25 Mac 2010 - Hari ini saya dapat menonton drama sebabak di SK Seri Makmur. Waktu tengahari saya turun dari pejabat selepas mengesahkan kehadiran di mesin perakam waktu menuju ke Makmal Komputer. Waktu ini hujan masih renyai-renyai menandakan akan berhenti tidak lama lagi.
Sesampai di gajah menyusur di hadapan PPD Unit Akademik saya terdengar sedikit keriuhan di pintu pagar utama. Saya berhenti dan menumpukan perhatian ke arah pintu pagar A. Oh...rupa-rupanya seorang bapa sedang memarahi jaga yang sedang menjalankan tugasnya.
Dapat saya perhatikan gerak gaya lakonan lelaki separuh umur itu, dan dapat saya dengar ayat-ayat yang membertih keluar dari mulutnya serta aksi yang menunjukkan jari ke arah kepala. Sambil mulut terus menyemburkan kata-kata yang dapat saya dengar dari kejauhan...mungkin dia menggunakan volume 8 atau 9.
Oh..rupa-rupanya dia sedang memarahi jaga yang tidak membenarkan dia membawa kereta masuk untuk menghantar anaknya... atas alasan hari hujan...dia mahu kenderaannya dibenarkan masuk ke dalam kawasan sekolah. Persoalannya benarkan alasannya itu? Kalau benar kenapa penjaga lain tidak meminta kebenaran yang sama untuk masuk ke dalam kawasan sekolah.?
Persoalan yang ingin saya utarakan di sini ialah tentang sikap. Saya tidak kisah tindakan penjaga itu yang betul atau ketegasan jaga itu yang perlu dipuji. Yang ingin saya kongsi bersama ialah tentang sikap kita. Apa yang dapat saya perhatikan penjaga ini begitu marah dengan tindakan pak jaga menghalangnya memasuki kawasan sekolah. Persoalannya...layakkah kata-kata kesat kita hamburkan kepada pak jaga itu kerana ketegasannya menjalankan amanah yang dipikulkan oleh majikannya.
Ya..la..walaupun kita memandang hina kerja sebagai seorang jaga ... tapi saya raya tidak patut kata - kata seperti yang diluahkan itu dihamburkan kepada mereka. Saya pasti ibu bapa jaga itu sendiri belum tentu pernah menghamburkan kata-kata kesat itu kepada mereka. Siapa kita???? yang dengan mudah menghina dan terus menghina orang lain...tanpa cuba menyelami apa pula perasaan kita apabila kata-kata itu dituju kepada kita di waktu di sekeliling kita begitu ramai orang yang sedang menonton lakonan kita.
Tak terfikirkah kita...lakonan kita itu sedang diperhatikan sendiri oleh anak kita yang sedang memerhati dan menilai diri kita. Sudah tentu mereka belajar sesuatu daripada aksi yang telah kita tontonkan. Tercapaikah matlamat kita menghantar anak ke sekolah untuk dididik menjadi insan yang baik dan saling hormat-menghormati antara satu sama lain terutama kepada orang yang lebih tua daripada kita. Hakikatnya banyak pengajaran yang telah didapati oleh anak lelaki itu. Bagi saya, beruntunglah lelaki itu jika suatu hari nanti anaknya tidak menggunakan kata-kata itu kepadanya...dan andai kata suatu hari nanti anak ini menghamburkan kata-kata kesat kepadanya..janganlah salahkan dia kerana..kata orang..Bapa Borek sudah tentu anaknya Rintik.
Sekalung tahniah kepada pak jaga yang pertugas pada tengah hari itu. Kerana anda tidak menggunakan api untuk memadam api. Anda lebih bijak kerana tidak tertipu dengan alasannya...kerana jika betul hujan lebat...kenapa dia tidak basah kuyup ketika berada di luar kereta sewaktu mengaksikan lakonannya itu? Apa yang diperhatikan dia tak kisah pun dengan hujan rintik-rintik itu...Entahlah kalau anaknya memang tak boleh kena walau setitik hujan. Allahu alam..tak rajin pulak aku nak menanyanya.
No comments:
Post a Comment