Tuesday, December 28, 2010

Latihan Dalam Perkhidmatan

29 Disember 2010 : Hari ini telah diadakan aktiviti Latihan Dalam Perkhidmatan bagi semua guru SK Seri Makmur. Aktiviti ini diadakan di Makmal Komputer 1 SK Seri Makmur.

Sesi 1 : Tenaga Diperbaharui, Kecekapan Tenaga (TDKT). Tajuk ini disampaikan oleh En. Kamaruddin bin Awang. TDKT merupakan satu unsur yang perlu diserapkan dalam P&P. Di Sabak Bernam, hanya 16 sekolah sahaja terpilih untuk melaksanakan program ini.

Sesi 2 : Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR). Pn. Hajjah Azilah binti Harun dan Pn. Zauyah bin Ahmad telah menyampaikan isi-isi yang berkaitan tentang tajuk ini.

Wednesday, December 22, 2010

Orientasi Murid Tahun 1 2011

Satu Majlis Orientasi murid Tahun 1 2011 dan Perjumpaan Ibu Bapa / Penjaga murid Tahun 1 2011 akan diadakan pada ketetapan berikut:

Tarikh : 31 Disember 2011

Hari : Jumaat

Masa : 8:30 Pagi

Tempat : Dewan SK Seri Makmur

Ibu bapa / penjaga yang mempunyai anak yang akan bersekolah pada Tahun 1 2011 dikehendaki membawa anak masing-masing ke sekolah pada tarikh tersebut.

Wednesday, December 15, 2010

Tanggal 10 Muharam

Empat belas perkara sunat dilakukan pada hari Asyura (10 Muharram):

1. Melapangkan masa/belanja anak isteri. Fadilatnya - Allah akan melapangkan hidupnya pada tahun ini.

2. Memuliakan fakir miskin. Fadilatnya - Allah akan melapangkannya dalam kubur nanti.

3. Menahan marah. Fadilatnya - Di akhirat nanti Allah akan memasukkannya ke dalam golongan yang redha.

4. Menunjukkan orang sesat. Fadilatnya - Allah akan memenuhkan cahaya iman dalam hatinya.

5. Menyapu/mengusap kepala anak yatim. Fadilatnya - Allah akan mengurniakan sepohon pokok di syurga bagi tiap-tiap rambut yang disapunya.

6. Bersedekah. Fadilatnya - Allah akan menjauhkannya daripada neraka sekadar jauh seekor gagak terbang tak berhenti-henti dari kecil sehingga ia mati. Diberi pahala seperti bersedekah kepada semua fakir miskin di dunia ini.

7. Memelihara kehormatan diri. Fadilatnya - Allah akan mengurniakan hidupnya sentiasa diterangi cahaya keimanan.

8. Mandi Sunat. Fadilatnya - Tidak sakit (sakit berat) pada tahun itu. Lafaz niat: "Sahaja aku mandi sunat hari Asyura kerana Allah Taala."

9. Bercelak. Fadilatnya - Tidak akan sakit mata pada tahun itu.

10. Membaca Qulhuwallah hingga akhir 1,000X. Fadilatnya - Allah akan memandanginya dengan pandangan rahmah di akhirat nanti.

11. Sembahyang sunat empat rakaat. Fadilatnya - Allah akan mengampunkan dosanya walau telah berlarutan selama 50 tahun melakukannya. Lafaz niat: "Sahaja aku sembahyang sunat hari Asyura empat rakaat kerana Allah Taala." Pada rakaat pertama dan kedua selepas Fatihah dibaca Qulhuwallah 11X.

12. Membaca "has biallahhu wa nik mal wa keel, nikmal maula wa nikmannaseer". Fadilatnya - Tidak mati pada tahun ini.

13. Menjamu orang berbuka puasa. Fadhilat - Diberi pahala seperti memberi sekalian orang Islam berbuka puasa.

14. Puasa. Niat - "Sahaja aku berpuasa esok hari sunat hari Asyura kerana Allah Taala." Fadilat - Diberi pahala seribu kali Haji, seribu kali umrah dan seribu kali syahid dan diharamkannya daripada neraka.

Monday, December 6, 2010

Tokoh Maal Hijrah 1432 Negeri Selangor


SHAH ALAM, 7 Dis: Datuk Dr Haron Din dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah Negeri Selangor 1432H dalam satu majlis yang diadakan di Masjid Negeri, di sini malam tadi, sebagai pengiktirafan pada penglibatan beliau dalam bidang dakwah sejak sekian lama.
Anugerah itu disampaikan oleh Tengku Panglima Diraja Selangor, Tengku Sulaiman Shah AlHaj mewakili Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang sebelum itu berkenan melancarkan sambutan awal tahun Islam serta meluncurkan sebuah buku bertajuk Solat Rasul terbitan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).
Ketika ditemui seusai majlis, Dr Haron, 70, berkata, anugerah itu merupakan satu motivasi terhadap dirinya yang terlibat dalam bidang dakwah sejak di bangku sekolah lagi.
"Saya mengucapkan syukur ke hadrat Allah SWT dan berterima kasih atas pengiktirafan Kerajaan Negeri Selangor ini, meskipun saya tidak pernah impikannya namun bila sudah ditakdirkan, saya menerima dengan sepenuh hati," jelasnya kepada media.
Turut hadir dalam majlis itu adalah Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Exco-Exco Kerajaan Negeri dan Mufti Selangor, Datuk Seri Mohamad Tamyez Abdul Wahid.
Menjelaskan tentang pandangan negatif masyarakat kepada golongan ulamak, Dr Haron menjelaskan, sebenarnya rakyat dan masyarakat awam tidak mengenali siapa dan yang mana satu ulamak kerana tidak banyak pendedahan berlaku di media perdana khasnya.
Membandingkan dirinya sendiri yang banyak diberikan peluang untuk siaran di televisyen sebelum ini, menyebabkan orang ramai termasuk golongan muda tetap mengenali dan memberikan penghormatan sebaiknya.
"Jadi tidak timbul masalah kalangan muda tidak menghormati ulamak kerana yang sebenarnya mereka belum mengenali siapa ulamak itu," ujarnya yang juga Timbalan Mursyidul Am PAS.
Justeru, tegasnya, peranan ulamak ini mesti diinstitusikan agar mereka dapat menjalankan kewajipan mendidik rakyat dan anggota masyarakat dengan lebih baik lagi.
Menyentuh tentang peranan ulamak muda dan golongan tua, beliau menjelaskan, itu hanya istilah untuk menunjukkan usia dan tempoh mereka mendidik masyarakat sahaja, tidak lebih dari itu dan semua pihak mesti berperanan dalam masyarakat.
Dr Haron memulakan pengajiannya di Madrasah al-Islahiah al-Wataniah, Bohor Mali, Madrasah al-‘Alawiyah al-Diniah, Perlis dan Kuliah al-Islamiah, Klang, Selangor seterusnya mengambil Sijil Tertinggi Kolej - Kolej Islam Malaya pada 1962 hingga 1965), lulus dengan cemerlang dan mendapat hadiah biasiswa persekutuan terus ke Mesir.
Menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana (M.A.) Syariah - University Al-Azhar (1966-1968), Diploma Pendidikan - ‘Ain Shams, Universiti Cairo (1966-1968) dan Ph.D Syariah - Universiti Darul - Ulum Qahirah (1972-1974).
Antara kerjayanya sebagai Pensyarah di Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (1975–1976), Timbalan Dekan, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (1977-1985), Profesor di UKM sejak tahun 1986 hingga bersara.
Juga menjadi Ahli Majlis Penasihat Syariah, CIMB, Ahli Majlis Penasihat, Bank Negara Malaysia, Majlis Penasihat Syariah, Suruhanjaya Sekuriti, Ahli Majlis Fatwa Negeri Selangor, Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat Syariah, Bank Pembangunan.
Begitu juga sebagai Pengerusi Majlis Penasihat Syariah, RHB Bank, Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat Syariah, Public Bank Bhd, Ahli Majlis Fatwa Negeri Perlis dan Ahli Majlis Penasihat Syariah, Muamalah Financial Consulting.
Dalam politik, pula sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat (1975-1983), Ketua Penerangan PAS Pusat, sehingga kini sebagai Ahli Majlis Syura Ulamak PAS dan Timbalan Mursyidul Am PAS serta pernah bertanding di dalam pilihan raya 2004 di Parlimen Arau mewakili PAS.
Dr Haron Din adalah Pengasas Persatuan Kebajikan dan Pengubatan Islam Malaysia (DarusSyifa') yang terletak di Bangi.

sumber asal : Harakahdaily.net

Sunday, December 5, 2010

Selamat Tahun Baru 1432 Hijrah

Doa Akhir Tahun (Baca selepas solat Asar 29 Zulhijjah 1431 / 6 Disember 2010 - Isnin) :

Maksudnya:

Allah SWT berselawat ke atas penghulu kami Muhammad SAW, ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda dan kesejahteraan ke atas mereka.

Wahai Tuhan, apa yang telah aku lakukan dalam tahun ini daripada perkara-perkara yang Engkau tegah daripada aku melakukannya dan aku belum bertaubat daripadanya. Sedangkan Engkau tidak redha dan tidak melupakannya. Dan aku telah melakukannya di dalam keadaan di mana Engkau berupaya untuk menghukumku, tetapi Engkau mengilhamkanku dengan taubat selepas keberanianku melakukan dosa-dosa itu semuanya.

Sesungguhnya aku memohon keampunan-Mu, maka ampunilah aku. Dan tidaklah aku melakukan yang demikian daripada apa yang Engkau redhainya dan Engkau menjanjikanku dengan pahala atas yang sedemikian itu. Maka aku memohon kepadaMu.

Wahai Tuhan! Wahai yang Maha Pemurah! Wahai Yang Maha Agung dan wahai Yang Maha Mulia agar Engkau menerima taubat itu dariku dan janganlah Engkau menghampakan harapanku kepada-Mu Wahai Yang Maha Pemurah.

Dan Allah berselawat ke atas penghulu kami Muhammad, ke atas ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya dan mengurniakan kesejahteraan ke atas mereka.



Doa Awal Tahun (Baca selepas solat Maghrib 6 Disember 2010 - Isnin) :



Maksudnya:

Allah SWT berselawat ke atas penghulu kami Muhammad SAW, ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda dan kesejahteraan ke atas mereka.

Wahai Tuhan, Engkaulah yang kekal abadi, yang qadim. yang awal dan ke atas kelebihan-Mu yang besar dan kemurahan-Mu yang melimpah dan ini adalah tahun baru yang telah muncul di hadapan kami.

Kami memohon pemeliharaan dari-Mu di sepanjang tahun ini dari syaitan dan pembantu-pembantunya dan tentera-tenteranya dan juga pertolongan terhadap diri yang diperintahkan melakukan kejahatan dan usaha yang mendekatkanku kepada-Mu Wahai Tuhan Yang Maha Agung dan Maha Mulia.

Wahai Tuhan Yang Maha pengasih dari mereka yang mengasihi dan Allah berselawat ke atas penghulu kami Muhammad. Nabi yang ummi dan ke atas ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya dan kesejahteraan ke atas mereka.