Wednesday, March 24, 2010

Memanjat Gunung Senyum


19 Mac 2010 - Saya membawa anak-anak mendaki Gunung Senyum. Hutan Lipur Gunung Senyum terletak 40 km dari Temerloh. Aktiviti meneroka ke dalam gua yang terdapat di Gunung Senyum amat digemari oleh kami sekeluarga.

Walaupun kaki berasa lenguh meredah ke dalam gua-gua di sini, namun keindahan pemandangan yang terdapat di dalamnya amat mengkagumkan. Pelbagai bentuk rupa yang terdapat di dinding gua amat mengasyikkan.

Oleh kerana kehadiran kami di sini agak lewat iaitu pukul 4.30 petang, maka tidak ramai pelawat yang meneroka di gua ini. Ada tiga keluarga sahaja yang datang pada petang ini. Namun di sebelah kawasan perkhemahan terdapat sekumpulan remaja mungkin dari IPT sedang berchamping di sini. Mereka sedang melakukan Flying Fox.

Agak menyeramkan juga...jadi saya mengambil keputusan tidak mahu meredah terlalu jauh ke atas. tambahan pula, semakin tinggi, perjalanan semakin sukar. Setelah sampai ke gua keempat, saya membawa anak-anak turun semula. Tak berani untuk mengambil risiko meredah jalan pintas untuk ke Gua Makam Tok Long dan Gua Silat yang terletak di sebelah bertentangan.

Saya mengikuti laluan jauh...tetapi disediakan tangga untuk sampai ke Makam Tok Long dan Gua Silat. Agak malang, saya tidak dapat merakamkan kenangan di Makam Tok Long dan Gua Silat kerana bateri kamera tiba-tiba habis.

Moh ikut koi...

Untuk ke kawasan pergunungan kena melintasi sebuah tasik dahulu.

Mula untuk memasuki gua. Hujan renyai ketika kami sampai di pintu gua pertama ini.

Di Gua Angin. Berada di gua ini, kita dapat merasai tiupan angin yang agak sejuk. Mungkin ada lubang angin yang berhubung dengan gua ini. Sungguh mengkagumkan...walaupun tidak kelihatan dari punca mana datangnya angin...tetapi tiupannya yang menyejukkan dapat dirasa dengan jelas.

Gua Terang Bulan. Di gua ini suasana agak kelam bagaikan berada di waktu malam sewaktu bulan mengembang penuh. Itulah sebabnya, gua ini dinamakan Terang Bulan agaknya.


Tidak pasti apa nama gua ini. Di sini pemandangan amat mengkagumkan kerana seolah-olah kita berada di dasar laut yang di penuhi dengan batu karang. Batu-batu yang berada di sini menyerupai batu karang. Sungguh indah sekali. Yang menghairankan terdapat begitu banyak kulit siput dan kerang-kerangan di gua ini. Seolah-olahnya tempat ini pernah berada di dasar laut pada masa lampau. Kalau dilihat kepada situasi di sini..seolah-olah memang tempat ini asalnya adalah dasar laut.

Menyeberangi jambatan gantung untuk melintasi tasik menuju Gua Makam Tok Long.

Terpaksa menaiki anak tangga yang curam untuk sampai ke Gua Makam Tok Long. Di Gua Makam Tok Long terdapat sebuah kubur yang dikenali dengan nama Makam Tok Long. Diceritakan seorang pemuda telah berkahwin dengan seorang puteri bunian. Pemuda tersebut telah pulang ke kampung selepas perkahwinan tersebut...tetapi dia terlalu asyik di kampungg hingga terlupa isteri yang ditinggalkannya. Apabila dia kembali, isterinya sudah tiada. Dia berasa sedih dan terus menanti di situ sehingga meninggal dunia lalu di makamkan di gua itu.

Saya dan anak-anak meneruskan pendakian ke Gua Silat. Gua silat merupakan sebuah gua yang rata dan bersih. Keadaan di gua yang sentiasa bersih itu seolah-oleh gua ini sentiasa dijaga. Terdapat kesan tapak kaki di dinding gua kesan daripada mereka yang berlatih bersilat di sini. Luas gua ini 15 x 10 m.

Di gua ini anak-anak sudah mula bertelagah. Anak sulung sudah mulai takut..tetapi anak kedua berkeras untuk meneruskan pendakian. Saya mengambil keputusan untuk kembali...kerana jam sudah menunjukkan hampir ke angka 6. Lagipun pendakian saya tidak dilapor ke pegawai perhutanan yang terdapat di situ. Jika berlaku apa-apa di dalam keadaan yang semakin petang..akan menyusahkan. Lantas kami semua pun turun semula.

Itulah pengalam saya dan anak-anak selama 2 jam setengah di Gunung Senyum. Untuk sampai ke puncak...masa yang diperlukan ialah 6 jam 40 minit dengan diiringi jurupandu.

No comments: