Tuesday, March 9, 2010

Nostalgia...Teratak Riverview...Susah Senang Kuharungi Jua..



27 Februari 2010 ( Petang Sabtu ) Tepat jam 2.00 petang, ahli-ahli perkhemahan telah siap sedia di tapak perhimpunan. Semuanya tidak sabar-sabar lagi untuk mengikuti aktiviti Kembara atau dalam bahasa jawanya 'Jungle Treking'.

Setelah semuanya sudah sedia, kami pun membuka langkah memulakan perjalanan. Perjalanan agak lembab di jambatan gantung sebab hanya 10 orang sahaja yang boleh menyeberang dalam satu satu masa.

Pengembaraan ini merupakan pengalaman yang pertama kali buat kebanyakan daripada kami. Kami mengambil masa selama 4 jam untuk sampai semula ke tapak perkhemahan. Segala letih dan penat dan apa yang telah kami lalui telah menjadi satu nostalgia yang terpahat di dalam sanubari.

Moh kita lihat apa yang terjadi disepanjang pengembaraan ini....

Inilah barisan kita yang ikhlas berjuang...Ya la....kau rasalah nanti....he..he...he...

Cabaran pertama- Murid-murid berendam dalam anak sungai dalam kumpulan masing-masing. Satu soalan dikemukan oleh Jurupandu bagi diselesaikan oleh mereka. Soalan yang mudah..."Apakah benda yang paling berharga yang terdapat di dalam sungai pada ketika ini?" Setiap wakil membentangkan jawapan...hampir semua memberi jawapan yang sama iaitu air sungai yang tidak tercemar, ikan yang terdapat di dalamnya. Jawapan sebenarnya....benda yang paling bernilai yang terdapat di dalam sungai ketika ini ialah.... diri murid itu sendiri. Oleh itu kita hendaklah menghargai diri kita sendiri serta setiap insan yang ada di muka bumi ini tanpa mengira darjat dan kedudukan.

Cabaran kedua. Murid-murid terpaksa meredah jalan yang berselut. Mula-mula agak berhati-hati sebab takut kotor. Tapi apakan daya tiada pilihan lain...terpaksa redah juga selut tu. Kotor pun kotorlah setakat kaki aje.

Cabaran ketiga. Murid terpaksa melalui kawasan berlumpur separas pinggang. Emmm..tadi takut sangat kasut kotor...haaaa..sekarang terpaksa pula meredah selut sampai ke pinggang. Dah tak hairan dengan pakaian lagi.

Cabaran keempat. Ha...ini lagi hebat. Selut dah sampai ke dada. Jangan haraplah nak jadi juara baju terbersih. Minta maafla...tak kan dapat punya. Murid-murid berenang untuk melepasi laluan ini. Nak tak nak terpaksa buat...kalau tidak kena tinggal sorang-sorang dalam hutan ni..

Alahai..tak pernah ku rasa...seksanya mengharung jalan berselut begini.

Jangan lah aku tergolek jatuh ...malu kat kawan-kawan.

Fulamakk...rasa juga aku jadi buaya hari ni...

Oh..best...rugi tak cuba.... eeleh...dalam hati kami tau.....


Cabaran kelima. Terpaksa berenang secara kumpulan bertiga. Di sinilah murid-murid ditanamkan semangat setiakawan. Walau pun terpaksa tertelan air yang berselut ini ... kawan-kawan tidak ditinggalkan keseorangan. Ketiga-ketiga perlu sampai ke destinasi bersama-sama. Semangat tolong-menolong inilah yang perlu diamalkan. Termasuk semasa sesi pembelajaran...kawan yang lemah perlu dibantu...agar sama-sama mengecapi kejayaan yang cemerlang.

Alahai..Shahaziq oi..awat hang pi menyelam dalam lumpur tu...hang tak tau ke..itik pun tak mau menyelam kat sini...

Ini apahal budak tiga orang nie...kalau iya pun nak mandi carilah tempat yang sesuai...ini tempat kerbau berkubang la...

eeeee.ada ikan haruan la kat sini....apa pulak ikan haruan....dalam hutan begini ikan tapah la...


Tahniah...anda semua telah berjaya mengharungi segala rintangan. Selepas ini kamu akan saya benarkan mandi di anak sungai yang terdapat di hadapan kita...itulah kata-kata jurupandu yang juga merupakan Pengurus Teratak Riverview.

Hah inilah yang paling dicari. Air sungai yang bersih dan jernih. Satu jam murid dilepaskan diri. Masing-masing mengambil peluang membersihkan diri. Setelah mengharungi air-air kotor berselut dan berlumpur...dapat juga menikmati impian yang bersarang di hati ... iaitu air yang mengalir jernih dan bersih. Itulah matlamat pengembaraan ini... berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ketepian. bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian. Jika kejayaan dan kecemerlangan yang ingin dikecapi, maka kita perlu berusaha dengan bersungguh-sungguh. Segala halangan dan cabaran perlu dihadapi dengan semangat yang membara.



Setelah selesai membersihkan diri...ah..barulah nampak macam muka orang sikit. Bersedia untuk memulakan perjalanan pulang ke khemah. Tapi...tiga orang rakan kita dah kehilangan kasut. Tu..la...mandi tak ingat dunia...kasut pun boleh dilarikan dek arus.

Semoga pengembaraan ini memberi pengalaman yang bermakna kepada kami semua.

Monday, March 8, 2010

Nostalgia...Teratak Riverview...Pengalaman Pertama



27 Februari 2010 (Sabtu - Hari Kedua Perkhemahan). Seawal 5.30 pagi, murid-murid telah dikejutkan oleh pemimpin yang bertugas untuk mandi. Keadaan bilik air yang disediakan memang tidak mencukupi...hanya ada tiga buah tandas dan sebuah kolah. Dengan jumlah 200 orang ahli perkhemahan dari SK Seri Makmur ditambah dengan sejumlah yang agak ramai juga daripada Mahasiswa UIA, menambah meriahkan lagi bilik mandi tersebut. Di sinilah sifat sabar dan disiplin yang tinggi perlu diamalkan. Kalau tiada sifat tersebut sudah tentu berlaku kekecohan. Alhamdulillah sepanjang tiga hari perkhemahan, masing-masing faham dan mengamalkan sifat terpuji tersebut.

Selepas aktiviti rutin, sembahyang subuh berjemaah dan bersarapan...murid-murid akan memulakan aktiviti yang telah dirancang pada pagi ini. Pada sebelah pagi aktiviti mengikut stesen diadakan, di mana lima stesen telah dibuka. Murid-murid diagih kepada lima kumpulan...dan mereka akan menjalankan aktiviti di stesen mengikut masa yang telah di tetapkan.

Mari kita lihat apa yang mereka lakukan...

Sebelum melakukan aktiviti, murid-murid melakukan regangan dan senaman di kendalikan En Mohd Azmi Penolong Kem Komandan.

Angkat..angkat tangan tu tinggi lagi...emmmm..barulah bau ketiak tu dapat disemerbakkan.

Stesen 1. Aktiviti di stesen ini menjadi rebutan setiap kumpulan. Aktiviti 'Flying Fox' merupakan satu aktiviti yang menjadi pengalaman pertama kepada murid-murid. Aktiviti ini dikendalikan sekumpulan jurulatih yang bertauliah dalam mengendalikan aktiviti yang berisiko tinggi ini. Fullamak..nak panjat pokok yang agak tinggi itu pun dah terasa gayat...tambahan lagi bila terawang di udara. Tahniah kepada semua murid kerana telah berjaya menjalani aktiviti ini.
Alamak... nak panjat pokok pun kena line up juga ke... he...tak sabo nya aku nak jadi burung...

Stesen 2. Aktiviti keselamatan di air. Aktiviti ini dikendalikan oleh dua orang jurulatih yang bertauliah iaitu En Mokhtar dari SMK Bagan Terap dan En. Mohd Radhi dari SMK Sungai Besar. Mereka dibantu oleh En. Mohd Azmi. Kelihatan En. Mokhtar menunjukcara mengapungkan diri sewaktu berada di dalam air.
Cis..pagi-pagi lagi dah kena rendam...habis kecut segalanya...
En Mohd Radhi sedang membimbing seorang murid langkah-langkah keselamatan ketika berada di dalam sungai berarus deras.

Stesen 3. Aktiviti ikatan dan simpulan. Aktiviti ini dikendalikan oleh En. Rosli, En Azman dan Ustaz Borhanudin. Kelihatan En. Azman Ishak sedang menunjukcara membuat ikatan 'Tindih Kasih'.

Stesen 4. Murid menjalani aktiviti pertolongan cemas. Aktiviti di sini dikendalikan oleh En. Zainon Abidin, En. Shaharudin dan En. Ahmad Azman. Kelihatan En. Ahmad Azman sedang membuat demontrasi membalut anduh.
Aduhhhhh...sakitnya tangan aku...ibu..ibu ayah..ayah..jangan risau..itu cuma demontrasi aje.

Stesen 5. Murid-murid melakukan aktiviti masakan di bawah kendalian Pn Siti Aisyah Sariaat dan Pn Asmah Jandra

Setelah selesai menjalani aktiviti ...murid-murid dibenarkan bermandi-manda. Dengan kawalan ketat oleh guru-guru yang membina dua lapis benteng...murid-murid dibenarkan mandi selama 30 minit.. Emmmm...lepas juga gian bebudak tu nak berkubang. Ya..la..kalau berkhemah di tepi sungai..tapi tak dapat mandi...macam tak bermakna je perkhemahan tu...lebih baik berkhemah di padang sekolah dah tentu jimat belanja...

Sunday, March 7, 2010

Nostalgia...Teratak Riverview...Menjelang Malam



26 Februari 2010 ( Jumaat) Sepanjang perkhemahan ini berlangsung pelbagai aktiviti telah dijalankan. Keadaan jadual yang agak padat, tidak mengizinkan kami untuk bersantai melepas lelah. Ikutilah aktiviti yang telah kami laksanakan menerusi rakaman peristiwa di bawah:

Sepanjang perkhemahan ini, setiap waktu sembahyang...murid-murid serta guru-guru akan bersembahyang berjemaah. Sembahyang jemaah ini juga turut disertai oleh para mahasiswa dari UIA yang tiba di tapak perkhemahan menjelang Asar.


Antara Maghrib dan Isyak telah dijalankan aktiviti membaca Surah Yasin. Aktiviti ini dikendalikan oleh para ustaz. Malam ini Ustaz Baharudin mengetuai bacaan Yasin.

Guru wanita sibuk di dapur menyediakan makan untuk ahli perkhemahan. Syabas dan tahniah...kerana kami dapat menikmati hidangan mengikut jadual.

Kalau dah hobi..ke mana pergi jala tak kan ditinggalkan. Selepas hujan berhenti, Ustaz Mohd Nizam turun ke sungai menjala ikan...nanti ikan tu bolehlah dibuat lauk makan malam kan ustaz...he..he..he..

Jambatan gantung yang agak tinggi menjadi penghubung di antara tapak perkhemahan dengan jalan utama. Namun begitu murid-murid hanya dibenarkan menggunakan jambatan ini dengan pengawasan. Demi keselamatan, pihak pengurusan hanya membenarkan 10 orang sahaja melintasi jambatan ini dalam satu-satu masa. Justeru, setiap kali murid-murid menggunakan jambatan ini, seorang guru akan bertindak sebagai pengawal bagi mempastikan bilangan yang dibenarkan sahaja melintasi jambatan.

Menjelang pukul 9 malam, aktiviti Ceramah Motivasi telah dijalankan. Seorang penceramah jemputan telah diundang untuk memberi motivasi kepada murid-murid Tahun 6 yang bakal menduduki UPSR pada bulan September nanti. Beliau iaitu..Puan (alahai lupa la pulak namanya) merupakan Guru Bimbingan dan Kaunseling dari SMK Sungai Besar. Penyampaian yang santai dan berfokus murid dapat menarik hati murid-murid untuk terus mengikuti ceramah beliau tanpa rasa bosan dan mengantuk.

Sungguh mengkagumkan, YDP PIBG SK Seri Makmur En Halim bin Masri sanggup datang dari jauh semata-mata ingin bersama dan melihat sendiri aktiviti yang dijalankan. Membawa harapan ibu bapa yang ingin melihat anak-anak berjaya dengan cemerlang, beliau sanggup meredah kegelapan malam melalui lorong sempit untuk tiba di Teratak Riverview. Beliau diberi peluang untuk menyampaikan sepatah dua kata kepada murid-murid.


Walaupun jarum jam telah mencecah angka 12, namun aktiviti terus dijalankan. Di bawah kendalian Kem Komanden, En Rahimudin, Timbalan Kem Komanden En Azmi, En Rosli Guru Disiplin Sesi Petang dan En Mohd Azman Guru Bimbingan dan Kaunseling murid-murid terus diasak mindanya dengan kata-kata yang berunsur motivasi.

Bila arahan tidur diberikan ...cukup mengkagumkan semua khemah menjadi sunyi sepi. Murid-murid tidak membuang masa, terus sahaja melayan 'Golden Dream' mereka. Jarang sekali saya dapati suasana seperti ini di perkhemahan sebelum ini..saya selalu alami..murid-murid tidak akan tidur pada malam pertama...selalunya mereka akan melayan pengalaman bermalam di dalam khemah sehingga ke subuh. Mungkin bunyi kocakan air sungai dan suasana yang agak dingin di dalam hutan ini menyebabkan mereka begitu selesa...lantas melayan mimpi indah masing-masing.

Menjelang pukul 1.00 pagi para guru masih duduk berbincang bagi mendapatkan maklum balas terhadap aktiviti yang dijalakan. Di samping itu, aktiviti yang bakal dilaksanakan pada pagi esok juga turut ditimbulkan. Akhirnya menjelang pukul 2.00 pagi barulah mata dapat dilelapkan.

Saturday, March 6, 2010

Mesyuarat Agung PIBG SK Seri Makmur Kali Ke-35



6 Mac 2010 ( Sabtu) - Mesyuarat Agung PIBG SK Seri Makmur Kali Ke-35 telah berlangsung di Dewan Seri Makmur. Kehadiran ibu bapa yang agak lembab pada awalnya akibat hujan yang lebat agak merunsingkan AJK Pelaksana. Namun begitu apabila hujan semakin reda, maka kehadiran ibu bapa menjadi rancak dan akhirnya Dewan Seri Makmur dipenuhi oleh ibu bapa yang begitu komitmen terhadap kemajuan pembelajaran anak-anak mereka.

Mesyuarat kali ini dirasmikan oleh YB Puan Noriah binti Kasnon, Timbalan Menteri Tenaga Hijau dan Air Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air merangkap Ahli Parlimen Sungai Besar.

Mesyuarat kali ini telah mengadakan pemilihan di mana sebahagian AJK baru telah dipilih bagi menggantikan AJK yang lepas. Sepanjang mesyuarat yang berjalan lancar itu penglibatan ibu bapa amat memberangsangkan. Pelbagai idea, saranan, pandangan telah dilontarkan demi memajukan dan meningkatkan lagi prestasi sekolah.

AJK Pelaksana mengucapkan syabas kepada ibu bapa yang hadir dan amat prihatin terhadap perkembangan dan kemajuan pendidikan anak-anak. Semoga sikap seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan. Kehadiran hampir 300 penjaga berbanding 800 lebih penjaga SK Seri Makmur diharap dapat ditingkatkan pada masa hadapan. Ya..la..kata orang semakin ramai yang hadir...ditambah dengan kepelbagaian latar belakang...sudah tentu pelbagai idea dapai dicanai demi kemajuan sekolah. Apa-apa pun sekalung tahniah kepada AJK PIBG yang baru terpilih. Semoga sumbangan anda untuk kemajuan anak-anak akan mendapat ganjaran yang sewajarnya daripada ALLAH SWT.

Ucapan Pengerusi PIBG SK Seri Makmur, En. Halim bin Masri. Ucapan yang penuh pengharapan ini mendapat perhatian daripada ibu bapa. Dewan menjadi sepi .. apabila beliau mencurahkan pengalaman yang dilalui, iaitu kejadian kemalangan yang mengorbankan seorang murid Pendidikan Khas SK Seri Makmur berlaku di hadapan mata beliau sendiri. Justeru itu isu keselamatan telah menjadi topik utama beliau... dan menyokong sepenuhnya tindakan pihak sekolah melarang kenderaan ibu bapa masuk ke dalam kawasan sekolah.

Beliau yang membawa sendiri pelajar tersebut ke klinik berhampiran begitu hampa dengan sikap pemandu kenderaan yang berada di tempat kejadian yang agak berat untuk membantu mangsa untuk diangkat ke dalam kenderaan beliau. Lebih menyakitkan hati...apabila lebih ramai yang sibuk mengambil tugas sebagai wartawan daripada sibuk untuk membantu.

Ucapan Guru Besar Puan Hajjah Sariah binti Sidek, Guru Besar Cemerlang SK Seri Makmur. Ucapan yang mengambil masa yang agak panjang ini terpaksa dilakukan demi memberi kefahaman kepada ibu bapa tentang perjalanan sekolah dari pelbagai segi. Apa-apa pun tahniah diucapkan kerana SK Seri Makmur berada dikedudukan ke-500 daripada 7000 lebih sekolah rendah yang terdapat di seluruh Malaysia.

Ucapan Perasmian disempurnakan oleh En. Muslimin bin Yahya..mewakili YB Puan Noriah Kasnon.

Kehadiran kaum ibu terus mendominasi kehadiran kaum bapa. Ya..la..kan nama IBU tu berada di hadapan nama BAPA..jadi ibulah yang kena datang... bapa nak masak di rumah kan..kan..kan..


Antara kaum bapa yang hadir.

Hai..guru lelaki ni pun turut mengadakan mesyuarat berasingan di Taman Kemahiran Hidup. Dah penat mengikuti ucapan di dewan agaknya.

Friday, March 5, 2010

Nostalgia...Teratak Riverview..Teruja

Kusyuk mendengar taklimat yang disampaikan oleh Kem Komandan.

26 Februari 2010 ( Jumaat ) Seramai 160 orang murid Tahun 6 diiringi 30 orang guru SK. Seri Makmur telah mengadakan aktiviti Perkhemahan Tahun 6 selama 3 hari 2 malam. Aktiviti ini diadakan di Teratak Riverview, Tanjung Malim, Perak.

Pada tahun ini aktiviti perkhemahan telah dijalankan pada awal tahun. Tidak seperti tahun-tahun yang lalu, di mana aktiviti perkhemahan dijalankan pada akhir tahun iaitu selepas peperiksaan UPSR.

Persiapan yang teliti dan rapi telah dilakukan oleh AJK Pelaksana, agar segala perancangan yang diatur dapat berjalan dengan licin dan teratur tanpa sebarang kecacatan yang boleh menimbulkan situasi yang tidak menyenangkan di belakang hari.
En. Rahimuddin bin Mohamad selaku Kem Komandan Perkhemahan memberi taklimat terakhir kepada murid-murid.

Murid-murid begitu teruja untuk pergi ke Teratak Riverview. Seawal 8.00 pagi, mereka telah berkumpul di tapak perhimpunan bersama ibu bapa masing-masing. Kelewatan ketibaan bas amat meresahkan mereka.
YB Abd Rahman Bakri Ahli Parlimen Sabak Bernam turut hadir meninjau ...sebelum kami berangkat ke Tanjung Malim.
Murid-murid beratur menuju ke arah bas yang baru tiba dari Teluk Intan...terlewat dari masa yang dijanjikan lebih kurang setengah jam.
Perjalanan dengan menaiki 4 buah bas mengambil masa lebih kurang 2 jam.
Pelajar lelaki singgah sembahyang Jumaat di Masjid Tanjung Malim manakala pelajar perempuan meneruskan perjalanan ke Teratak Riverview.

Trak pickup digunakan untuk mengangkut para pelajar dari jalan besar ke Teratak Riverview kerana keadaan jalan yang sempit, tidak boleh dimasuki oleh bas. Perjalanan masuk ke dalam mengambil masa belasan minit.
Murid-murid mendirikan khemah apabila sampai di Teratak Riverview dalam keadaan hujan renyai-renyai.

Thursday, March 4, 2010

Takziah...Buat Keluarga Siti Noraisyah


4 Mac 2010 ( Khamis ) - Petang Khamis...ketika berbondong-bondong pelajar SRA Ehyaul Fallah Dan SRA Nurun Najah keluar untuk pulang...peristiwa yang sering menjadi kekuatiran ibu bapa telah berlaku.

Kesesakan lalu lintas di kedua-dua sekolah ini, masih tidak diberi perhatian yang sewajarnya oleh para pemandu. Maka, pada petang itu berakhirlah riwayat seorang pelajar SK Seri Makmur...apabila adik Siti Norisyah binti Norazmil 11 tahun telah dilanggar oleh sebuah kereta yang dipandu oleh seorang wanita. Allahyarham adik Siti Aisyah meninggal dalam perjalanan ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah Sabak Bernam.

Allahyarham adik Siti Noraisyah adalah pelajar di Kelas Pendidikan Khas SK Seri Makmur.
Dia juga bersekolah di SRA Nurun Najjah, Jalan Parit 1 Timur, Sungai Besar. Dia dilanggar ketika berbasikal untuk pulang ke rumah di persimpangan masuk ke Lorong Masjid Makmuriah Sungai Besar.

Semua warga sekolah SK Seri Makmur merakamkan ucapan TAKZIAH kepada ahli keluarga Allyarham terutama kepada kedua ibu bapanya. Semoga rohnya dicucuri rahmat oleh Allah SWT. Semoga ibu bapa Allahyarham bersabar di atas pemergiannya...kita sedekahkan AL-FATIHAH...untuk roh Allahyarham.

Mesyuarat Pemimpin Pengakap PPM Sungai Besar



24 Februari 2010 (Rabu) Bertempat di Bilik Anggerik PKG Sungai Besar telah berlangsung Mesyuarat Pemimpin Pengakap PPM Sungai Besar.

Pada kali ini kehadiran amat menggalakkan kerana kesemua 25 pemimpin yang mewakili 25 buah sekolah di bawah PPM Sungai Besar telah hadir. Turut hadir ialah En. Fathulhanif bin Mohd Salleh wakil PPD Sabak Bernam dan Puan Zaharah Mat Arif (PPD Sabak Bernam) selaku Bendahari PPM Sungai Besar.

Antara perkara yang dibincangkan dalam perjumpaan inilah:

1. Berkaitan tentang pendaftaran keahlian tahun 2010. Pada tahun ini pendaftaran kembali mengikut prosidur lama di mana borang pendaftaran dihantar ke PPM Daerah. Jika tahun lepas pendaftaran dilakukan secara online. Hal ini banyak menimbulkan masalah.

2. Pasukan PPM Sungai Besar juga membuka kepada ahli pengakap yang ingin mengikuti Jambori Budaya Serumpun Malaysia Indonesia. Jambori ini akan berlangsung di Ujung Padang, Indonesia.

3.Di perjumpaan ini juga diperkenalkan Penolong-penolong Pesuruhjaya peringkat PPM Sungai Besar. Di samping itu satu Pasukan Latihan Daerah telah dibentuk bagi membantu pemimpin-pemimpin kumpulan melaksana aktiviti. Mereka akan membantu dari segi kepakaran dalam menjayakan aktiviti yang melibatkan penganugerahan lencana kepada ahli-ahli pengakap.

Semoga PPM Sungai Besar terus aktif menjalankan aktiviti samada di peringkat kumpulan mahupun di peringkat PPM Sungai Besar itu sendiri.