Monday, November 14, 2011

Tahniah Buat Dua Rakan Guru SK Seri Makmur

Tahniah diucapkan kepada dua orang guru SK Seri Makmur kerana telah dinaikkan pangkat.

Tuan Haji Mohd Thani bin Darus GPK Kurikulum SK Seri Makmur telah dinaikkan pangkat sebagai Guru Besar di SK Seri Cempaka, Sungai Apong, Sungai Air Tawar, Selangor.

dan... Puan Hajjah Zalina binti Hassan yang telah dinaikkan pangkat sebagai GPK Kokurikulum di SK Sungai Haji Dorani, Sungai Besar Selangor.

Semoga anda berdua terus cemerlang di tempat baharu.

Wednesday, November 9, 2011

Keputusan UPSR 2011 Diumumkan Pada 17 Nov. 2011

KEPUTUSAN PEPERIKSAAN

UJIAN PENCAPAIAN SEKOLAH RENDAH

TAHUN 2011

Majlis Pengumuman Analisis Keputusan UPSR 2011 akan diadakan pada hari Khamis, 17 November 2011 pada jam 9.00 pagi di Bilik Mesyuarat Utama, Aras 6, Blok E8, Kompleks Kerajaan Parcel E, Putrajaya.

Pada tahun ini seramai 497,691 orang calon telah menduduki UPSR di 8,235 pusat peperiksaan di seluruh negara.

Calon boleh mendapatkan keputusan mereka daripada sekolah masing-masing selepas jam 10.00 pagi pada hari yang sama.

Lembaga Peperiksaan

Kementerian Pelajaran Malaysia

9 November 2011

Monday, November 7, 2011

Program Ibadat Korban Taman Padu Permai 2011


7 November 2011 (Isnin): Program Ibadah Korban telah dilaksanakan di Taman Padu Permai. Program yang bermula pada pukul 8.30 pagi telah diadakan di balai raya Taman Padu Permai.

Sebanyak lima ekor lembu telah dikorbankan pada tahun ini. Alhamdulillah program telah berjalan dengan lancar dalam keadaan hujan yang renyai.

Kerjasama daripada penduduk taman telah berjaya menyelesaikan ibadah korban ini menjelang pukul 10.30 pagi.

Semoga program seperti ini akan diteruskan pada tahun akan datang.

Wednesday, November 2, 2011

Cuti Sempena Aidil Adha 2011

Sempena Sambutan Hari Raya Aidil Adha, SK Seri Makmur akan bercuti pada 7 Nov. 2011 (Isnin) hingga 8 Nov. 2011 (Selasa).

Sekolah akan berjalan seperti biasa pada 9 Nov. 2011 (Rabu).

Selamat Hari Raya Aidil Adha dan Selamat Bercuti. Berhati-hati di jalan raya.

Anak-anak Melawat KL


1 Nov. 2011 (Selasa): Hari ini keempat-empat anak bujangku telah pergi melawat ke Kuala Lumpur. Tiga orang hanya menjadi peneman kepada anak bungsu yang mengikuti lawatan anjuran Tadika Kemas Parlimen Sungai Besar.

Oleh kerana hanya lima orang murid sahaja yang mengikuti lawatan, jadi banyak kerusi kosong lagi dalam bas tersebut. Kesempatan itu digunakan oleh saya bagi menambah ilmu dan pengalaman untuk anak-anak. Nak harap saya yang membawa mereka..emmm, entahlah.

Antara tempat yang dilawati ialah Pusat Sains Negara, Muzium Negara dan Desa Water Park.

Nampaknya lawatan tersebut berjaya kerana semua mereka ceria semasa pulang ke rumah.

Wednesday, October 26, 2011

Majlis Graduasi Tadika KEMAS Parlimen Sungai Besar


26 Oktober 2011 (Rabu): Hari ini telah berlangsung Majlis Graduasi Tadika Kemas bagi Parlimen Sungai Besar. Majlis telah diadakan di Dewan Seri Simpang Lima Sungai Besar.
Majlis yang bermula pukul 7.30 pagi ini telah dirasmikan oleh YB Datuk Hajjah Noriah binti Kasnon Timbalan Menteri Tenaga Teknologi Hijau dan Air merangkap Ahli Parlimen Sungai Besar.

Anak bungsu saya Muhammad Khairul Rasyid turut terlibat dalam majlis ini. Tahniah diucapkan kepada Muhammad Khairul Rasyid kerana berjaya menghabiskan pembelajaran di Tadika Permata Hati, Taman Padu Permai.

Sunday, October 16, 2011

Jambori Di Udara (JOTA) Pengakap Dunia ke-54 / 2011


Jambori Di Udara (JOTA) Pengakap Dunia ke-54 /2011 peringkat negeri Selangor telah diadakan dari 14 Oktober 2011 hingga 16 Oktober 2011. PPM Daerah Sungai Besar telah diamanahkan sebagai tuan rumah bagi Jambori Peringkat negeri Selangor bagi zon utara.

Aktiviti ini telah diadakan di SMK Dato' Mustaffa , Pasir Panjang, Sekinchan, Selangor. Seramai 49 orang peserta telah menyertai Jambori ini.

Yang Dipertua Majlis Pengakap Sungai Besar iaitu YB Puan Hajjah Noriah binti Kasnon telah melaksanakan majlis penutupan JOTA ini.

SK Seri Makmur turut menyertai Jambori DI Udara ini dengan menghantar empat orang ahli Pengakap Kanak-kanak Kumpulan 17 Sungai Besar.