Thursday, October 28, 2010

Pendidikan Berteraskan ICT


'Pendidikan Berteraskan ICT' itulah tema bagi Karnival ICT Daerah Sabak Bernam. Program ini dianjurkan oleh Pejabat Pelajaran Daerah Sabak Bernam dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia serta Pusat Kegiatan Guru Daerah Sabak Bernam.

Program ini berlangsung dari 29 Oktober hingga 31 Oktober 2010, bertempat di Dewan Seri Bernam, Sungai Besar, Selangor. Semua masyarakat khususnya pendidik dan pelajar di daerah ini dijemput hadir ke program terbuka ini.

Program ini dilaksanakan bertujuan memberi pendedahan dan membuka minda pelajar serta masyarakat setempat mengenai perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Bagi memeriahkan karnival yang diadakan itu, pelbagai aktiviti dan pertandingan telah disusun antaranya, persembahan interaktif multimedia, klip video, PC Assemble, pertandingan mini cyber fusion, explorace ICT dan pertandingan mewarna untuk Prasekolah.

Pengunjung yang hadir turut berpeluang memenangi cabutan bertuah yang menyajikan pelbagai hadiah menarik untuk dimenangi.

Marilah kita meluangkan masa bersama-sama membawa ahli keluarga di hujung minggu ini ke karnival tersebut. Semoga apa yang diharapkan program yang dilaksanakan ini akan memberi impak sebagaimana yang diharap oleh pihak penganjur.

Wednesday, October 20, 2010

Jadual Waktu Peperiksaan Akhir Tahun 2010 SKSM

Sesi Petang

25.10.2010 (Isnin)

1.00 - 1.50 Bahasa Melayu Pemahaman (50 minit)
2.10 - 3.25 Bahasa Melayu Penulisan (1 jam 15 minit)
4.50 - 5.50 Pendidikan Agama Islam /Moral (1 jam)

26.10.2010 (Selasa)

1.00 - 1.50 Bahasa Inggeris (K1) (50 minit)
2.10 - 3.25 Bahasa Inggeris (K2) (1 jam 15 minit)
4.00 - 5.00 Bahasa Arab (1 jam)

27.10.2010 (Rabu)

1.00 - 1.40 Matematik (K2) (40 minit)
2.25 - 3.25 Jawi (1 jam)
4.00 - 5.00 Matematik (K1) (1 jam)

28.10.2010 (Khamis)

2.00 - 3.15 Sains (1 jam 15 minit)
4.00 - 5.00 PJK/Kesihatan (1 jam)

29.10.2010 (Jumaat)

2.30 - 4.30 Pendidikan Seni Visual (2 jam)

Tuesday, October 19, 2010

Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR)


Tahun 1980 KBSR digubal. 2010-KBSR akan diganti dengan KSSR (Kurikulum Standard Sekolah Rendah) bagi pelajar Tahun 1 dan KSPS ( Kurikulum Standard Pra Sekolah).

Melalui KSSR, pengajaran dan pembelajaran akan menggunakan modul yang akan menggantikan buku teks. Buat permulaan sebanyak 500 buah sekolah akan menjalani uji rintis mulai 31 MAC 2009 sehingga akhir JUN 2009. Sebanyak 50 buah sekolah akan menjalani uji rintis semua mata pelajaran manakala sekolah selebihnya akan menjalani uji rintis dalam mata pelajaran terpilih.

KSSR membahagikan mata pelajaran kepada 3 modul iaitu Modul Asas Teras, Modul Asas Tema dan Modul Asas Elektif.


Tahap 1 sekolah rendah (Tahun 1 - 2) akan tertumpu kpd penguasaan 4M (membaca, menulis, mengira & menaakul) dan kemahiran ICT, perkembangan sosioemosi, kerohanian, fizikal, kognitif, sikap dan nilai.


Sementara Tahap 11 sekolah rendah (Tahun 3 - 6) an tertumpu kpd pengukuhan dan aplikasi 4M, kemahiran asas ICT, perkembangan sosioemosi, kerohanian, fizikal, sikap dan nilai.

Insyaallah KSSR ini akan bermula pada tahun 2011 nanti...

berita asal baca di http://www.skppsekinchan.blogspot.com

Friday, October 15, 2010

Motivasi Ibu Bapa Murid LINUS

Ustaz Jaafar menyampaikan ceramah motivasi kepada ibu bapa murid

15.10.2010 Jumaat: Hari ini berlangsung Program Motivasi Kesedaran Bersama Ibu Bapa dan Penjaga Murid LINUS, murid Pemulihan Tahun 2 dan 3. Program bermula pada pukul 3.00 petang hingga pukul 6.00 petang.

Ceramah motivasi disampaikan oleh Ustaz Jaafar bin Abdul Rahman, Guru Bimbingan dan Kaunseling SMK Dato' Mustaffa, Pasir Panjang, Sekinchan, Selangor. Program berlangsung di Dewan SK Seri Makmur.

Semoga program yang dilaksanakan ini akan mencapai sasarannya. Dan harapan pihak sekolah untuk mencapai 95 % murid yang berada di arus Perdana akan tercapai di akhir tahun 2010.

Guru Tahun 1 mendaftarkan kehadiran ibu bapa

Ucapan Guru Besar SK Seri Makmur, Pn. Hjh Hasnah binti Marwan

Ibu bapa / penjaga murid yang hadir

Thursday, October 14, 2010

Jamuan Hari Raya 2010


14.10.2010, Khamis : Telah berlangsung program jamuan hari raya. Jamuan ini dianjurkan oleh PIBG dan Badan Kebajikan Guru SK Seri Makmur. Walaupun program ini telah lama dirancang, akibat pelbagai kekangan waktu, maka akhirnya dapat juga dilaksanakan pada hari ini, walaupun Syawal telah berlalu. Yang penting semangat Syawal yang menitik beratkan hubungan silaturrahim di antara warga SK Seri Makmur terus dapat dirapatkan.

Program yang bermula pada pukul 12.00 tengah hari ini sebenarnya bukanlah semata-mata untuk jamuan sahaja tetapi ia boleh dikatakan program 4 dalam 1. Ia itu jamuan hari raya, meraikan warga yang berpindah, meraikan warga yang akan menunaikan fardu haji dan juga mendoakan kejayaan warga yang telah menjalani sesi temu duga agar memperoleh kejayaan.

Di samping warga sekolah, turut memeriahkan majlis ini ialah pegawai-pegawai dari Jabatan Parit Dan Taliair Sabak Bernam yang merupakan bapa angkat SK Seri Makmur. Turut hadir ialah mantan Guru Besar SK Seri Makmur Pn. Hjh Sariah bt Sidek serta suami.






Tuesday, October 12, 2010

TPM: ICT jadi pengupaya utama proses pelajaran

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata Dasar Teknologi Maklumat dan Komunikasi Dalam Pendidikan akan menjadikan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) sebagai pengupaya utama dalam proses pengajaran dan pembelajaran.


Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, berkata langkah itu bagi meningkatkan kualiti pendidikan dan melahirkan generasi berilmu serta berupaya menyumbang ke arah pembangunan negara.

"Dasar ini yang juga kesinambungan daripada inisiatif Sekolah Bestari sebelum ini menekankan penggunaan teknologi sebagai wahana untuk menggalakkan perkembangan daya kreativiti, pembelajaran secara bekerjasama, pemikiran kritis dan penyelesaian masalah.

"Dasar ini akan menggabung dan menyelaraskan semua inisiatif ICT sedia ada seperti SchoolNet, Makmal Komputer, EduWebTV, Pusat Akses dan apa jua inisiatif ICT yang akan dilaksanakan pada masa hadapan dengan tujuan meningkatkan pencapaian murid," katanya ketika melancarkan dasar itu di Putrajaya hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, dan Ketua Pegawai Eksekutif Multimedia Development Corporation (MDEC), Datuk Badlisham Ghazali.


Muhyiddin berkata, dasar itu akan menjadikan amalan di negara maju sebagai penanda aras untuk memastikan segala komponen ICT dalam pendidikan di negara ini mampu mencapai taraf piawaian antarabangsa.

Katanya, dengan menjadikan dasar itu sebagai rujukan dan panduan, pelaksanaan semua program ICT di kementerian akan menjurus kepada sasaran yang sama iaitu mempertingkatkan pencapaian murid dan memastikan setiap murid mempunyai akses kepada pendidikan yang berkualiti.

"Dengan pengenalan dasar ini juga, sebarang inisiatif ICT di bawah kementerian tidak lagi akan dilaksanakan secara terpisah daripada inisiatif lain, sekaligus akan dapat meningkatkan kecekapan pengurusan dan penjimatan sumber," katanya.


Empat asas utama menjadi teras dasar itu, iaitu pembangunan modal insan secara berterusan, penggunaan teknologi yang sesuai bagi mengintegrasikan inisiatif ICT sedia ada dalam pendidikan, proses pengajaran dan pembelajaran dan pengurusan pendidikan menggunakan ICT.

"Saya amat berharap agar dasar ini mampu membawa perubahan besar kepada sistem pendidikan negara dan seterusnya melonjakkan kualiti pendidikan bertepatan dengan hasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan yang bakal memacu usaha mencapai status negara maju menjelang 2020," katanya.

- Bernama

Pengalaman Temu Duga

12.10.2010 (Selasa) : Hari ini saya telah menghadiri temu duga DGA32 KUP ke DGA 32 Hakiki. Hal ini merupakan pengalaman ketiga bagi diri saya menghadiri temu duga. Kali pertama saya menghadiri temu duga ialah pada tahun 1984 semasa saya memohon untuk mengikuti latihan perguruan di maktab. Manakala kali kedua saya ditemu duga ialah pada tahun 1988 selepas diterima menjadi seorang guru.

Hari ini adalah temu duga yang ketiga bagi diri saya. Bagi dua temu duga terdahulu, saya menghadap para penemu duga seorang diri. Tapi pada hari ini, saya ditemu duga bersama empat orang guru lain secara serentak. Jadi setiap jawapan yang kami beri kadang-kala saling kait-mengait. Dan jika ada yang terlupa, maka jawapan yang diberi oleh kawan, dapat memberi idea untuk berhujah.

Apa-apa pun, temu duga pada hari ini tidaklah membuatkan saya terlalu berharap akan kejayaannya. Bagi saya, sama ada dapat atau tidak jawatan ke DGA 32 Hakiki itu tidak menjadi hal. Yang penting saya terus bergelar guru, sama ada temu duga itu berjaya atau gagal. Maklumlah guru yang menghadiri temu duga itu ramai, manakala tempat yang bakal diisi begitu terhad.

Segala pengalaman yang saya perolehi semasa sesi temu duga pagi tadi sekurang-kurangnya memberi pengalaman baru buat diri saya. Di lain masa, mungkin saya akan lebih bersedia jika dipanggil untuk ditemu duga.

Saturday, October 9, 2010

UPSR dan PMR Format Baru 2016

SYDNEY, 9 Okt - Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) akan menggunakan format baru mulai 2016, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata peperiksaan bagi pelajar Tingkatan Tiga akan dibuat melalui penilaian berasaskan sekolah manakala peperiksaan UPSR bagi murid Tahun 6 akan mempunyai bentuk dan format yang agak berbeza.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata kementerian perlu mengambil masa untuk melaksanakan sistem penilaian yang baru itu kerana pelajar yang ada dalam sistem sekarang tidak boleh dibebani dengan format baru.

"Kalau kita nak mulakan penambahbaikan UPSR dan PMR itu, ia mungkin akan bermula seawal-awalnya pada tahun 2016.

"Pelajar yang telah ada dalam sistem sekarang ini tidak perlu kita hadapkan dengan ujian baru kerana mereka telah berada dalam sistem ini...tapi kohort yang baru masuk mungkin pada 2011, maka ujian yang pertama ialah pada 2016," katanya kepada wartawan Malaysia pada hari Sabtu.

Beliau berkata rundingan ketiga dan terakhir meja bulat mengenai penambahbaikan sistem peperiksaan itu telah selesai dan mereka menerima baik pandangan dan cadangan penambahbaikan yang dikemukakan kementerian.

"Secara kasarnya saya boleh sebutkan, umumnya ramai bersetuju bahawa UPSR itu perlu dikekalkan tetapi mesti ada penambahbaikan manakala bagi PMR pula umum bersetuju ia diganti dengan penilaian berasaskan sekolah.

"Yang penting di sini ialah setiap peringkat kemajuan murid dan pelajar sekolah itu perlu dinilai," katanya.

Muhyiddin berkata antara penambahbaikan yang mungkin dilakukan untuk UPSR ialah 60 peratus penilaian murid akan berasaskan bidang-bidang akademik yang terpilih manakala 40 peratus lagi berdasarkan kokurikulum atau sivik.

Beliau berkata perkara itu akan dibawa ke Kabinet dan maklumat terperinci mengenai penambahbaikan itu akan diumum apabila ia diputuskan secara muktamad.

Mengenai penilaian berasaskan sekolah bagi PMR pula, Muhyiddin berkata Lembaga Peperiksaan akan memainkan peranan penting untuk menyelaras bentuk ujian yang akan dilakukan di peringkat sekolah itu.

"Mungkin dalam masa seminggu lagi kita akan maklumkan secara muktamad," katanya.

Muhyiddin berkata penambahbaikan itu akan memperkukuhkan lagi sistem dan kualiti pendidikan negara, dan tidak dilihat sebagai berasaskan peperiksaan semata-mata.

Beliau berkata program perintis penilaian berasaskan sekolah itu telah dilaksanakan sejak 2008 dan sehingga kini ia melibatkan 550 sekolah.

Penambahbaikan sistem peperiksaan UPSR dan PMR itu akan melibatkan perubahan dari segi kurikulum, buku dan latihan untuk guru, katanya.

- BERNAMA

Wednesday, October 6, 2010

Pergi Tak Kembali

Siti Hawa Taib berdiri paling kanan.
Tepat jam 8:45 pagi, 4 Oktober 2010...kakak ipar saya Hajjah Siti Hawa binti Taib telah kembali ke hadrat Ilahi. Setelah bertahun-tahun berjuang melawan penyakit lukemia yang dihidapinya, akhirnya beliau tewas di pagi Isnin yang lepas.

Beliau merupakan isteri kepada abang sulung saya, Tn Haji Ibrahim bin Musa. Meninggalkan lapan orang cahaya mata dua lelaki dan enam perempuan. Kali terakhir saya berjumpa dengannya ialah pada bulan Mei 2010, ketika menghadiri majlis perkahwinan salah seorang anak perempuannya.

Akibat penyakit lukemia yang dialaminya, beliau telah mengambil keputusan bersara awal dan meninggalkan jawatan di perkhidmatan awam semasa usia 50 tahun. Sebelum itu beliau bertugas di Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) di salah sebuah kem tentera di Kluang, Johor.

Beliau merupakan anak kelahiran Kampung Batu Sawar, Temerloh, Pahang. Anak kedua daripada tiga orang adik-beradik.

Semoga rohnya dilimpahi rahmat dan ditempatkan bersama-sama orang yang soleh. Kepada along dan anak-anak saudaraku...bersabarlah menghadapi ujian ini...Al-Fatihah.