Hari ini aku cuba mengingat kembali peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam bulan Julai dalam kehidupanku.
1 Julai 1985 (Isnin)
Pada hari ini aku memulakan langkah awal memasuki dunia pendidikan. Hari ini, aku melaporkan diri sebagai guru pelatih di Maktab Perguruan Seri Kota, Jalan Kuantan, Kuala Lumpur. Aku bersama lebih kurang 140 orang pelatih lain, merupakan ambilan kedua pada tahun itu. Pada ketika itu, pengambilan memasuki maktab perguruan dua kali setahun iaitu pada bulan Januari dan Julai.
Aku ditempatkan dalam kumpulan Mentor B/85/2. Bagi kohort ke-2 ini, hanya ada 5 orang sahaja pelatih Melayu lelaki. Mungkin faktor gaji yang kecil pada ketika itu, menyebabkan kaum lelaki tidak berminat menceburkan diri dalam dunia pendidikan. Lima lelaki dipecahkan pula kepada lima kumpulan....ah...lagilah membosankan...terkontang-kantinglah kami keseorangan dalam kelas. Abdullah Abdul Razak rakanku dari Besut Terengganu dalam kumpulan A, Aku...satu-satunya pelatih lelaki dari Selangor ditempatkan dalam kumpulan B, Abdul Aziz Koya Kutty dari Kuala Terengganu dalam kumpulan C, Mohd Zaidi Omar dari Kuala Berang Terengganu dalam kumpulan D dan Abdul Wahab Awang dari Kuala Terengganu dalam kumpulan E. Kesemua kami dilantik sebagai ketua kumpulan dalam kumpulan masing-masing.
Maka hiduplah kami selama tiga tahun dalam dunia yang di kelilingi oleh pelatih perempuan. Namun begitu, kami semua tinggal serumah kecuali Abdul Aziz yang tinggal bersama pelatih dari pantai barat. Dari sinilah aku mengenali dunia orang pantai timur...dari makanannya hinggalah aku dapat menguasai pertuturan mereka.
1 Julai 1988 (Jumaat)
Aku melangkah setapak lagi dalam dunia pendidikan. Setelah berjaya menamatkan pengajian di Maktab Perguruan Seri Kota, kini aku ditempatkan di SK (LKTP) Tembangau 1, Kemayan, Triang , Pahang. Aku sepatutnya melaporkan diri pada 1 Julai 1988...namun kesukaran mencari sekolah menyebabkan aku terlewat melapor diri. Aku hanya melapor diri pada 4 Julai 1988.
Kalau diikutkan alamat sekolah...tak sangkalah pula jalan masuk ke felda ini terpaksa mengikuti Negeri Sembilan. Walaupun sekolah ini terletak di negeri Pahang, tetapi untuk masuk ke situ adalah melalui Bahau...Serting...dan barulah masuk ke Tembangau. Tiada jalan masuk dari negeri Pahang.
Hiduplah aku selama lebih kurang 4 tahun setengah di sini. Masyarakatnya tertutup dari dunia luar. Tiada bekalan air paip, tiada api elektrik, tiada jalan tar. Ah...sukarnya aku menyesuaikan diri. Tiga tahun hidup di Kuala Lumpur....tiba-tiba terpaksa pula hidup dalam dunia yang sukar. Mandi di kolam yang airnya berwarna merah, tak dapat nak menonton televisyen, bila hari hujan terpaksa meredah jalan tanah merah yang berselut...cukup mencabar.
Namun begitu, kehidupan di sini begitu akrab. Semua guru tinggal setempat. Kami bagaikan sebuah keluarga yang besar. Beberapa buah rumah peneroka telah dijadikan sebagai rumah guru. Untuk keluar ke bandar atau untuk mengambil gaji, kami akan ke Bahau Negeri Sembilan...lebih kurang 56 km jauhnya...dan itulah bandar yang terdekat dengan kami. Kalau ada kekawan yang sakit...terpaksa pula ke Hospital Kuala Pilah.
Namun begitu, segala cabaran dan dugaan dapat kami harungi dengan penuh kesabaran. Kini Tembangau pesat membangun. Gugusan felda ini kini telah lengkap dengan prasarananya.
20 Julai 1991 (Sabtu)
Hari ini, aku telah mengakhiri zaman bujangku. Bertempat di Kampung Lubuk Kawah, Temerloh, Pahang...aku telah diakadnikahkan dengan isteriku. Sebelum aku mengenali isteriku...aku tidak pernah menjalinkan hubungan cinta dengan kawan-kawan perempuan. Walaupun di maktab, semua kawan sekelasku perempuan...namun semuanya kuanggap sebagai kakak sahaja. Maklumlah ketika memasuki maktab usiaku baru 19 tahun. Aku sedang belajar di tingkatan 6 Atas ketika panggilan memasuki maktab tersebut. Tambahan pula semasa di maktab...aku saban minggu akan ke Sungai Pencala...untuk mengikuti pengajian yang dianjurkan oleh Kumpulan Al-Arqam. Walaupun aku tidak berminat memasuki pertubuhan itu...tetapi aku tetap kagum dengan ahli kumpulan itu. Justeru itu, pergaulanku dengan wanita amat kujaga batas-batasnya.
Pertama kali aku melihat isteriku...ialah sewaktu Malam Penyampaian Hadiah. Ketika itu kakak iparku adalah ustazah di SK Tembangau. Oleh kerana pada waktu siang peneroka akan ke ladang, maka majlis penyampaian hadiah saban tahun diadakan pada waktu malam. Mungkin jodoh telah tersurat...aku memberani diri merisik khabar... nampaknya ustazah pun semacam setuju memilih aku sebagai calon adik iparnya ... walaupun pada waktu yang sama ada kekawanku yang cuba merisik ... aku tidak pasti kenapa ustazah boleh memberi alasan adiknya sudah bertunang. Tetapi jawapan yang lain diberi kepadaku. Mungkin bertahun bersama di sekolah ini... beliau sudah mengenali hati budi guru-guru di sini.
Setelah mendapat restu daripada ibu bapa aku pun menghantar rombongan peminangan pada bulan Mei 1991. Pertunangan hanya diikat selama dua bulan sahaja. Pada 20 Julai 1991..rasmilah kami sebagai suami isteri. 20 Ogos 1991...majlis walimatul urus pun dilaksanakan sebulan selepas aku bernikah.
18 Julai 1996 (Khamis)
Hari ini merupakan hari yang paling bermakna dalam hidup aku dan isteri. Menjelang dua hari lagi tarikh perkahwinan kami yang kelima...kami telah dikurniakan seorang bayi lelaki. Penantian selama lima tahun akhirnya berakhir. Itulah saat yang paling mengembirakan bagi kami berdua. Kini aku telah menjadi seorang ayah.
Aku tidak pasti...mengapa begitu sukar untuk memperolehi cahaya mata. Sehingga lima tahun terpaksa menunggu... semuanya bermula apabila kami berdua mendaftar untuk membuat pemeriksaan di Hospital Pusrawi di Sungai Buluh. Doktor menetapkan tarikh temujanji .Oleh kerana pada waktu itu cuti pertengahan tahun, kami mengambil keputusan untuk balik ke Temerloh terlebih dahulu. Di Temerloh, sakit perut isteri masih tidak reda...kami ke klinik swasta di Temerloh. Apabila keluar dari bilik pemeriksaan...isteri memaklumkan yang dia telah mengandung. Temu janji di Pusrawi pun dibatalkan....dan kami menunggu kelahiran bayi dengan penuh debaran....
Selepas mendapat anak pertama...kami dikurniakan anak kedua, ketiga dan keempat. Alhamdulillah, kini kami mempunyai empat orang anak lelaki..
Inilah antara peristiwa yang saya alami sepanjang bulan Julai....semuanya menjadi memori yang masih segar dalam kenangan.
2 comments:
Pengalaman yg amat2 menyeronokkan saya baca.:)
dan...pengalaman yang tetap terpahat dalam ingatan sehingga kini.
Post a Comment