Friday, May 27, 2011

Program Study Skill & Motivation Tahun 6 2011


28 Mei 2011 ( Sabtu) : Bertempat di Dewan SK Seri Makmur telah berlangsung Program Study Skill & Motivation Tahun 6 2011. Lebih dua ratus calon UPSR SK Seri Makmur telah mengikuti program yang dianjurkan oleh Parlimen Sungai Besar ini.




Antara aktiviti yang dijalankan ialah Motivasi Diri, diikuti Latihan Daya Ingatan Max Recall dan aplikasi dengan subjek sains . Selepas rehat program diteruskan dengan aktiviti Latihan Daya Ingatan Mac Recall dan aplikasi dengan subjek matematik. Slot terakhir ialah Bersama pelajar dan ibu bapa dalam aktiviti belaian kasih.




Program yang bermula pada pukul 8.00 pagi itu telah berakhir pada pukul 1.00 tengah hari. Semoga program yang dijalankan ini dapat memberi impak kepada calon-calon UPSR 2011. Tahniah dan terima kasih kepada pihak penganjur. Teruskan usaha murni anda pada masa hadapan.


Belaian kasih, anak dan ibu saling suap-menyuap makanan semasa sesi makan tengah hari.

Wednesday, May 25, 2011

Notis Mesyuarat Agung KOSPEP kali ke-26


Mesyuarat Agung Koperasi Perkhidmatan Pendidikan Sabak Bernam Berhad (KOSPEP) akan diadakan pada ketetapan berikut:

Tarikh : 19 Jun 2011

Masa : 8:00 pagi

Tempat : Dewan Besar, Kompleks Sekolah Agama Muhammadiah, Pekan Sabak, Sabak Bernam.

Perasmi : Pengarah SKM Negeri Selangor

Elaun Kehadiran : RM 50.00 / Cenderamata

Kepada semua ahli Kospep dipersilakan hadir.

Tuesday, May 24, 2011

Peperiksaan Pertengahan Tahun 2011


Minggu ini merupakan minggu peperiksaan bagi murid-murid SK Seri Makmur. Peperiksaan Pertengahan Tahun ini bermula pada 23 Mei 2011 dan akan berakhir pada 27 Mei 2011.

Semoga semua murid dapat menjawab soalan yang diberi dengan bersungguh-sungguh dan akhirnya memperolehi keputusan yang cemerlang.


Saturday, May 21, 2011

Meraikan Kekawan Yang Berpindah

Pada 18 Mei 2011 yang lalu, satu majlis ringkas telah diadakan bagi meraikan empat orang guru SK Seri Makmur yang telah berpindah. Keempat-empat guru tersebut ialah:

Tuan Haji Mohd Multazam Khair bin Mohd Affandi

Puan Erma Zuraini binti Zaini

En. Md Rafi bin Jaafar

dan En. Rahimuddin bin Mohamad

Thursday, May 19, 2011

Kehilangan...


Pagi ini 20 Mei 2011, aku menerima SMS daripada seorang rakan yang bertugas SK Teluk Ru, Sabak Bernam, Selangor...memaklumkan bahawa Pembantu Tadbir SK Teluk Ru telah meninggal dunia.

Aku agak terkejut dengan berita ini...kerana telah kehilangan seorang lagi rakan yang pernah sama-sama bertugas di SK Teluk Ru. Aku memang tahu, Abang Jas ( panggilan mesra warga SKTR kepada arwah En Jasni)memang mengalami pelbagai penyakit.

Kebiasaannya saya sering bersarapan pagi bersamanya... dia memang banyak menelan pelbagai jenis pil (menandakan pelbagai jenis penyakit yang ditanggung oleh beliau). Hari ini beliau telah pergi buat selama-lamanya. Al Fatihah untuk beliau, semoga beliau ditempatkan bersama golongan yang soleh. Amin.

Takziah daripada saya buat Puan Rohani Marjuki di atas kehilangan suami tercinta. Semoga puan sentiasa bersabar di atas apa yang terjadi ini.

Wednesday, May 18, 2011

Selamat Datang GPK Kurikulum SK Seri Makmur yang Baharu.



Warga SK Seri Makmur mengucapkan selamat datang kepada GPK Kurikulum yang baru iaitu Tuan Haji Mohd Thani bin Darus ke SK Seri Makmur. Beliau memulakan tugas pertama beliau di sekolah ini pada hari ini 19 Mei 2011.

Beliau merupakan bekas GPK Kurikulum SK Sungai Nibong. Semoga beliau akan terus memberi perkhidmatan yang terbaik di sekolah ini.

Jadual Peperiksaan Pertengahan Tahun SK Seri Makmur 2011

Jadual Tahap 1

Sambutan Hari Guru Peringkat SK Seri Makmur 2011


18 Mei 2011 (Rabu): Hari ini telah berlangsung sambutan Hari Guru Peringkat SK Seri Makmur. Semua warga SK Seri Makmur berkumpul di dataran berhadapan dengan makmal komputer.


Acara dimulakan dengan majlis bacaan surah Yassin dan tahlil yang diimami oleh Ustaz Baharuddin bin Khalid. Kemudian diikuti ucapan ringkas daripada Tuan Guru Besar Puan Hajjah Hasnah binti Maruan. Selesai berucap Guru Besar telah memotong reben menandakan pelancaran Sambutan Hari Guru Peringkat Sekolah.


Acara permainan menyusul selepas itu. Bagi guru perempuan, mereka bermain bola jaring manakala bagi guru lelaki pula bermain futsal.



Selepas rehat, acara dewan bermula. Antara acara yang dipersembahkan ialah Choral Speaking, Tarian, Rekorder, Kompang, Teater dan Nasyid.




Acara berakhir dengan pertukaran hadiah oleh guru-guru dan ditutup dengan jamuan makan nasi minyak yang ditaja oleh PIBG.

Tuesday, May 17, 2011

Kejutan Yang Mengejutkan


Ribuan unggas yang berkumpul dan menunggu pengumuman penguasa rimba yang khabarnya mahu memberi kejutan sempena sambutan Hari Unggas dan Mergastua benar-benar terkejut dengan pengumuman yang dibuat.Pecahlah khabar di sana sini seluruh inci hutan bahawa kumpulan unggas dan mergastua telah mendapat "durian runtuh" ekoran pengumuman dan kejutan itu tadi.

Ramai yang mengucapkan tahniah.Kumpulan unggas terpingga-pingga.Kelu lidah untuk berkata-kata.Sedih dan ngilu berkarat dalam hati. Sukar untuk mereka katakan bahawa kejutan memang telah berlaku dan isi pengumuman itu memang mengejutkan. Kejutannya ialah, hanya empat yang teratas dalam susunan hirarki pengurusan rimba sahaja yang mendapat laba dan durian runtuh dan bukannya ribuan unggas dan mergasatwa yang menunggu-nunggu itu.Kelompok unggas dan mergasatwa biasa tidak layak biarpun merekalah sebenarnya yang memakmurkan dan menjalankan semua kerja di Rimba Atap Langit ini.

Durian runtuh itu hanya melibatkan gajah, singa,harimau dan tedung senduk.Kumpulan yang empat itu tersenyum lebar kerana "kegahan" mereka bertambah besar dari yang sebelum ini. Sebelum ini kumpulan mereka memang telah dilimpahi keistimewaan, dan sekarang keistimewaan itu ditambah lagi. Tentu sahaja mereka sangat berpuas hati dan tak putus-putus mengucapkan syukur dan memuji-muji tindakan tersebut.

Lain pula halnya dengan unggas dan mergasatwa yang lain.Khabar yang pecah dan dicanang-canangkan itu untuk menunjukkan kepada warga rimba yang kurang tahu bahawa semua unggas dan mergasatwa telah mendapat "durian runtuh" itu.

Kemudian, di tengah-tengah rasa bingung itu, datanglah seekor marsupial kecil yang mengoyang-goyangkan ekornya dan berkata,"Lain kali wahai sahabat semua, janganlah berani-berani kamu menyulam harap, kalau tak jadi bernanah di dada".

Dicopy darpada wall facebook Tengku Hassan

Monday, May 16, 2011

Kaedah Baru Kenaikan Pangkat Untuk Guru


KUCHING 16 Mei – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan kaedah baru kenaikan pangkat khusus kepada guru dengan mengkategorikan mereka mengikut empat lapisan jawatan iaitu Guru Biasa, Guru Kanan, Guru Wibawa dan Pendeta Guru.

Katanya, empat lapisan jawatan itu akan membolehkan peningkatan ke gred yang lebih tinggi berdasarkan kecemerlangan.

"Melalui konsep Guru Wibawa dan Pendeta Guru ini, laluan kerjaya guru dalam bidang pengajaran dan pembelajaran akan diperluaskan sehingga mencapai ke Gred 54 dalam tempoh perkhidmatan 25 tahun dengan memenuhi tahap kecemerlangan serta syarat-syarat lain yang ditetapkan Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pendidikan," katanya dalam rakaman video yang ditayangkan pada sambutan Hari Guru Kebangsaan, di sini hari ini.

Perdana Menteri mengumumkan, semua guru yang menunjukkan kecemerlangan terkemuka mutunya seperti ditetapkan oleh Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pendidikan boleh mencapai Gred Khas C dan ke atas sebelum bersara.

Katanya lagi, bagi guru-guru yang tidak dinaikkan pangkat ke Gred Khas, mereka masih berpeluang menikmati pergerakan gaji tahunan.

"Untuk ini, kerajaan bersetuju menambahkan lagi jawatan Gred Khas C bagi laluan pengajaran dan pembelajaran sebanyak 100 peratus dengan menambah sebanyak 72 jawatan berbanding 36 jawatan sedia ada di bawah konsep Guru Wibawa dan Pendeta Guru," katanya.

Najib juga mengumumkan, kerajaan bersetuju menaikkan gred jawatan semua pengetua sekolah menengah Gred DG48 ke Gred DG52 yang melibatkan 1,228 jawatan.

Katanya, semua guru penolong kanan (GPK) pentadbiran, hal ehwal akademik dan kokurikulum sekolah menengah Gred DG44 dinaikkan ke Gred DG48 dan ini melibatkan 6,585 jawatan.

"Seterusnya, semua GPK pentadbiran, hal ehwal akademik dan kokurikulum di sekolah rendah kluster dinaikkan dari Gred DGA32 ke Gred DGA34 yang melibatkan 99 jawatan," katanya. - Utusan

Sunday, May 15, 2011

Selamat Hari Guru


Selamat Hari Guru buat semua yang digelar pendidik. Teruskan usaha anda untuk membina modal insan yang terbaik.

Friday, May 13, 2011

Karnival Jelajah Generasi Idaman Selangor (GeMS)


13.5.2011 Jumaat : Malam ini, saya mengisi masa senggang dengan membawa keluarga ke Karnival Jelajah Generasi Idaman Selangor (GeMS). Program berlangsung di Dataran Tonggak 10. Sungai Besar, Selangor.

Tiba di tapak karnival, orang ramai telah memenuhi tempat duduk yang disediakan. Namun kami bernasib baik kerana masih ada kerusi di bawah khemah pameran. Kami menghabiskan masa selama dua jam setengah di sini.

Alhamdulillah, malam ini kami dapat mengikuti program 'Forum GeMS' dengan dimoderatorkan oleh Ustaz Sallehin Muhyi Mantan ADUN Sungai Besar manakala ahli panelnya pula terdiri daripada Ustaz Zamri, Ustaz Ahmad Shukri dan Saudara Kamal Affendi.

Program Karnival Jelajah Generasi Idaman Selangor ini dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Selangor di bawah kelolaan Exco Jawatan Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor. Program yang bermula 13 Mei 2011 ini akan berakhir pada 14 Mei 2011.

Antara tentatif program yang akan dijalankan ialah:

Tuesday, May 10, 2011

Pra Perkhemahan Tahun 3 2011


11.5.2011 (Rabu) : Pada hari ini telah berlangsung Pra Perkhemahan khas untuk murid-murid Tahun 3 SK Seri Makmur. Seramai 210 orang murid Tahun 3 telah menyertai perkhemahan ini. Perkhemahan ini berlangsung dari pukul 7.30 pagi hingga 5.50 petang.

Lima aktiviti telah dijalankan sepanjang perkhemahan tersebut iaitu Mendirikan Khemah, Memasak, Ikatan dan Simpulan, Pertolongan Cemas dan Asas Kawad. Perngalaman buat pertama kali untuk murid-murid ini berkhemah menjadikan guru-guru terpaksa bekerja dengan lebih keras agar objektif perkhemahan ini berjaya dicapai.

Aktiviti ikatan dan simpulan


Aktiviti Kawad


Aktiviti Mendirikan Khemah


Aktiviti Memasak


Aktiviti Pertolongan Cemas

Tahniah Buat GPK Kurikulum SK Seri Makmur


Warga SK Seri Makmur mengucapkan TAHNIAH kepada Guru Penolong Kanan Kurikulum SK Seri Makmur, iaitu Tuan Haji Mohd Multazam Khair bin Mohd Affandi kerana telah dinaikkan pangkat sebagai Guru Besar di SK Kampung Baharu, Sabak Bernam, Selangor.

Beliau telah ditempatkan di SK Kampung Baharu mulai 1 MEI 2011. Semoga beliau terus cemerlang semasa di sana.

Wednesday, May 4, 2011

Lawatan Guru-guru SK Seri Makmur ke Singapura


Pada 30 April 2011 hingga 1 Mei 2011 Sabtu hingga Ahad, sebahagian guru-guru SK Seri Makmur telah mengadakan lawatan ke Singapura. Dua buah bas telah digunakan untuk tujuan tersebut.

Banyak pengalaman yang ditimba sepanjang lawatan tersebut.