Thursday, February 24, 2011

Permohonan Pendaftaran Tahun 1 Sesi Persekolahan 2012 dan 2013

Untuk maklumat kepada ibu bapa / penjaga : Permohonan Pendaftaran Kemasukan Kanak-kanak (Warganegara) ke Tahun Satu Sesi Persekolahan 2012 dan 2013 sekolah Rendah Negeri Selangor telah dibuka secara 'on line'

Tarikh pendaftaran ini dibuka dari 1 Mac 2011 hingga 30 April 2011.

Justeru kepada ibu bapa / penjaga yang ingin mendaftarkan anak untuk belajar di SK Seri Makmur sila berurusan di Pejabat Sekolah SK Seri Makmur dengan membawa bersama:

1. Sijil kelahiran atau sijil anak angkat

2. Bukti alamat tempat tinggal ( Bil Elektrik atau Bil Air)

3. Kad Pengenalan iu bapa / penjaga

4. Sampul surat putih bersaiz 4 X 9 ( 115 cm X 245 cm) dan bersetem 60 sen.

Kanak-kanak yang terlibat adalah:

1. Lahir pada 2 Januari 2005 hingga 1 Januari 2006 ( Sesi Persekolahan 2012)

2. Lahir pada 2 Januari 2006 hingga 1 Januari 2007 ( Sesi Persekolahan 2013)

Permohonan boleh dibuat melalui aplikasi dalam talian (online) dengan melayari laman sesawang (web) Jabatan Pelajaran Selangor di alamat http://www.moe.gov.my/jpnselangor melalui pautan perkara tersebut di atas.

Ibu bapa perlu membuat Perakuan Permohonan tersebut di sekolah yang dipohon dalam masa 14 hari dari tarikh permohonan secara online dengan membawa bersama dokumen asal seperti dalam senarai semak cetakan penyata maklumat permohonan.

Sekian, dimaklumkan.

Friday, February 18, 2011

Sambutan Maulidur Rasul SK Seri Makmur Sesi Petang


18.2.2011 (Jumaat) : Hari ini telah berlangsung Program Maulidur Rasul Peringkat Sekolah Kebangsaan Seri Makmur. Bagi sesi petang, program bermula pada pukul 2.30 petang. Program dijalankan di Dewan SK Seri Makmur.

Sesuai dengan tahap murid-murid tahap satu iaitu murid Tahun 1, Tahun 2 dan Tahun 3, tiada penceramah jemputan dijemput. Sebaliknya pihak Panitia Agama Islam telah mengisi program dengan tayangan video tentang Riwayat Hidup Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w. Cerita yang menggunakan bahasa Melayu dalam dialognya itu diharap memberi kefahaman kepada murid-murid seterusnya diharap objektif program ini tercapai sebagai yang diharapkan.

Saturday, February 12, 2011

Mesyuarat Agung PIBG 2011


12 Februari 2011 ( Sabtu ) : Pagi ini telah berlangsung Mesyuarat Agung PIBG SK Seri Makmur Kali Ke-36. Program yang bermula pada pukul 8:30 pagi ini telah berlangsung di Dewan SK Seri Makmur.

Mesyuarat kali ini telah dirasmikan oleh YB. Puan Hajjah Noriah binti Kasnon, SMS, PJK, Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau Dan Air Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau Dan Air merangkap Ahli Parlimen Sungai Besar.

Kehadiran ibu bapa amat memberangsangkan. Atur Cara dimulakan dengan bacaan doa yang diketuai oleh Ustaz Baharuddin bin Halit, diikuti ucapan yang disampaikan oleh Tuan Guru Besar, Puan Hajjah Hasnah binti Maruan dan En. Halim bin Masri selaku YDP PIBG sesi 2010/2011. Seterusnya ucapan perasmian oleh YB Puan Hajjah Noriah binti Kasnon.

Mesyuarat berjalan dalam keadaan tenang dan lancar. Semua AJK PIBG Sesi 2010/2011 di kalangan ibu bapa telah dilantik semula dengan sokongan sebulat suara untuk sesi 2011/2012. Ibu bapa yang hadir juga begitu aktif memberi sumbangsaran yang membina demi mencapai sasaran yang ingin dituju sesuai dengan VISI yang dirancang iaitu 'Sekolah Kebangsaan Seri Makmur Gemilang 2013'.
Ucapan Puan Hajjah Hasnah binti Maruan, Guru Besar SK Seri Makmur.
Ucapan YDP PIBG SK Seri Makmur, En. Halim bin Masri.
Ucapan Perasmian Oleh YB Puan Hajjah Noriah binti Kasnon.

Mesyuarat sedang berlangsung.
Antara ibu bapa yang hadir.
Antara ibu bapa yang hadir.
Biasalah di mana-mana sekolah, guru akan bermesyuarat di luar dewan.

Sunday, February 6, 2011

Hari Pertama di SK Seri Makmur

7 Februari 2011 (Isnin): Selamat datang diucapkan kepada GPK Petang SK Seri Makmur yang baru iaitu En. Abdul Samad bin Ismail. Hari ini, beliau memulakan tugas barunya sebagai seorang pentadbir.

Walaupun nampak gelisah, namun atas dorongan dari rakan-rakan yang ada di SK Seri Makmur diharap beliau cepat dapat menyesuaikan diri. Semoga beliau gembira bertugas di sini dan dapat menjalankan tugas dengan cemerlang.

Membelah Banjaran Titiwangsa Amat Menyesakkan


Hari ini, selesai sahaja menunaikan solat Zuhur di rumah ibu mertuaku di Seberang Temerloh, aku terus memulakan perjalanan pulang ke rumah di Sungai Besar, Selangor. Biasanya aku hanya mengambil masa lebih kurang 4 jam sahaja untuk sampai ke rumah. Tetapi tidak untuk hari ini.

Dari Temerloh, aku mengambil keputusan tidak menggunakan Lebuhraya Pantai Timur, kerana aku sudah melihat semalam deretan kenderaan bergerak perlahan di Tol Karak. Hampir dua kilometer kenderaan berpusu-pusu menghala ke Kuala Lumpur.

Aku menggunakan jalan Persekutuan dari Temerloh ke Karak. Apabila tiba di Karak, aku masuk ke Lebuhraya Karak Kuala Lumpur. Walaupun banyak kenderaan, namun kelajuan masih lagi 90 km sejam. Tetapi tiba-tiba aku dapati kenderaan di hadapan semakin banyak dan mula menjadi sesak. Aku sangka tentu ada kemalangan di hadapan. Tetapi tiada. Setelah agak lama memandu dengan kelajuan hanya 20 km sejam, barulah aku perasan kesesakan itu disebabkan jumlah kenderaan yang terlalu banyak. Tol Bentong mungkin menjadi punca kesesakan.

Selepas melepasi tol Bentong, aku dapati aliran kenderaan masih tidak berubah. Dalam keadaan lebuhraya yang berbukit bukau itu, menambahkan lagi kesesakan. Pemanduan bukan lagi 20 km sejam, tetapi sudah mula terhenti-henti. Lebuhraya 2 lorong telah mula menjadi 3 lorong. Sikap pemandu yang tidak sabar, telah memotong Q, dan terbentuklah satu lagi barisan kenderaan. Hal ini menjadikan kesesakan semakin parah. Banyak kenderaan sudah mula berhenti di tepi lebuhraya..mereka sudah tidak mampu mengharungi situasi ini. Pertama kali sepanjang 19 tahun aku melalui lebuhraya ini...hari inilah kesesakan begitu amat teruk.

Mujurlah pihak MTD yang mengendalikan lebuhraya ini mengambil langkah drastik. Satu lencongan telah dibuat di Lentang. Kenderaan ke Kuala Lumpur dilencongkan ke lebuhraya yang menghala ke Karak. Sebelah lebuhraya arah Karak digunakan oleh kenderaan ke Kuala Lumpur. Barulah aku dapat memandu lebih laju sedikit iaitu antara 60 ke 70 km sejam. Namun apabila sampai ke Bukit Tinggi, kenderaan yang dilencongkan kembali masuk semula ke arah Kuala Lumpur. Cukup menyiksakan dalam keadaan mendaki..kenderaan sering terhenti-henti. Kalau lesen jenis beli ...tentu ada yang terundur ke belakang. Aku terpaksa mengharungi situasi ini hingga ke Terowong Genting Sempah.

Alhamdulillah, selepas melepasi terowong...laluan agak lega. Tak tahu ke mana menghilangnya kereta yang banyak tadi. Tiba-tiba sahaja pemanduan menjadi ok. Mungkin di sini lebuhrayanya tiga lorong. Namun dua km sebelum sampai ke tol gombak..situasi menjadi sesak kembali...aku tersangkut lagi di sini. Akhirnya dapat juga aku melepasi kesesakan yang amat teruk ini.

Aku hanya tiba di rumah pada pukul 7.40 malam, selepas mengharung 7 jam pemanduan yang meletihkan. Jika tiada kesesakan, biasanya aku boleh sampai ke rumah pada pukul 5 petang. Namun aku tetap bersyukur kerana selamat dalam perjalanan ini.

Wednesday, February 2, 2011

Gong Xi Fa Cai



Gong Xi Fa Cai diucapkan kepada rakan-rakan guru:

Datin Siti Aminah Hay binti Abdullah

Puan Meizratul Salmiah Chiew binti Abdullah

Puan Nuraini Chin binti Abdullah

.. dan murid-murid:

Cheah Jun Qin

Chia Kin Chua

Chia Zhe Han

Hong Chuan Heng

Tan Jian Li

Tan Sze Yen

serta tak lupa kepada jiran sebelah rumahku

Shee Cheang