Tuesday, July 31, 2012

Latihan Kebakaran Siri 1 SK Binjai Jaya

31 Julai 2012 (Selasa): Pagi ini tepat jam 8.15 pagi deringan loceng panjang menandakan amaran kecemasan sedang berlaku di kawasan sekolah SK Binjai Jaya. Semua warga SK Binjai Jaya memberhentikan segala aktiviti rutin seharian.
Dalam keadaan beratur, murid-murid serta warga SK Binjai Jaya menuju ke padang sekolah mengikut laluan kecemasan yang telah ditetapkan. Alhamdulillah, dalam jangka masa yang telah ditetapkan, semua murid, guru dan pekerja sekolah telah berada di kawasan padang.Setelah mendapat laporan bilangan murid dan guru, guru dari Unit Keselamatan dan Kecemasan sekolah yang diketuai oleh En. Makhyuddin bin Abd Kahar telah menyampaikan taklimat.
Latihan kebakaran pada pagi ini, telah mencapai objektifnya, namun begitu diharap masa yang diambil untuk murid-murid mengongsian bangunan akan lebih cepat pada masa hadapan.

Wednesday, July 25, 2012

Bonus Setengah Bulan Gaji akan Dibayar 9 Ogos 2012

Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju membayar bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500 kepada penjawat awam. Perdana menteri yang juga menteri kewangan turut mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju memberi Bayaran Khas Kewangan sebanyak RM500 kepada pesara kerajaan. Bayaran itu akan dibuat pada 9 Ogos ini, katanya dalam kenyataan hari ini. Pemberian bonus dan bayaran khas itu akan memanfaatkan seramai 1.27 juta penjawat awam persekutuan dan 657,000 pesara kerajaan. Najib berkata pemberian bonus dan bayaran khas kewangan itu dibuat berdasarkan kedudukan dan kemampuan kewangan kerajaan. Beliau berkata bayaran itu akan melibatkan anggaran perbelanjaan sebanyak RM2.2 bilion. Najib berkata pemberian bonus dan bayaran khas itu merupakan penghargaan kerajaan kepada seluruh penjawat awam dan pesara kerajaan. "Kerajaan sentiasa prihatin dan sangat menitikberatkan kebajikan penjawat awam dan para pesara kerajaan," katanya. Beliau berharap langkah itu dapat membantu mereka membuat persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri. Najib berkata pembayaran bonus kepada penjawat awam itu bagi menghargai sumbangan dan dedikasi mereka dalam melaksanakan program pembangunan negara. - Bernama

Monday, July 23, 2012

Kempen Kibar Jalur Gemilang

17 Julai 2012 (Selasa): Telah berlangsung Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang peringkat SK Binjai Jaya. En. Shakir bin Mohamed Johar, GPK Kurikulum SK Binjai Jaya telah melancarkan kempen tersebut.
Acara dimulakan dengan bacaan doa diikuti nyanyian lagu Negaraku dan lagu Negeri Selangor. Kemudian diikuti ucapan oleh En. Shakir bin Mohamed Johar. Sejurus selepas pelancaran, murid-murid dan guru menyanyikan tiga buah lagu patriotik dan diikuti deklamasi sajak bertemakan perjuangan oleh dua orang murid Tahun 5 Hidrogen.

Friday, July 13, 2012

Senamrobik 1M 1S 1M SK Binjai Jaya

10 Julai 2012 (Selasa): Pagi ini tepat jam 8.00 pagi, semua murid SK Binjai Jaya telah mengadakan Senamrobik. Dengan menjadikan video yang dipasang di tapak perhimpunan, semua murid mengikuti gerak yang ditunjukkan. Senamrobik yang mengambil masa lebih kurang 35 minit ini telah dapat dilaksanakan dengan begitu meriah dan jayanya.

Wednesday, July 11, 2012

Majlis Persaraan Tn Hj Abdul Latif bin Yaakop; Guru Besar SK Binjai Jaya

11 Julai 2012 (Rabu) : Hari ini berlangsung Majlis Persaraan Tuan Haji Abdul Latif bin Yaakop, Guru Besar SK Binjai Jaya. Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Yaasin di Surau Al-Firdaus, SK Binjai Jaya. Kemudian para tetamu dijamu makan di Dewan Makan Asrama SK Binjai Jaya.
Acara di Dewan Seri Binjai dimulakan dengan ucapan daripada En. Shakir bin Mohamed Johar, GK Kurikulum SK Binjai Jaya, En. Mohd Yatim bin Paat, YDP PIBG SK Binjai Jaya, En. Mokhtar bin Manijo, wakil PPD Sabak Bernam dan seterusnya ucapan daripada yang diraikan Tuan Haji Abdul Latif bin Yaakop. Majlis di dewan diakhiri dengan penyampaian cenderamata kenangan daripada tetamu kepada Tn. Hj. Abdul Latif.

Monday, July 9, 2012

Terima Kasih Bank Rakyat

9 Julai 2012 (Isnin): Pagi ini pemain bola sepak SK Binjai Jaya yang menyertai Kejohanan Bola Sepak Tunas Cemerlang Bank Rakyat telah mendapat hadiah daripada pihak penganjur.
Hadiah disampaikan oleh En. Shakir bin Mohamed Johar GPK Kurikulum SK Binjai Jaya.

Saturday, July 7, 2012

Kejohanan Bola Sepak Tunas Cemerlang Bank Rakyat

7 Julai 2012 (Sabtu): SK Binjai Jaya telah menyertai Kejohanan Bola Sepak Tunas Cemerlang yang dianjurkan oleh Bank Rakyat Cawangan Sungai Besar. Sebanyak 16 pasukan telah bermain secara liga di dalam empat kumpulan. Dua buah padang telah dijadikan gelanggan permainan, iaitu padang SK Tun Dr. Ismail, Tebuk Pulai, Sabak Bernam dan padang SK Seri Utama, Sungai Besar. SK Binjai Jaya telah berjaya menjadi johan kumpulan D, apabila berjaya menewaskan SK Bagan Terap 1-0, menewaskan SK Ser Utaama B 2-0 dan seri 0-0 dengan SK Bagan Nakhoda Omar, Sungai Air Tawar. Namun kemaraan SK Binjai Jaya telah disekat apabila tewas kepada SK Sungai Nibong, Sekinchan dengan jaringan 0-2 di peringkat Separuh Akhir.

Friday, July 6, 2012

Majlis Pra Persaraan Tn. Hj Abdul Latif bin Yaakop

Petang Jumaat 6 Julai 2012, Satu Majlis Pra Persaraan Tn Hj Latif bin Yaakop Guru Besar SK Binjai Jaya telah diadakan di Hay Resort, Sabak Bernam, Selangor.
Semua warga SK Binjai Jaya telah dijemput untuk memeriahkan majlis yang dianjurkan oleh Badan Kebajikan SK Binjai Jaya.
Turut dijemput adalah kakitangan yang pernah berkhidmat bersama beliau semasa di SK Binjai Jaya.
Majlis yang diadakan, walaupun sederhana tetapi meriah. Majlis Persaraan Tn. Hj Latif akan diadakan pada 11 Julai 2012 (Rabu).

Thursday, July 5, 2012

Kursus Pengurusan Kokurikulum

Bertempat di Bayu Beach Resort, Port Dickson, Negeri Sembilan, telah berlangsung Kursus Pengurusan Kokurikulum Untuk Guru Penolong Kanan Kokurikulum Sekolah Rendah 2012. Seramai 72 orang GPK Kokurikulum dari daerah Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor dan Gombak terlibat dalam kursus tersebut. Kursus yang berlansung dari 2 hingga 5 Julai 2012 ini dianjurkan oleh Unit Kokurikulum Jabatan Pelajaran Negeri Selangor. Kursus selama empat hari ini bertujuan mendedahkan pengurusan kokurikulum kepada GPK Kokurikulum yang baru dilantik.