Friday, May 21, 2010

Bersarapan Bersama YB


Rakyat didahulukan yang menjadi sebutan ketika ini, hari ini menjalar ke SK Seri Makmur. Pada pagi tadi 21.5.2010 (Jumaat) ADUN Sungai Panjang, Dato' Seri Dr. Mohd Khir bin Toyo telah hadir ke SK Seri Makmur. Program Bersarapan Bersama Rakyat ini telah dilaksanakan sebagai salah satu aktiviti untuk beliau bersua muka dan mengambil tahu tentang masalah rakyat yang berada di kawasan beliau.


Semua guru dan murid SK Seri Makmur dapat makan percuma pada hari ini. Inilah hakikat yang berlaku di negeri Selangor ketika ini. Nampaknya wakil rakyat terpaksa berlumba-lumba turun padang...kalau tidak...emmmm ? Pihak yang sebelah satu lagi juga akan turun dengan program mereka. Akhirnya...rakyat yang untung.... Bertuahnya aku tinggal di bumi Selangor ini.

Wednesday, May 19, 2010

Terima Kasih Je..lah...Mr Bo...

16 Mei 2010...aku tertarik kepada beberapa mesej yang telah masuk ke ruang pesanan di blog saya. Pesanan yang ditulis oleh seseorang yang bersembunyi di sebalik gelaran Mr Bo. Aku tertarik kepada mesej ini. Jom mari kita baca semula mesej tersebut:

mr bo. Salam perkenalan...sy bkn sape2...tp sy pn pernh bkhdmt dng cikgu...just nk advise cikgu...mngkin ini adalah balsan kpd cikgu...sy sudah lm melawati blog cikgu dn jg fb cikgu...

mr bo. Sy dapati, tlalu byk unsur2 kata2 fitnh antr cikgu dan guru2 d SK XXXX2... jd sy jg nk igtkn cikgu, mngkin fitnh yg cikgu dpt 2, blsn kpd fitnh yg pernh cikgu hmbur kn ... wassalam.

mr bo. pepun... Selamat Hari Guru.

Ulasan saya:

"Salam perkenalan...tp sy pn pernh bkhmt dng cikgu." Perlukah seseorang yang pernah mengenali saya menghulurkan salam perkenalan. Seorang yang mengenali saya tetapi menyembunyikan identitinya. Orang kata tak kenal maka tak cinta. Orang yang tidak ikhlas dan menyembunyikan identiti seperti ini tidak layak dijadikan sebagai sahabat.

"just nk advise...." Alhamdulillah kerana anda sudi untuk memberi nasihat kepada saya. Terima kasih.

"sy sudah lm melawati blog cikgu dn jg fb cikgu..." Beginikah sikap seorang yang pernah berkhidmat bersama-sama saya...mengaku sudah lama melawat dan mengikuti blog dan fb saya...tetapi tidak pernah langsung bertanya dan menegur sapa tambah-tambah lagi mengesan ada kata-kata berunsur fitnah telah saya lakukan...kenapa anda tidak bersuara pada waktu itu. Apakah tugas anda hanya sebagai pengintip yang ditugaskan untuk mendapatkan maklumat dan seterusnya melaporkan kepada pihak tertentu. Di mana tanggungjawab anda sebagai seorang bekas rakan setugas saya.

"mngkin ini adalah balsan kpd cikgu""jd sy jg nk igtkn cikgu, mngkin fitnh yg cikgu dpt 2, blsn kpd fitnh yg pernah cikgu hmbur kn" Ya...kalaupun, satu fitnah yang saya dapat itu sebagai balasan...saya terima dengan redha...tetapi saya nak tanya...sudahkah mr bo menasihatkan pihak berkenaan...di atas fitnah yang mereka terima daripada saya dan rakan-rakan seperti yang mr bo katakan. Sepatutnya mr bo mesti mengutamakan mereka dengan memberi nasihat kepada pihak berkenaan terlebih dahulu, kerana mereka lebih banyak menerima fitnah berbanding dengan saya. Ini bermakna balasan yang mereka terima lebih banyak daripada balasan yang saya terima. Sudahkah anda laksanakan tugas anda sebagai penasihat orang yang menerima fitnah dengan mengatakan fitnah yang mereka perolehi adalah satu balasan terhadap apa yang pernah mereka hamburkan...

"sy dapati, tlalu byk unsur2 kata2 fitnah antr cikgu dan guru2 SKXXX2" Saya nak tanya mr bo...betulkah terlalu banyak unsur-unsur kata-kata fitnah antara saya dan guru-guru SK XXXX. Kalau saya difitnah ...saya tulis secara jelas apa bukti fitnah itu sebagaimana ent3 yang saya telah postkan sebelum ini. Bolehkan mr bo bawakan semua kata-kata fitnah yang pernah saya dan kawan-kawan saya luahkan... kalau mr bo tidak dapat untuk buktikan...ini membuktikan mr bo sendiri yang cuba membuat fitnah. Hanya budak prasekolah sahaja yang layak untuk bercakap tanpa bukti.

Mr bo...hakikatnya:

Anda perlu faham segala kata-kata antara saya dan rakan-rakan tentulah ada puncanya. Apa yang saya dapati rakan-rakan saya hanyalah meluahkan perasaan. Ya...perasaan yang mereka pendamkan jauh di lubuk hati. Mereka mencari saya, sebagai tempat untuk meluahkan perasaan yang terbuku itu...kerana mereka tahu segala yang mereka alami itu adalah sama dengan apa yang pernah saya alami. Kalau itu yang anda katakan fitnah...anda perlu masuk ke sekolah semula... kerana anda tidak dapat membezakan antara fitnah dan realiti.

Salahkah saya...melayan, memberi perangsang, menyabarkan rakan-rakan saya yang tertekan itu. Adakah itu juga dikategorikan fitnah oleh anda? Sepatutnya...anda ambillah sedikit masa...berdiri di hadapan cermin dan lihatlah diri anda. Dan jawablah soalan ini...Sempurna sangatkah diri ini? Adakah aku yang terbaik di sini? Adakah aku seorang sahaja yang serba tahu segala hal di alam pendidikan ini? Adakah aku seorang sahaja yang begitu memberi komitmen terhadap P&P di sekolah ini? Anda jawablah semuanya dengan hati yang ikhlas...semoga di lain kali, anda tidak memandang rendah kepada orang di bawah anda. Anda harus faham...tanpa ada orang di bawah yang melakukan kerja...saya pasti anda tidak akan ke mana-mana.

Harapanku...

Layanlah orang yang berada di bawah dengan lebih berhemah...kerana mereka juga ada perasaan. Cuba anda bayangkan...kalau kata-kata yang dihamburkan itu ditujukan pula kepada anda...apa perasaan anda.?

Dan akhirnya...

Saya harap mr bo tidak ambil hati terhadap apa yang saya coretkan ini. Inilah hakikat yang mr bo terpaksa terima bila mr bo masuk ke dunia blog dan fb...lebih-lebih lagi apabila berani pula menulis di blog orang lain...kerana blog itu umpama rumah kepada yang empunya...jadi berhati-hatilah. Bak kata orang tua-tua 'Kalau tak berani dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai'.

Apa-apa pun saya rasa...saya tahu siapa mr bo yang sebenar...kerana bagi saya mencari identiti sebenar mr bo ibarat mencari antah di dalam segenggam beras...ahhhh terlalu mudah. Tambahan pula mr bo pernah berkhidmat bersama saya.

Titik.

Monday, May 17, 2010

Sambutan Hari Guru Peringkat SK Seri Makmur


Sambutan Hari Guru Peringkat SK Seri Makmur telah diadakan pada 17 Mei 2010. Majlis dimulakan pada pukul 7.30 pagi dan berakhir pukul 1.50 tengah hari. Semua murid dari sesi pagi dan petang telah hadir pada sesi pagi.



Majlis dimulakan dengan majlis bacaan Surah Yasin di Dewan Seri Makmur. Majlis ini diketuai oleh Ustaz Baharudin bin Halit. Murid tahap 2 berada di dalam dewan manakala murid tahap satu ditempatkan di khemah yang di sediakan di tapak perhimpunan.

Adik Mohd Nazril Fitri memberi hadiah kepada Cikgu Mohd Rafi.

Acara penyampaian hadiah oleh murid-murid kepada guru-guru telah diadakan selepas selesai majlis bacaan Surah Yasin.

GPK Kokurikulum En. Mohd Aini dan GPK Kurikulum Tn. Hj. Mohd Multazam Khir bersaing untuk menamatkan acara menggolek tayar motorsikal.

Acara sukaneka telah dijalankan di padang SK Seri Makmur. Guru lelaki membuat satu kumpulan manakala guru perempuan pula bermain dalam kumpulan guru perempuan. Antara acara dilakukan oleh guru lelaki ialah memasukkan gelung rotan ke dalam skital, menggolek tayar motorsikal, menimang bola takraw dan memukul bola hoki.

Murid-murid lelaki ceria sambil menikmati aiskrim.


Pada waktu rehat, guru-guru mengedarkan aiskrim kepada setiap murid dan guru. Lebih kurang 1500 kon aiskrim telah diedarkan dan dinikmati bersama antara guru dan murid.


Guru menyanyikan lagu Guru Malaysia dan lagu tema Guru Pembina Negara Bangsa

Acara dewan diteruskan selepas rehat. Lagu Guru Malaysia dan lagu tema Hari Guru telah diketuai oleh koir yang dibentuk oleh guru-guru Kelas Pendidikan Khas. Tarian Endang telah turut dipersembahkan oleh para pelajar dari kelas pendidikan khas.

Guru-guru di bawah khemah untuk menikmati jamuan yang ditaja oleh PIBG.

Pada sebelah tengah hari, selepas selesai acara Sambutan Hari Guru yang dikendalikan oleh pihak sekolah, guru-guru telah diraikan pula oleh AJK PIBG SK Seri Makmur. Satu jamuan makan tengah hari telah diadakan di dalam khemah yang disediakan oleh PIBG.

Para pentadbir sedang memotong kek pemberian YB Noriah, YB Mohd Khir Toyo dan Bank Rakyat. Dari kiri En. Mohd Aini, GPK Kokurikulum, Tn Hj Mohd Multazam Khair, GPK Kurikulum, En. Mohd Aziz, GPK Pendidikan Khas, Pn Hjh Sariah, Guru Besar, Pn Hjh Noraini, GPK HEM dan Pn Hjh Nor Ayezati, GPK Petang.

Sebanyak 5 biji kek telah disumbangkan oleh Pn. Hajjah Sariah iaitu Guru Besar SK Seri Makmur bagi meraikan guru-guru yang lahir pada bulan Januari, Februari, Mac, April dan Mei. Tiga biji kek juga telah disumbangkan oleh masing-masing daripada YB Puan Hajjah Noriah binti Kasnon, Ahli Parlimen Sungai Besar, YB Dato' Seri Haji Mohd Khir bin Toyo ADUN Sungai Panjang dan sebiji lagi kek telah dihadiahkan oleh Bank Rakyat Cawangan Sungai Besar.

Pn Siti Aisyah menerima cenderamata daripada En. Halim Masri, YDP PIBG SK Seri Makmur.
En. Azman menerima cenderamata daripada YDP PIBG

PIBG juga telah menyumbangkan hadiah kepada dua orang guru yang berkhidmat dengan cemerlang di SK Seri Makmur. Pn. Siti Aisyah binti Sariaat telah dipilih oleh PIBG bagi ketegori perempuan manakala bagi kategori lelaki pula jatuh kepada En. Azman bin Ishak.

Thursday, May 13, 2010

Guru Oh Guru


Indahnya bait-bait kata yang digunakan oleh Sasterawan Negara Allahyarham Usman Awang dalam puisi di bawah ini.

Marilah kita hayati bersama.

Dialah pemberi paling setia,
Tiap akar ilmu miliknya,
Pelita dan lampu segala,
Untuk manusia sebelum menjadi dewasa.

Dialah ibu,
Dialah bapa juga sahabat,
Alur kesetiaan mengalir nasihat,
Pemimpin yang ditauliahkan,
Seribu tahun katanya menjadi hikmat:

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa,
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta,
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara,
Jika hari ini seorang ulamak yang mulia,
Jika hari ini seorang peguam menang bicara,
Jika hari ini seorang penulis terkemuka,

Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa,
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis baca,
Di mana - mana dia berdiri di muka muridnya,
Di sebuah sekolah mewah di ibu kota,
Di bangunan tua sekolah di Hulu Terengganu,
Dia adalah guru mewakili seribu buku,
Semakin terpencil hidupnya di ceruk desa,
Semakin bererti tugasnya kepada negara.

Jadilah apa pun pada akhirnya kehidupanmu,
Guruku,
Budi yang diapungkan di dulang ilmu,
Panggilan keramat "CIKGU" kekal terpahat,
Menjadi kenangan di akhir hayat.

Saya mengucapkan SELAMAT HARI GURU kepada semua kawan-kawan yang bergelar guru.
16 Mei Hari Kita...Sama-sama kita raikannya.

Wednesday, May 12, 2010

Di Perjalanan Ini

Membelek album lama...terjumpa coretan yang kubuat tahun 1987, 23 tahun yang lalu. Aku membacanya.

Ehtah mengapa
Semakin jauh perjalanan ini
Semakin aku tidak mengerti
Ke manakah yang kutuju
Dan apakah sebenarnya yang kucari

Kedewasaan
Apakah cuma bermakna peningkatan usia
Sedangkan kematangana mengheret diri
Kepada sejuta persoalan Yang kian terjawab
Kian pula membingongkan

Aku tidak harus bertanya
Kerana setiap jawapan
Sebenarnya adalah soalan
Dan penyelesaian pula
Menambahkan masalah
Demikianlah seterusnya
Tanpa kira perjalanan yang mencabar ini
Kadang kala mengasyikkan
Hingga air mata bisa menjadi penawar
Dan tawa ria kadang kala menyiksakan

Meskipun...
Perjalanan ini penuh segala misteri
Yang takut terkupas oleh sejuta kata
Namun yang pasti
Aku tidak akan berhenti
Hingga tiba ke titik akhirku nanti.


di sudut kamar sepi,
hati seorang aku
zam, mpsk, kl'87.

Monday, May 10, 2010

Fitnah Lebih Dasyat Daripada Membunuh

Kepada yang berkenaan,
Bacalah luahan hatiku ini.

Tengah hari Isnin, seperti biasa selepas mengesahkan kedatangan, aku terus sahaja ke bilik GPK Petang untuk mengambil buku Ringkasan Mengajar. Sebelum sempat berlalu, aku dipanggil oleh GPKP. Cikgu Zainon mari sekejap...nak tanya sesuatu. Aku kembali melangkah masuk ke biliknya. Apa hal cikgu tanya saya.

Betulkah Cikgu Zainon ada tulis dalam blog cikgu yang mengatakan " Cikgu bawah buat kerja teruk-teruk...Guru Besar yang naik pentas ambil hadiah". Ah...agak kaget sebentar aku, bila persoalan itu dilontarkan kepada ku. Aku diam sebentar...mengingat semula ent3-ent3 yg pernah ku postkan...Rasa-rasanya tak adalahlah cikgu jawab ku yakin.

Siapa yg cakap begitu...aku cuba mencari punca. Minggu lepas, semasa mesyuarat GB, Pn NNNN beritahu macam ni pada GB...Cikgu ada baca blog cikgu-cikgu Seri Makmur tak? Kenapa, tanya GB. Ada cikgu Seri Makmur tulis dalam blognya...Cikgu bawah kerja teruk-teruk...GB yang naik pentas ambil hadiah. Cikgu siapa yang tulis macam tu, tanya GB...Cikgu Zainon jawab Pn NNNN. Aduh ini bermakna beliau menuduh saya pernah menulis ent3 seperti itu.

Kemarahan apakah yang menyebabkan saya dituduh menulis seperti itu. Tidak cukupkah lagi segala apa yang telah dilakukan terhadap saya semasa saya di SK XXXX sehingga sanggup pula untuk menimbulkan rasa tidak puas hati GB atau sengaja untuk melaga-lagakan saya dengan GB.

Memang saya akui, saya sudah tidak selesa untuk berkhidmat di SK XXXX, justeru itu saya mengambil keputusan mengundur diri. Yang lepas-lepaslah...cukuplah saya dihentam dari kiri dan kanan... biarlah saya di sini, di sekolah baru, di suasana baru, di persekitaran baru, dengan jiwa baru...berkhidmat dengan penuh dedikasi dan bertanggungjawab. JANGAN FITNAH SAYA DENGAN APA YANG SAYA TIDAK LAKUKAN...semata-mata untuk melepaskan amarah anda. Saya tahu batang tubuh saya sudah tak ada di SK XXXX, justeru anda begitu ketagih untuk memarahi saya,mencari salah saya, so mungkin inilah caranya anda lakukan...yang penting saya dan pentadbir akan bermasam muka. Mungkin itu yang ingin anda agendakan.

Buat Guru Besarku....
Dengarlah, percayalah...SAYA TIDAK PERNAH MENULIS SEPERTI ITU. Saya tahu Pn Hajjah tidak berapa sihat, saya tahu Suami Pn. Hajjah tidak sihat, saya tahu Pn Hajjah terpaksa memikirkan pelbagai perkara dalam mentadbir sekolah ini. Tak terlintas langsung di hati ini untuk menambah keserabutan di minda Pn Hajjah. Mungkin Pn Hajjah agak keliru...kerana dari luaran orang yang menyampaikan cerita itu...tak mungkin dia membuat FITNAH, tapi percayakah Pn Hajjah...yang saya sanggup menulis seperti itu? Saya pun manusia yang punya akal budi, saya punya pemikiran yang masih waras...saya masih menyimpan perasaan terima kasih yang tak terhingga di atas kesudian Pn Hajjah menerima saya sebagai warga di sekolah ini. Lantaran penghargaan itu saya bertekad menjadikan amanah sebagai guru Data SMM...menghasilkan data 99% dijamin betul dan tepat. Dan saya lakukan semua itu sebagai tanda ucapan terima kasih di atas kesudian menerima saya berkhidmat di sini...dan sebagai ucapan terima kasih di atas ketidaktersenarainya saya di kalangan sepuluh nama yang akan di pindahkan ke Petaling Jaya awal tahun tadi.

Kepada Pn NNNN,
Saya tahu, dan saya kenal anda. Saya pernah berkhidmat di bawah anda. Saya tidak marahkan anda. Saya tahu tahap kemahiran ICT anda. Saya tahu anda tak bacapun blog saya. Saya tahu anda tak pernah pun buka blog saya. Saya tahu anda hanya mendengar dari orang ketiga. Tak palah ... apa yang anda sampaikan kepada GB saya...itu sebenarnya tidak betu1...itu semuanya FITNAH. Tentu anda lebih tahu...tentang FITNAH ini...ia lebih dasyat daripada membunuh. Apa yang saya ingin sarankan kepada anda...selidiklah terlebih dahulu tentang sesuatu perkara yang anda tidak pasti. Janganlah anda terlalu percaya kepada orang yang berada di sekeliling anda. Mereka hanya apek lempang yang akan menjadikan orang lain hilang hormat kepada anda. Anda ketua...oleh itu jadilah ketua yang dilihat betul-betul sebagai ketua...jangan jadi ketua yang dilihat takut dan kalah kepada orang yang di bawah anda.

Pn NNNN...bukalah blog saya...bacalah kalau-kalau anda akan terbaca tentang apa yang anda perkatakan. Setakat ini semua ent3 yang telah saya post belum satupun yang saya delete. Apa yang ada...itulah semuanya...sejak saya menulis di ruang maya ini. Cuma saya ada mendelete ruangan CHAT atas permintaan rakan saya. Itu sahaja. Semoga apa yang saya coretkan ini tidak menimbulkan lagi kemarahan anda. saya meminta maaf di atas segala tutur kata.

Coretan ini hanya luahan apa yang terbuku di hati...terima kasih kepada yang sudi membacanya.

ENT3 INI BUKAN SAHAJA DI BACA OLEH 1 MALAYSIA TETAPI IA DIBACA OLEH 1 DUNIA
BIAR 1 DUNIA TAHU SAYA TAK BERSALAH.........SAYA DIFITNAH

Thursday, May 6, 2010

Gelembong Buaya

Haa... apa sebenarnya menatangnya gelembong buaya ni. Mungkin bagi rakan-rakan dari pantai barat tak tahu , apa bendanya gelembong buaya ni. Buaya ke?, Biawak ke? Macam tupai ke ? atau apa-apalah yang terbayang difikiran.

Tapi...bagi rakan-rakan dari pantai timur, menatang gelembong buaya ni bukan asing bagi mereka. Sebut je gelembong buaya...sah terus terbayang di fikiran...benda apakah itu.

Begitu juga bagi saya... 25 tahun yang lepas, bila kekawan sebut gelembong buaya...saya tak tahu apa bendanya. Tapi berkat tinggal serumah dengan rakan -rakan dari Kelantan dan Terengganu selama dua tahun semasa belajar di Maktab Perguruan Seri Kota dahulu...bila sebut je gelembong buaya, saya dah dapat bayangkan.

Apa dia gelembong buaya tu. Hah..tengok sendiri gambar di bawah ni...



Inilah dia gelembong buaya tu...ia bukan binatang ..bukan buaya, bukan biawak dan bukan tupai tetapi ia ialah sejenis kuih yang berasal dari negeri Cik Siti Wan Kembang. Saya mula menikmati kuih yang manis hasil gabungan beras pulut, gula dan kelapa ini 25 tahun yang lalu. Rasanya manis dan lemak sesuai dengan selera masyarakat Kelantan.

Tapi keenakan kuih ini telah 20 tahun tak dapat saya nikmati..sehinggalah saya mengadu kepada seorang rakan di sekolah yang berasal dari negeri Kelantan. Dan hasilnya pada minggu lepas Ustaz Borhanuddin telah membawakan saya kuih tersebut. Terubatlah rindu saya untuk menikmatinya...terima kasih ustaz di atas jasa baik anda. Namun begitu rasa terkilan juga kerana ustaz tak nak terima bayaran dari saya...tak pa nanti saya belanja ustaz pula di kantin..ya...