Monday, May 31, 2010

Majlis Persaraan Guru Besar Cemerlang SK Seri Makmur


Hari ini, 31 Mei 2010 telah berlangsung sambutan Majlis Persaraan Guru Besar Cemerlang SK Seri Makmur, Pn Hjh Sariah binti Sidek. Majlis bermula pada pukul 9.00 pagi dengan kehadiran para tetamu jemputan.
Tetamu yang hadir mendaftar di kaunter pendaftaran
Antara tetamu yang hadir.
Atur cara dimulakan dengan bacaan doa.
Bacaan doa diketuai oleh Ustaz Tn Hj Baharuddin bin Halit, Guru Cemerlang Pendidikan Islam SK Seri Makmur.
Kemudian diikuti dengan ucapan oleh Yang Dipertua PIBG SK Seri Makmur
En. Halim bin Masri Yang Dipertua PIBG SK Seri Makmur sedang menyampaikan ucapan.
Seterusnya ucapan Guru penolong Kanan Kurikulum SK Seri Makmur
Ucapan GPK Kurikulum SK Seri Makmur Tn Hj Mohd Multazam Khir bin Mohd Affandi.
Ucapan Pegawai Pelajaran Daerah Sabak Bernam, Pn Hjh Samsiah binti Dato' Hj Jamaluddin.
Selesai ucapan daripada Pegawai Pelajaran Daerah Sabak Bernam, yang diraikan telah didudukan di atas pelamin. Beliau dan suami telah diraikan bak raja sehari. Sebelum persembahan multimedia tentang riwayat hidup Pn Hjh Sariah ditayangkan beliau telah dipersembahkan dengan silat pengantin oleh dua orang pesilat.

Pn Hjh Sariah dan suami didudukkan di atas pelamin sambil menonton persembahan multimedia.
Acara ucapan diakhiri dengan ucapan yang diraikan.
Pn. Hjh. Sariah menyampaikan ucapan terakhirnya kepada para tetamu yang hadir.
Pn Hjh Sariah menandatangani nota serah tugas kepada GPK Kurikulum Tn Hj Mohd Multazam Khir dengan disaksikan oleh Pegawai Pelajaran Daerah Pn Hjh Samsiah.
Persembahan oleh murid-murid Tahun 6.
Pn Hjh Sariah menyerlahkan bakatnya dalam bidang seni nyanyian dengan menyampaikan sebuah lagu khas dituju kepada hadiran yang hadir.
Penyampaian hadiah oleh para tetamu.
Selesai majlis penyampaian hadiah, para tetamu telah ke kantin sekolah untuk menikmati jamuan makan beradap.

Dalam perjalanan ke kenderaan yang menanti, Pn Hjh Sariah dan suami bersalam-salaman dengan guru-guru dan kakitangan SK Seri Makmur.
Murid-murid tidak ketinggalan berbaris di sepanjang laluan untuk mengambil peluang mengucapkan selamat jalan kepada Guru Besar yang disayangi.
Dengan perasaan sayu semua kaki tangan sekolah melepaskan pemergian Pn Hjh Sariah. Dari atas kenderaan yang bergerak pergi, Pn Hjh Sariah melambaikan tangan tanda ucapan selamat tinggal kepada semua warga SK Seri Makmur.

Sunday, May 30, 2010

940 Kilometer Selama Tiga Hari

Di Sunshine Bay Resort
Cuti selama tiga hari, sebahagian besarnya saya habiskan di dalam kereta. Selama tiga hari, saya berjaya memandu sejauh 940 kilometer. Memulakan perjalanan pada pukul 8.45 pagi, saya dan keluarga bergerak ke arah selatan tanah air.

Mula memasuki lebuh raya PLUS di Paya Jaras. Dari tol Rawang saya meneruskan pemanduan sehinggalah berhenti di R&R Seremban. Cadangan untuk makan tengah hari di sini gagal kerana semua tempat duduk dipenuhi pelaggan. Setelah menunggu untuk beberapa lama, nampaknya harapan untuk mendapat tempat gagal. Kami mengambil keputusan membeli air botol dan buah-buahan potong untuk alas perut. Kami meneruskan perjalanan.

Akhirnya, apabila waktu sudah melewati pukul 2 petang, perut perlu isi. Kami singgah di R&R Pagoh. Alhamdulillah, walaupun ramai orang tetapi mendapat pekena nasi ayam Muar. Nak mencuba rasa nasi ayam Muar..rasanya emmmm...bolehlah. Selesai jamak Zuhur dan Asar, kami meneruskan perjalanan semakin jauh ke negeri Darul Takzim ini.

Anak-anak dah mula senyap...tidurlah tu. Apabila tiba di susur keluar Air Hitam, saya membelokkan kereta keluar dari Lebuh Raya Plus. Saya membayar RM 38.60 bagi bayaran tol. Saya meneruskan perjalanan ke destinasi yang dituju iaitu Bandar Kluang. Tiba di Kluang, hujan lebat mula mencurah turun. Saya mencari rumah kakak di sana. Walaupun tiba di depan rumah...saya tak dapat untuk turun kerana hujan lebat, telefon kakak pula tidak berangkat. Saya keluar semula dari perumahan Yap Tau Sah menuju ke Dewan Orang Ramai di kampung Paya Kluang. Di sinilah, abang sulung saya akan mengadakan majlis walimatul urus nak perempuannya.

Semasa tiba di dewan, dua orang abang sibuk menyusun meja. Oleh kerana kepenatan saya tidak turun, tambahan pula lima orang adik-beradik saya telah pun tiba dari Selangor. Mereka mengajak saya terus berehat di chalet yang ditempah oleh mereka. Tiba di chalet, sudah hampir pukul 6 petang...semua bilik penuh...mujurlah mereka dah tempah.

Saya tidak tinggal di chalet, kerana saya hendak bermalam di rumah adik bungsu perempuan yang berada tidak jauh dari chalet ini. Malam, semua adik-beradik berkumpul di rumah abang sulung di Taman Koperasi. Abang mengadakan majlis tahlil dan akad nikah. Pagi, semua adik-beradik dari Selangor berkumpul di rumah Mak Su. Kami bersarapan bersama-sama. Jarang dapat berkumpul beramai-ramai. Sepuluh daripada sebelas adik-beradik telah turun ke Kluang. Seorang adik yang tinggal di Lenggong, Perak tidak dapat hadir kerana ada urusan lain.
Bersarapan di rumah Mak Su

Pagi saya ke Taman Yap Tau Sah... kerana Mak Andak (kakak saya) beria-ia mengajak ke rumahnya. Ya..lah, dah sampai di Kluang, nak tak nak kenalah pergi. Sebenarnya ada tiga orang adik-beradik saya tinggal di Kluang.

Selepas ke dewan, untuk menghadiri kenduri...saya meminta diri untuk pulang. Lebih kurang pukul 2 petang, saya memulakan perjalanan. Isteri mengajak singgah di Air Hitam. Kenalah layan, kalau tak nanti sepanjang perjalanan tarik muka 14. Setelah mendapat benda yang dihajati...bukan apapun, pasu bunga je...kami meneruskan perjalanan.

Waktu menunjukkan pukul 5 lebih. Disebabkan saya kurang selesa memandu di waktu malam, saya mengambil keputusan singgah bermalam di Port Dickson. Alamak...semua hotel yang disinggahi penuh...Waktu dah hampir 6.30 petang, saya masih tidak mendapat tempat penginapan. Saya singgah di Sunshine Bay Resort...syukur, ada sebuah apartment kosong. Malam itu saya bermalam di situ. Seawal 7.30 pagi anak-anak dah pergi ke kolam mandi. Bebudak...begitulah kesukaannya. 8.30 pagi anak-anak dah balik, mereka minta izin untuk mandi laut...saya tak benarkan sebab perlu segera bertolak balik.
Anak-anak mandi di Sunshine Bay Resort.

Saya meneruskan perjalanan mengikut jalan persekutuan...Port Dickson ..Sepang. Isteri dan anak-anak mengajak singgah di Putrajaya...emmm..layan jelah. Balik dari Putrajaya..sesatlah pulak...akhirnya dapat semula laluan ke Shah Alam. Terus masuk ke lebuh raya Gutrie. Akhirnya tepat pukul 3.30 petang saya selamat samapai di rumah...terus masuk bilik...betulkan urat sarap yang sakit-sakit tu...940 kilometer...pemanduan terjauh saya setakat ini..penat--penat..memang penat. habislah cuti tiga hari saya....besok mujur tak mengajar..sebab ada majlis persaraan Guru Besar di sekolah...
Singgah di Putrajaya.

Thursday, May 27, 2010

Majlis Prapersaraan Guru Besar SK Seri Makmur


27 Mei 2010 , Khamis - Hari ini telah berlangsung aktiviti Prapersaraan Guru Besar SK Seri Makmur. Sambutan ini diadakan di Dewan Seri Makmur. Acara bermula pada pukul 3.30 petang.

Program ini diadakan bagi memberi peluang kepada murid-murid tahap 1 bersua muka dengan Guru Besar yang bakal bersara untuk kali terakhir. Hal ini demikian, pada 31 Mei nanti apabila Majlis Persaraan Guru Besar diadakan semua murid Tahun 1 hingga Tahun 4 telah diberi kebenaran untuk tidak hadir ke sekolah.

Tentatif program dimulakan dengan bacaan doa yang diketuai oleh Ustaz Khozym Afif @ Arif. Kemudian diikuti oleh ucapan yang diraikan PN. Hajjah Sariah binti Sidek, Guru
Besar SK Seri Makmur.
Bacaan doa oleh Ustaz Khozym Afif

Pn. Hajjah Sariah menyampaikan ucapan

Selesai ucapan Guru Besar, persembahan daripada murid-murid tahun 3. Beberapa buah lagu telah didendangkan oleh murid-murid yang terlibat. Tertarik dengan gelagat murid-murid ini, Pn Guru Besar telah meminta agar persembahan ini juga turut dipertontonkan pada 31 Mei nanti.
Persembahan oleh murid-murid Tahun 3

Guru-guru dan murid-murid juga diberi peluang menyampaikan hadiah kepada Guru Besar. Hadiah bagi guru dan murid sesi petang terpaksa diberi pada hari ini bagi menjimatkan masa pada hari Isnin depan memandangkan jemputan yang agak ramai. Jadi sudah pasti sesi penyampaian hadiah akan mengambil masa yang lama.

Salah seorang guru menyampaikan hadiah

Setelah tamat sesi penyampaian hadiah...Dipertontonkan pula tayangan multimedia yang berkaitan dengan riwayat hidup Pn Hjh Sariah. Murid-murid begitu kagum dengan kebolehan Guru Besar mereka yang begitu aktif dalam bidang nyanyian dan lakonan sewaktu usia muda beliau.

Justeru itu, demi memenuhi permintaan...Guru Besar telah menyampaikan sebuah lagu sebagai ole-ole kepada semua warga SK Seri Makmur. Selesai menyanyikan lagu, murid-murid pun beratur untuk bersalaman dengan Guru Besar bagi menandakan berakhirnya Program Prapersaraan pada petang ini.

Pn. Hajjah Sariah menyampaikan sebuah lagu dituju khas kepada warga SK Seri Makmur.

Murid-murid bersalaman dengan Pn. Hjh Sariah

Jasamu tetap Dikenang...Semua warga SK Seri Makmur kagum dengan kepimpinanmu yang membawa sekolah ini ke mercu kecemerlangan.

Wednesday, May 26, 2010

Jadual Peperiksaan Pertengahan Tahun

Peperiksaan Pertengahan Tahun SK Seri Makmur akan berlangsung pada 1.6.2010 hingga 4.6.2010. Berikut adalah jadual peperiksaan bagi Tahap 1:

Selasa - 1.6.2010
2.00 hingga 3.15 petang - Bahasa Melayu Penulisan
3.55 hingga 4.45 petang - Bahasa Melayu Pemahaman
5.15 hingga 6.15 petang - Pendidikan Islam / Pendidikan Moral

Rabu - 2.6.2010
1.00 hingga 1.50 petang - Bahasa Inggeris Kertas 1
2.25 hingga 3.25 petang - Bahasa Arab
4.00 hingga 5.15 petang - Bahasa Inggeris Kertas 2

Khamis - 3.6.2010
2.10 hingga 3.25 petang - Sains
4.00 hingga 4.40 petang - Matematik Kertas 2
5.15 hingga 6.15 petang - Matematik Kertas 1

Jumaat - 4.6.2010
2.15 hingga 4.15 petang - Pendidikan Seni Visual
5.20 hingga 6.20 petang - Jawi

Saturday, May 22, 2010

Sambutan Hari Guru Peringkat Daerah Sabak Bernam

Sambutan Hari Guru bagi Daerah Sabak Bernam telah diadakan pada 22 Mei 2010 (Sabtu) di Dewan Seri Bernam, Sungai Besar, Selangor. Majlis yang bermula pada pukul 9 pagi itu dimulakan dengan ikrar guru dan diikuti oleh nyanyian lagu 'Guru Malaysia' dan 'lagu tema 'Guru Pembina Negara bangsa' oleh kumpulan Koir Guru-guru Daerah Sabak Bernam di bawah bimbingan En. Shamsi Seri.

Selepas itu, majlis diteruskan dengan persembahan selingan yang berupa nyanyian solo oleh seorang murid dari kelas pendidikan khas intergrasi SK Seri Makmur iaitu adik Mohd Amirul Hakeem bin Azmani, tarian Endang juga dipersembahkan oleh murid-murid pendidikan khas intergrasi dari SK Seri Makmur dan diikuti nyanyian solo oleh Cikgu Mohd Jamaluddin dari SK Sungai Nibung.

Selepas ucapan oleh Pegawai Pendidikan Daerah iaitu Pn Hjh Samsiah binti Dato' Hj Jamaluddin telah berlansung ucapan perasmian oleh YB Pn Hjh Noriah binti Kasnon, Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, merangkap Ahli Parlimen Sungai Besar.

Seterusnya penyampaian anugerah kepada guru-guru yang terpilih. Antara anugerah tersebut ialah:

Anugerah Guru Inovatif yang diberi kepada:
1. En. Mohd Nor bin Kapi dari SK Simpang 4, Bagan Nakhoda Omar, Sungai Ayer Tawar
2. En. Zulhakim bin Munjari dari SMK Dato' Mustafa, Panjang, Sekinchan
3. Pn. Suhaili binti Abdul Rashid dari SK Bagan Terap, Sungai Besar
4. Pn. Seri Rayasti binti Tujad dari SK Khir Johari, Sabak Bernam
5. En. Fadzli bin Panut @ Sepa'at dari SMK Sungai Besar, Sungai Besar

Bagi kategori Pemimpin Dalam Teknologi dan Maklumat dianugerahkan kepada Pn. Hjh Salehar binti Yaakop. Peengetua Kanan SMK Ungku Aziz, Sabak Bernam.Diikuti oleh En. Mohamad bin Asmara dari SK Sungai Limau, Sungai Besar dan En. Azmi bin Ramli dari SMK Dato' Mustafa, Pasir Panjang, Sekinchan.

kemuncak Majlis Sambutan Hari Guru ini ialah anugerah kepada Tokoh Guru bagi Daerah Sabak Bernam. Dua orang bekas guru telah dipilih pada tahun ini di atas sumbangan cemerlang mereka.

Bagi kategori perempuan, tokoh guru telah disandang oleh Pn. Hjh Wahida binti Abdullah. Beliau yang dilahirkan pada 1 Ogos 1953 adalah berasal dari Pasir Mas, Kelantan dan kini menetap di Taman Desa Indah, Sungai Besar.

Bagi kategori lelaki pula, tokoh guru telah disandang oleh Tn Haji Naziz @ Abd Aziz bin Hj Mustafa. Beliau dilahirkan di Tebuk Pulai, Sabak Bernam dan kini menatap di Seksyen 20 Shah Alam, Selangor.

Majlis yang berjalan lancar itu telah berakhir pada pukul 11.50 pagi.

Friday, May 21, 2010

Bersarapan Bersama YB


Rakyat didahulukan yang menjadi sebutan ketika ini, hari ini menjalar ke SK Seri Makmur. Pada pagi tadi 21.5.2010 (Jumaat) ADUN Sungai Panjang, Dato' Seri Dr. Mohd Khir bin Toyo telah hadir ke SK Seri Makmur. Program Bersarapan Bersama Rakyat ini telah dilaksanakan sebagai salah satu aktiviti untuk beliau bersua muka dan mengambil tahu tentang masalah rakyat yang berada di kawasan beliau.


Semua guru dan murid SK Seri Makmur dapat makan percuma pada hari ini. Inilah hakikat yang berlaku di negeri Selangor ketika ini. Nampaknya wakil rakyat terpaksa berlumba-lumba turun padang...kalau tidak...emmmm ? Pihak yang sebelah satu lagi juga akan turun dengan program mereka. Akhirnya...rakyat yang untung.... Bertuahnya aku tinggal di bumi Selangor ini.

Wednesday, May 19, 2010

Terima Kasih Je..lah...Mr Bo...

16 Mei 2010...aku tertarik kepada beberapa mesej yang telah masuk ke ruang pesanan di blog saya. Pesanan yang ditulis oleh seseorang yang bersembunyi di sebalik gelaran Mr Bo. Aku tertarik kepada mesej ini. Jom mari kita baca semula mesej tersebut:

mr bo. Salam perkenalan...sy bkn sape2...tp sy pn pernh bkhdmt dng cikgu...just nk advise cikgu...mngkin ini adalah balsan kpd cikgu...sy sudah lm melawati blog cikgu dn jg fb cikgu...

mr bo. Sy dapati, tlalu byk unsur2 kata2 fitnh antr cikgu dan guru2 d SK XXXX2... jd sy jg nk igtkn cikgu, mngkin fitnh yg cikgu dpt 2, blsn kpd fitnh yg pernh cikgu hmbur kn ... wassalam.

mr bo. pepun... Selamat Hari Guru.

Ulasan saya:

"Salam perkenalan...tp sy pn pernh bkhmt dng cikgu." Perlukah seseorang yang pernah mengenali saya menghulurkan salam perkenalan. Seorang yang mengenali saya tetapi menyembunyikan identitinya. Orang kata tak kenal maka tak cinta. Orang yang tidak ikhlas dan menyembunyikan identiti seperti ini tidak layak dijadikan sebagai sahabat.

"just nk advise...." Alhamdulillah kerana anda sudi untuk memberi nasihat kepada saya. Terima kasih.

"sy sudah lm melawati blog cikgu dn jg fb cikgu..." Beginikah sikap seorang yang pernah berkhidmat bersama-sama saya...mengaku sudah lama melawat dan mengikuti blog dan fb saya...tetapi tidak pernah langsung bertanya dan menegur sapa tambah-tambah lagi mengesan ada kata-kata berunsur fitnah telah saya lakukan...kenapa anda tidak bersuara pada waktu itu. Apakah tugas anda hanya sebagai pengintip yang ditugaskan untuk mendapatkan maklumat dan seterusnya melaporkan kepada pihak tertentu. Di mana tanggungjawab anda sebagai seorang bekas rakan setugas saya.

"mngkin ini adalah balsan kpd cikgu""jd sy jg nk igtkn cikgu, mngkin fitnh yg cikgu dpt 2, blsn kpd fitnh yg pernah cikgu hmbur kn" Ya...kalaupun, satu fitnah yang saya dapat itu sebagai balasan...saya terima dengan redha...tetapi saya nak tanya...sudahkah mr bo menasihatkan pihak berkenaan...di atas fitnah yang mereka terima daripada saya dan rakan-rakan seperti yang mr bo katakan. Sepatutnya mr bo mesti mengutamakan mereka dengan memberi nasihat kepada pihak berkenaan terlebih dahulu, kerana mereka lebih banyak menerima fitnah berbanding dengan saya. Ini bermakna balasan yang mereka terima lebih banyak daripada balasan yang saya terima. Sudahkah anda laksanakan tugas anda sebagai penasihat orang yang menerima fitnah dengan mengatakan fitnah yang mereka perolehi adalah satu balasan terhadap apa yang pernah mereka hamburkan...

"sy dapati, tlalu byk unsur2 kata2 fitnah antr cikgu dan guru2 SKXXX2" Saya nak tanya mr bo...betulkah terlalu banyak unsur-unsur kata-kata fitnah antara saya dan guru-guru SK XXXX. Kalau saya difitnah ...saya tulis secara jelas apa bukti fitnah itu sebagaimana ent3 yang saya telah postkan sebelum ini. Bolehkan mr bo bawakan semua kata-kata fitnah yang pernah saya dan kawan-kawan saya luahkan... kalau mr bo tidak dapat untuk buktikan...ini membuktikan mr bo sendiri yang cuba membuat fitnah. Hanya budak prasekolah sahaja yang layak untuk bercakap tanpa bukti.

Mr bo...hakikatnya:

Anda perlu faham segala kata-kata antara saya dan rakan-rakan tentulah ada puncanya. Apa yang saya dapati rakan-rakan saya hanyalah meluahkan perasaan. Ya...perasaan yang mereka pendamkan jauh di lubuk hati. Mereka mencari saya, sebagai tempat untuk meluahkan perasaan yang terbuku itu...kerana mereka tahu segala yang mereka alami itu adalah sama dengan apa yang pernah saya alami. Kalau itu yang anda katakan fitnah...anda perlu masuk ke sekolah semula... kerana anda tidak dapat membezakan antara fitnah dan realiti.

Salahkah saya...melayan, memberi perangsang, menyabarkan rakan-rakan saya yang tertekan itu. Adakah itu juga dikategorikan fitnah oleh anda? Sepatutnya...anda ambillah sedikit masa...berdiri di hadapan cermin dan lihatlah diri anda. Dan jawablah soalan ini...Sempurna sangatkah diri ini? Adakah aku yang terbaik di sini? Adakah aku seorang sahaja yang serba tahu segala hal di alam pendidikan ini? Adakah aku seorang sahaja yang begitu memberi komitmen terhadap P&P di sekolah ini? Anda jawablah semuanya dengan hati yang ikhlas...semoga di lain kali, anda tidak memandang rendah kepada orang di bawah anda. Anda harus faham...tanpa ada orang di bawah yang melakukan kerja...saya pasti anda tidak akan ke mana-mana.

Harapanku...

Layanlah orang yang berada di bawah dengan lebih berhemah...kerana mereka juga ada perasaan. Cuba anda bayangkan...kalau kata-kata yang dihamburkan itu ditujukan pula kepada anda...apa perasaan anda.?

Dan akhirnya...

Saya harap mr bo tidak ambil hati terhadap apa yang saya coretkan ini. Inilah hakikat yang mr bo terpaksa terima bila mr bo masuk ke dunia blog dan fb...lebih-lebih lagi apabila berani pula menulis di blog orang lain...kerana blog itu umpama rumah kepada yang empunya...jadi berhati-hatilah. Bak kata orang tua-tua 'Kalau tak berani dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai'.

Apa-apa pun saya rasa...saya tahu siapa mr bo yang sebenar...kerana bagi saya mencari identiti sebenar mr bo ibarat mencari antah di dalam segenggam beras...ahhhh terlalu mudah. Tambahan pula mr bo pernah berkhidmat bersama saya.

Titik.