasilnya...he...he..he..

Inilah hasil lukisan yang saya maksudkan...

Thursday, July 29, 2010

Selesai Dah Pra Sukan Tahunan 2010


29 Julai 2010, Alhamdulillah petang ini warga SK Seri Makmur sesi petang telah berjaya menjalankan Pra Sukan Tahunan 2010 dengan lancar tanpa sebarang masalah. Tahniah diucapkan kepada semua yang terlibat.

Sebanyak 6 acara akhir telah dijalankan pada petang ini. Keputusan yang agak seimbang antara setiap rumah menjadikan saingan semakin sengit. Namun rumah mana yang bakal menjadi juara hanya akan diketahui pada hari Sabtu 31 Julai 2010, apabila semua acara selesai dipertandingkan.

Berikut adalah keputusan yang dapat dicatatkan:

Bagi acara Senduk Bawa Bola Tenis Lelaki Tahun 1, tempat pertama Kuning, kedua Biru, Ketiga Merah, keempat Hijau. Begitu juga bagi acara Senduk Bawa Bola Tenis Perempuan Tahun 1, pertama Kuning, kedua Biru, ketiga Merah dan keempat Hijau.

Untuk acara Baling Pundi Kacang Lelaki Tahun 2, keputusannya pertama Biru, kedua Hijau, ketiga Merah dan keempat Kuning manakala bagi pasukan perempuan pula pertama Kuning, kedua Biru, ketiga Merah dan keempat Hijau.

Keputusan bagi acara Lari Kasut Besar Tahun 3 pula: Lelaki, pertama Biru, kedua Hijau, ketiga Merah dan keempat Kuning. Perempuan, pertama Hijau, kedua Kuning, ketiga Biru dan keempat Merah.

Antara gambar yang sempat dirakam:











Wednesday, July 28, 2010

Surat Jemputan Ke Sukan Tahunan SK Seri Makmur 2010

Di bawah ini disertakan surat siaran daripada pihak sekolah kepada ibu bapa penjaga SK Seri Makmur.

Bacalah sendiri:

Keputusan Pra Sukan Sesi Petang - Rabu

Petang 28 Julai 2010, kira-kira pukul 4.00 petang telah berlangsung Pra Sukan Sesi Petang. Sebanyak 6 acara akhir telah di pertandingkan. Turut hadir memeriahkan temasya ini ialah Tuan Guru Besar Puan Hajjah Hasnah binti Marwan, GPK Hal Ehwal Murid Puan Hajjah Rohaini binti Yaacob dan GPK Petang Puan Hajjah Nor Ayezati binti Awang.

Temasya berjalan lancar dalam keadaan cuaca redup dan tiupan angin petang yang menyegarkan.

Saksikan rakaman aksi sepanjang acara berlangsung:

Acara 1: Kutip pundi kacang lelaki Tahun 1


Pemenang acara kutip pundi kacang lelaki Tahun 1, pertama Kuning, kedua Biru, ketiga Merah dan keempat Hijau. Hadiah disampaikan oleh GPK Petang Pn Hajjah Nor Ayezati Awang.

Acara 2: Kutip pundi kacang perempuan Tahun 1.

Pemenang acara mengutip pundi kacang perempuan Tahun 1, pertama Merah, kedua Kuning, ketiga Biru, keempat Hijau. Semua pemenang menerima hadiah daripada GPK Petang Pn. Hjh Nor Ayezati Awang.

Acara 3: Leret Bola lelaki Tahun 2

Pemenang Leret bola lelaki Tahun 2, pertama Biru, kedua Merah, ketiga Hijau, keempat Kuning.

Acara 4: Leret Bola Perempuan Tahun 2

Pemenang acara Leret Bola perempuan Tahun 2, pertama Hijau, kedua Kuning, ketiga Biru dan keempat Merah. Hadiah disampaikan oleh Tuan Guru Besar Pn Hjh Hasnah binti Marwan.

Acara 5: Baling Gelung Dalam Skital lelaki Tahun 3.

Pemenang acara Baling gelung dalam skital lelaki, pertama Hijau, kedua Kuning, ketiga Merah dan keempat Biru. Hadiah disampaikan oleh Cikgu Rosli in Dasuki Ketua Guru Disiplin Sesi Petang.

Acara ^: Baling Gelung Dalam Skital perempuan Tahun 3.

Pemenang acara Baling Gelung Dalam Skital perempuan Tahun 3, pertama Biru, kedua Merah, ketiga kuning, keempat Hijau. Hadiah disampaikan oleh Pn Hjh Rohaini binti Yaakob GPK Hem SK Seri Makmur.

Monday, July 26, 2010

Pra Sukan Tahunan SK Seri Makmur 2010

Pra Sukan Tahunan SK Seri Makmur akan berlangsung pada 28 hingga 30 Julai 2010. ( Rabu hingga Jumaat).

Berikut adalah acara yang bakal dijalankan pada hari tersebut.

28 Julai 2010 (Rabu)

Tahap 2 : 8.00 pagi - 10.00 pagi /
Tahap 1 : 4.00 petang - 6.00 petang

1. Kutip pundi kacang lelaki/perempuan Tahun 1
2. Leret Bola lelaki/perempuan Tahun 2
3. Baling gelung dalam skital lelaki/perempuan Tahun 3
4. Lari bawa bola 3 biji lelaki/perempuan Tahun 4
5. Gelecek bola hoki lelaki/perempuan Tahun 5
6. Aiskrim gergasi lelaki/perempuan Tahun 6
7. Aiskrim gergasi pendidikan khas
8. Lari bawa bola Prasekolah

29 Julai 2010 (Khamis)
Tahap 2 : 8.00 pagi - 10.00 pagi
Tahap 1 : 4.00 petang - 6.00 petang

1. Senduk bawa bola tenis lelaki/ perempuan Tahun 1
2. Baling pundi kacang lelaki/perempuan Tahun 2
3. Lari kasut besar lelaki/perempuan Tahun 3
4. Leret 2 bola dengan gelung lelaki/perempuan Tahun 4
5. Aiskrim gergasi lelaki/perempuan Tahun 5
6. Gelecek bola hoki lelaki/perempuan Tahun 6
7. Kutip pundi kaacang Pendidikan Khas
8. Cucuk manik Prasekolah

30 Julai 2010 (Jumaat)
Tahap 2

1. Tarik Tali terbuka

Latihan perbarisan / raptai


Sebahagian acara lagi akan berlangsung pada 31 Julai 2010.

Kepada guru-guru SK Seri Makmur Sesi diucapkan selamat menjalankan tugas yang telah ditetapkan.

Saturday, July 24, 2010

Mengisi Masa ...Petang Sabtu

Petang Sabtu...24 Julai 2010, aku membawa keluarga ke Pesta Buku 2010. Jarak dari rumah ke Dewan Seri Bernam, hanya sekitar 2 kilometer. Tiba di dewan...sudah ramai orang yang berada di sana.

Kami meninjau-ninjau gerai jualan buku untuk mencari buku yang dikehendaki oleh anak-anak. Harga yang ditawarkan memang berpatutan dan ada buku yang dijual pada harga RM 1.00 sahaja. Selepas selesai membeli beberapa buah buku, kami pun meninggalkan kawasan pameran tersebut.

Kemudian kami singgah pula ke Dataran Tunggak Sepuluh. Satu majlis Perasmian Program 'Generasi Idamanan Negeri Selangor' sedang berlangsung. Di pentas utama...Dr Halimah Ali, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Modal Insan sedang menyampaikan ucapan. Program ini dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Selangor.

Kami melawat ke gerai-gerai pameran yang disediakan. Pelbagai gerai dari pelbagai agensi kerajaan dan swasta telah membuat pameran. Hadiran agak ramai. Anak-anak begitu asyik melihat jenis-jenis ayam 'selasih' yang dipamerkan di sebuah gerai. Memang jarang jumpa ayam jenis ini pada masa sekarang. Cantik dan berlainan daripada ayam-ayam yang pernah dilihat pada masa ini.

Selesai...kami keluar dari tempat program berlangsung. Ada juga kekawan lama yang saya jumpa. Saya membawa keluarga ke 'Arked Man' untuk mencari dan meninjau pakaian. Ada pakaian yang sesuai untuk anak-anak... terus beli untuk keperluan pada hari raya nanti.

Sebelum pulang...singgah di KFC untuk membasah tekak.

...Sabtu yang agak sibuk di Sungai Besar...mungkin ramai orang luar datang pada hujung minggu untuk membeli belah bagi menghadapi hari raya. Sungai Besar memang dikenali sebagai Syurga membeli belah terutama kepada kaum wanita...yang gilakan harga kain-kain yang agak murah....

Friday, July 23, 2010

Pesta Buku 2010

Pesta Buku 2010 akan diadakan seperti berikut:

Anjuran : Pejabat Pelajaran Daerah Sabak Bernam Dengan Kerja sama Pusat Kegiatan Guru Daerah dan CERDIK Publication.

Tarikh : 23 hingga 25 Julai 2010 ( Jumaat hingga Ahad).

Masa : 8:30 pagi hingga 10:00 malam.

Tempat : Dewan Seri Bernam, Sungai Besar, Selangor.

Aktiviti:

- Pameran & Jualan Buku

- Seminar Tingkatan 6

- Teka Silang kata ( Bahasa Melayu & Bahasa Inggeris )

- Pertandingan Melukis

- Pertandingan Mewarna

- Kuiz 1 Malaysia

- Pertandingan Membaca Lancar ( Bahasa Melayu & Bahasa Inggeris )

- Gerai Jualan Makanan dan Minuman

MEMBACA BUDAYA KITA

- Hadiah-hadiah menarik disediakan

- Cabutan Bertuah

Datanglah Beramai-ramai

...dipetik daripada jemputan yang diedar kepada murid-murid SK Seri Makmur.

Sunday, July 18, 2010

Memori...Julai.....

Hari ini aku cuba mengingat kembali peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam bulan Julai dalam kehidupanku.

1 Julai 1985 (Isnin)
Pada hari ini aku memulakan langkah awal memasuki dunia pendidikan. Hari ini, aku melaporkan diri sebagai guru pelatih di Maktab Perguruan Seri Kota, Jalan Kuantan, Kuala Lumpur. Aku bersama lebih kurang 140 orang pelatih lain, merupakan ambilan kedua pada tahun itu. Pada ketika itu, pengambilan memasuki maktab perguruan dua kali setahun iaitu pada bulan Januari dan Julai.




Aku ditempatkan dalam kumpulan Mentor B/85/2. Bagi kohort ke-2 ini, hanya ada 5 orang sahaja pelatih Melayu lelaki. Mungkin faktor gaji yang kecil pada ketika itu, menyebabkan kaum lelaki tidak berminat menceburkan diri dalam dunia pendidikan. Lima lelaki dipecahkan pula kepada lima kumpulan....ah...lagilah membosankan...terkontang-kantinglah kami keseorangan dalam kelas. Abdullah Abdul Razak rakanku dari Besut Terengganu dalam kumpulan A, Aku...satu-satunya pelatih lelaki dari Selangor ditempatkan dalam kumpulan B, Abdul Aziz Koya Kutty dari Kuala Terengganu dalam kumpulan C, Mohd Zaidi Omar dari Kuala Berang Terengganu dalam kumpulan D dan Abdul Wahab Awang dari Kuala Terengganu dalam kumpulan E. Kesemua kami dilantik sebagai ketua kumpulan dalam kumpulan masing-masing.

Maka hiduplah kami selama tiga tahun dalam dunia yang di kelilingi oleh pelatih perempuan. Namun begitu, kami semua tinggal serumah kecuali Abdul Aziz yang tinggal bersama pelatih dari pantai barat. Dari sinilah aku mengenali dunia orang pantai timur...dari makanannya hinggalah aku dapat menguasai pertuturan mereka.

1 Julai 1988 (Jumaat)
Aku melangkah setapak lagi dalam dunia pendidikan. Setelah berjaya menamatkan pengajian di Maktab Perguruan Seri Kota, kini aku ditempatkan di SK (LKTP) Tembangau 1, Kemayan, Triang , Pahang. Aku sepatutnya melaporkan diri pada 1 Julai 1988...namun kesukaran mencari sekolah menyebabkan aku terlewat melapor diri. Aku hanya melapor diri pada 4 Julai 1988.



Kalau diikutkan alamat sekolah...tak sangkalah pula jalan masuk ke felda ini terpaksa mengikuti Negeri Sembilan. Walaupun sekolah ini terletak di negeri Pahang, tetapi untuk masuk ke situ adalah melalui Bahau...Serting...dan barulah masuk ke Tembangau. Tiada jalan masuk dari negeri Pahang.

Hiduplah aku selama lebih kurang 4 tahun setengah di sini. Masyarakatnya tertutup dari dunia luar. Tiada bekalan air paip, tiada api elektrik, tiada jalan tar. Ah...sukarnya aku menyesuaikan diri. Tiga tahun hidup di Kuala Lumpur....tiba-tiba terpaksa pula hidup dalam dunia yang sukar. Mandi di kolam yang airnya berwarna merah, tak dapat nak menonton televisyen, bila hari hujan terpaksa meredah jalan tanah merah yang berselut...cukup mencabar.

Namun begitu, kehidupan di sini begitu akrab. Semua guru tinggal setempat. Kami bagaikan sebuah keluarga yang besar. Beberapa buah rumah peneroka telah dijadikan sebagai rumah guru. Untuk keluar ke bandar atau untuk mengambil gaji, kami akan ke Bahau Negeri Sembilan...lebih kurang 56 km jauhnya...dan itulah bandar yang terdekat dengan kami. Kalau ada kekawan yang sakit...terpaksa pula ke Hospital Kuala Pilah.
Namun begitu, segala cabaran dan dugaan dapat kami harungi dengan penuh kesabaran. Kini Tembangau pesat membangun. Gugusan felda ini kini telah lengkap dengan prasarananya.

20 Julai 1991 (Sabtu)
Hari ini, aku telah mengakhiri zaman bujangku. Bertempat di Kampung Lubuk Kawah, Temerloh, Pahang...aku telah diakadnikahkan dengan isteriku. Sebelum aku mengenali isteriku...aku tidak pernah menjalinkan hubungan cinta dengan kawan-kawan perempuan. Walaupun di maktab, semua kawan sekelasku perempuan...namun semuanya kuanggap sebagai kakak sahaja. Maklumlah ketika memasuki maktab usiaku baru 19 tahun. Aku sedang belajar di tingkatan 6 Atas ketika panggilan memasuki maktab tersebut. Tambahan pula semasa di maktab...aku saban minggu akan ke Sungai Pencala...untuk mengikuti pengajian yang dianjurkan oleh Kumpulan Al-Arqam. Walaupun aku tidak berminat memasuki pertubuhan itu...tetapi aku tetap kagum dengan ahli kumpulan itu. Justeru itu, pergaulanku dengan wanita amat kujaga batas-batasnya.



Pertama kali aku melihat isteriku...ialah sewaktu Malam Penyampaian Hadiah. Ketika itu kakak iparku adalah ustazah di SK Tembangau. Oleh kerana pada waktu siang peneroka akan ke ladang, maka majlis penyampaian hadiah saban tahun diadakan pada waktu malam. Mungkin jodoh telah tersurat...aku memberani diri merisik khabar... nampaknya ustazah pun semacam setuju memilih aku sebagai calon adik iparnya ... walaupun pada waktu yang sama ada kekawanku yang cuba merisik ... aku tidak pasti kenapa ustazah boleh memberi alasan adiknya sudah bertunang. Tetapi jawapan yang lain diberi kepadaku. Mungkin bertahun bersama di sekolah ini... beliau sudah mengenali hati budi guru-guru di sini.

Setelah mendapat restu daripada ibu bapa aku pun menghantar rombongan peminangan pada bulan Mei 1991. Pertunangan hanya diikat selama dua bulan sahaja. Pada 20 Julai 1991..rasmilah kami sebagai suami isteri. 20 Ogos 1991...majlis walimatul urus pun dilaksanakan sebulan selepas aku bernikah.

18 Julai 1996 (Khamis)
Hari ini merupakan hari yang paling bermakna dalam hidup aku dan isteri. Menjelang dua hari lagi tarikh perkahwinan kami yang kelima...kami telah dikurniakan seorang bayi lelaki. Penantian selama lima tahun akhirnya berakhir. Itulah saat yang paling mengembirakan bagi kami berdua. Kini aku telah menjadi seorang ayah.



Aku tidak pasti...mengapa begitu sukar untuk memperolehi cahaya mata. Sehingga lima tahun terpaksa menunggu... semuanya bermula apabila kami berdua mendaftar untuk membuat pemeriksaan di Hospital Pusrawi di Sungai Buluh. Doktor menetapkan tarikh temujanji .Oleh kerana pada waktu itu cuti pertengahan tahun, kami mengambil keputusan untuk balik ke Temerloh terlebih dahulu. Di Temerloh, sakit perut isteri masih tidak reda...kami ke klinik swasta di Temerloh. Apabila keluar dari bilik pemeriksaan...isteri memaklumkan yang dia telah mengandung. Temu janji di Pusrawi pun dibatalkan....dan kami menunggu kelahiran bayi dengan penuh debaran....
Selepas mendapat anak pertama...kami dikurniakan anak kedua, ketiga dan keempat. Alhamdulillah, kini kami mempunyai empat orang anak lelaki..

Inilah antara peristiwa yang saya alami sepanjang bulan Julai....semuanya menjadi memori yang masih segar dalam kenangan.

Thursday, July 15, 2010

Terima Kasih...Kerajaan 1 Malaysia

Harga petrol, diesel, gula dan gas LPG naik berkuatkuasa mulai tengah malam ini (15 Julai).Petrol RON 95 dan diesel naik 5 sen. RON97 tidak lagi diberikan subsidi. Ia tertakluk kepada apungan secara terkawal, dengan harga ditentukan oleh mekanisme harga automatik, berikutan penyelarasan harga subsidi yang diumumkan kerajaan hari ini.
Manakala harga gula pula naik 25 sen kepada RM1.90, dengan gas LPG naik sebanyak 10 sen sekilogram.

Perdana Menteri ketika mengumumkan kenaikan memberikan alasan.
Pertama, kesemua subsidi ini tidak menepati sasaran – ia memberi faedah juga kepada pihak yang tidak layak, iaitu warga asing dan rakyat yang berpendapatan tinggi yakni mereka yang mampu untuk membayar petrol tanpa subsidi. Fokus kita sepatutnya ialah bagi membantu golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana bukan mereka yang memandu kereta import yang mewah. Subsidi gula yang berlebihan pula memberi faedah kepada industri-industri dan bukannya keluarga. Hampir dua kali ganda subsidi gula ini digunakan oleh sektor perniagaan berbanding isi rumah.
Persoalannya, walaupun dikatakan kenaikan ini adalah demi mengelakkan pengaliran subsidi kepada sasaran yang salah, tetapi akhirnya beban akan ditanggung oleh rakyat berpendapatan rendah.
Kerajaan perlu menjelaskan secara tepat bagaimana penjimatan dari subsidi ini akan dibelanjakan untuk faedah golongan berpendapatan rendah. Masih kita ingat ketika kenaikan harga petrol dan diesel secara besar-besaran beberapa tahun dahulu, dijanjikan wang penjimatan akan digunakan untuk memajukan perngangkutan awam tapi janji tinggal janji.
Kini dijanjikan pula penjimatan subsidi akan diagihkan kepada bidang pelajaran dan kesihatan. Umum sedia maklum kos pendidikan di Malaysia dan belanja untuk mendapatkan rawatan di hospital-hospital kerajaan adalah di antara dilema bagi rakyat berpendapatan rendah.
Kedua, barangan yang bersubsidi tinggi selalunya membawa kepada aktiviti penyeludupan kerana pemberian subsidi telah menjadikan barangan ini paling murah di rantau ini. Pada tahun 2009 sahaja, ramai penyeludup telah ditangkap ketika cuba membawa keluar lebih 200 tan metrik gula. Sebenarnya, jumlah yang tidak dapat ditangkap kerana penyeludupan ini adalah lebih besar. Diesel terus diseludup dan dijual secara haram di negara jiran. Pihak berkuasa telah meningkatkan pengawalan untuk menghalang penyeludupan, tetapi selagi adanya perbezaan harga yang besar, penyeludup akan terus dengan kegiatan haram ini.
Kalau benar bagai dikata, jelas rakyat bawahan telah terpaksa memikul beban ekoran ketidak mampuan pihak keselamatan menguatkuasakan undang-undang dan menjaga kedaulatan sempadan negara. Apa jaminan selepas kenaikan ini penyeludupan tidak akan berlaku lagi? Kalau penyeludupan masih berlaku, apakah harga akan dinaikkan lagi?
Ketiga, kita perlu menukar cara kita menggunakan bahan bakar dan gula. Penggunaan bahan bakar yang berlebihan akan mengurangkan sumber negara dengan cepat dan tidak menyumbang kepada usaha kita melindungi alam sekitar. Dengan 40 peratus rakyat Malaysia yang berlebihan berat badan atau obes – dan peningkatan jumlah penghidap diabetes – kita perlu menangani apa yang dilihat sebagai satu isu kesihatan. Mengurangkan penggunaan gula di kalangan anak-anak khususnya, adalah langkah yang tepat.
Benarkah harga bahan bakar di Malaysia terlalu murah sehingga dibazirkan sewenangnya oleh rakyat? Selalu kita dengar kempen jimatkan elektrik dan air tapi tidak pernah kita dengar ada kempen jimatkan penggunaan petrol dan gas.
Petrol dan diesel yang diisi ke dalam kenderaan adalah berdasarkan keperluan dan perjalanan juga berdasarkan keperluan. Amat jarang dan hampir tidak pernah terdengar rakyat yang secara suka-suka membazirkan petrol dan gas.
Hujah yang mendakwa gejala berat badan berlebihan dan diabetes mempunyai kaitan dengan harga gula perlu diperkemaskan dengan kajian saintifik dan disokong dengan fakta ilmiah. Saya berpendapat fakta ini terlalu umum dan sangat lemah untuk dipertahankan.
Penulis adalah Ketua Penerangan PAS Kawasan Setiu, Terengganu.


Read more: http://biaqpila.blogspot.com/#ixzz0to0Z1GEj

Sunday, July 11, 2010

Sambutan Hari Keluarga SK Seri Makmur,2010


Sambutan Hari Keluarga SK Seri Makmur telah diadakan pada 10 hingga 11 Julai 2010. Pada tahun ini Lumut Country Resort telah dipilih sebagai lokasi sambutan. Sebanyak 31 keluarga telah menjayakan program yang dilaksanakan oleh Badan Kebajikan Guru dan Kakitangan SK Seri Makmur (BERKAT). Turut serta ialah keluarga PN Hajjah Hasnah iaitu Guru Besar yang baru sahaja memulakan tugas di sekolah ini.





Perjalanan pergi bermula dari SK Seri Makmur itu dilakukan dalam bentuk konvoi. Sepasukan polis trafik Cawangan Sungai Besar bermurah hati memberi bantuan bagi melicinkan perjalanan yang bermula pada pukul 10.30 pagi itu. Sebanyak 6 lampu isyarat telah diharungi tanpa sekatan lampu merah.Emmm..best juga buat pertama kali dalam hidup pemanduan kami diiringi oleh polis trafik, walaupun hanya sehingga ke sempadan Selangor Perak sahaja. Terima kasih diucapkan kepada pegawai yang bertugas pada hari tersebut.


Pelbagai aktiviti telah dijalankan sepanjang kami berada di Lumut Country Resort. Bagi anak-anak, tiada yang lebih menyeronokkan selain daripada bermandi manda di dua buah kolam yang terdapat di situ. Tidak kurang ada rakan-rakan yang mengisi masa senggang dengan mengunjungi Jeti Lumut sambil membeli-belah hasil laut dan melihat pemandangan indah feri-feri yang berulang-alik ke Pulau pangkor.


Pada sebelah petang pula, aktiviti sukaneka telah dijalankan. Oh..sungguh meriah sekali. Pelagai gelagat dapat disaksikan. Suasana santai ini dapat mencapai objektif program iaitu untuk merapatkan hubungan antara ahli keluarga SK Seri Makmur.




Senaman poco-poco yang disertai oleh sebahagian besar keluarga sungguh mengujakan. Walaupun dibuat dalam keadaan santai...namun, lelah juga dibuatnya...lebih-lebih lagi kepada rakan-rakan yang telah memanjat usia.


Apa-apa pun saya dapati, sambutan pada kali ini mencapai sasarannya. Walaupun ada sedikit kekurangan atau ketidakpuasan..itu semua adalah asam garam yang pasti ada dalam apa-apa aktiviti pun. Tahniah dan syabas kepada semua yang terlibat dan juga AJK Pelaksana terutama kepada Pengerusi Berkat En. Azman dan orang kuat yang bertungkus-lumus menjayakan program ini iaitu En. Rahimuddin Mohamad.


Apa kata tahun depan kita ke Bandung ke..Sipadan ke...atau ke Pangkor pun boleh. Tahniah....pada semua yang menjayakan Sambutan Hari Keluarga SK Seri Makmur 2010. Semoga pada masa akan datang lebih ramai keluarga yang akan turut serta.