Wednesday, February 20, 2013

SK Binjai Jaya Johan Ragbi MSSD Sabak Bernam 2013

20 Februari 2013 (Rabu): Buat pertama kalinya SK Binjai Jaya berjaya menjadi johan Cup (pertama) dalam Kejohanan Ragbi Rimau MSSD Sabak Bernam 2013. Pada petang ini,Pasukan Binjai A berjaya menewaskan SK Pasir Panjang. Kejohanan pada tahun ini diadakan di SK Sungai Haji Dorani, Sungai Besar. Pada tahun ini SK Binjai Jaya telah menghantar dua pasukan ke kejohanan tersebut. Bagi pasukan Binjai B, telah menjadi johan plate (kelima) dalam pertandingan tersebut. Tahniah diucapkan kepada semua pemain, jurulatih Cikgu Nasri, pengurus pasukan Cikgu Shamsul Kamal dan PK Kokurikulum Cikgu Sarudin bin Mohd Hassim.

Saturday, February 9, 2013

Pengagihan Bantuan Khas Awal Persekolahan RM100 2013

25 Januari 2013 (Jumaat): Majlis Pengagihan Bantuan Khas Awal Persekolahan RM 100 Tahun 2013 telah diadakan di Dewan Seri Binjai, SK Binjai Jaya. Majlis disempurnakan oleh YB Hajah Noriah binti Kasnon. Seramai 391 pelajar layak untuk menerima bantuan pada tahun ini melibatkan jumlah wang sebanyak RM39100.00.
Turut hadir dan membantu pengagihan tersebut ialah En. Abu Hassan bin Dollah, Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Sabak Bernam.

Friday, February 1, 2013

Tiga Pingat Dibawa Pulang

1 Februari 2013 (Jumaat): SK Binjai Jaya berjaya membawa pulang tiga butir pingat pada tahun ini di Kejohanan Merentas Desa MSSD Sabak Bernam 2013. Kejohanan yang berlangsung di SMK Munshi Abdullah ini disertai oleh 47 buah sekolah rendah dalam daerah Sabak Bernam. SK Simpang Empat Bagan Nakhoda Omar telah diberi tanggungjawab sebagai tuan rumah pada kali ini. SK Binjai Jaya berjaya mendapat tempat ke-19 bagi kategori perempuan serta tempat ke-24 dan ke-25 bagi kategori lelaki. Tahniah diucapkan kepada semua wakil SK Binjai Jaya.

Tuesday, January 29, 2013

Kolam Mandi Tahfiz

Sempena cuti Umum Thaipusam baru-baru ini, saya sekeluarga mengambil kesempatan balik ke Temerloh. Bagi mengisi masa anak-anak, saya membawa mereka bermandi-manda di Kolam Tahfiz. Kolam Tahfiz merupakan kolam yang baru dibuka kepada umum. Terletak di Kampung Berhala Gantang lebih kurang 8 kilometer dari Bandar Temerloh. Kolam ini diusahakan oleh sekolah tahfiz bagi mendapatkan dana untuk pengurusan sekolah tahfiz tersebut. Merupakan satu-satunya kolam mandi di Malaysia yang menyediakan kolam yang berbeza. Terdapat empat buat kolam, iaitu untuk kanak-kanak, kolam untuk lelaki dan sebuah kolam tertutup untuk keperluan muslimah. Pendek kata bagi kaum perempuan yang ingin bermandi-manda di sini tidak perlu risau akan pendedahan aurat kerana kolam muslimah hanya boleh dimasuki oleh kaum perempuan sahaja manakala bagi kolam lelaki hanya dikhaskan untuk kaum lelaki sahaja. Dengan bayaran semurah RM3.00 seorang anda boleh mandi sepuas-puasnya di sini. Tak caya, cubalah.

Wednesday, January 23, 2013

Kejohanan Merentas Desa SK Binjai Jaya 2013

23 Januari 2013 (Rabu) : Pada petang ini, telah berlangsung Kejohanan Merentas Desa Peringkat SK Binjai Jaya Tahun 2013. Murid-murid mula dilepaskan pada pukul 4.00 petang dimulai oleh murid perempuan dan diikuti oleh murid lelaki.
Kejohanan yang bertujuan untuk mencari wakil sekolah ke peringkat daerah ini telah berjaya mendapatkan 12 orang wakil sekolah. Cikgu Ahmad bin Mohamad Yatim, Guru Besar SK Binjai Jaya telah menyampaikan hadiah kepada para pemenang. Tahniah kepada 12 orang wakil sekolah yang akan membawa cabaran ke peringkat daerah yang dijangka berlangsung di SK Simpang Empat Bagan Nakhoda Omar, Sungai Air Tawar.

Friday, January 18, 2013

Pendidikan Percuma

Nampaknya isu Pendidikan Percuma ini pernah dicadangkan untuk dilaksanakan menjelang tahun 1982. Namun begitu, ianya masih gagal untuk dilaksanakan. Jika satu pihak gagal melaksanakan apa yang pernah dijanjikan...maka, salahkah untuk kita memberi peluang kepada pihak yang lain untuk cuba menunaikannya?
Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Unit Disiplin kali ke-1/2013 telah dijalankan pada 17 Januari 2013.