12.10.2010 (Selasa) : Hari ini saya telah menghadiri temu duga DGA32 KUP ke DGA 32 Hakiki. Hal ini merupakan pengalaman ketiga bagi diri saya menghadiri temu duga. Kali pertama saya menghadiri temu duga ialah pada tahun 1984 semasa saya memohon untuk mengikuti latihan perguruan di maktab. Manakala kali kedua saya ditemu duga ialah pada tahun 1988 selepas diterima menjadi seorang guru.
Hari ini adalah temu duga yang ketiga bagi diri saya. Bagi dua temu duga terdahulu, saya menghadap para penemu duga seorang diri. Tapi pada hari ini, saya ditemu duga bersama empat orang guru lain secara serentak. Jadi setiap jawapan yang kami beri kadang-kala saling kait-mengait. Dan jika ada yang terlupa, maka jawapan yang diberi oleh kawan, dapat memberi idea untuk berhujah.
Apa-apa pun, temu duga pada hari ini tidaklah membuatkan saya terlalu berharap akan kejayaannya. Bagi saya, sama ada dapat atau tidak jawatan ke DGA 32 Hakiki itu tidak menjadi hal. Yang penting saya terus bergelar guru, sama ada temu duga itu berjaya atau gagal. Maklumlah guru yang menghadiri temu duga itu ramai, manakala tempat yang bakal diisi begitu terhad.
Segala pengalaman yang saya perolehi semasa sesi temu duga pagi tadi sekurang-kurangnya memberi pengalaman baru buat diri saya. Di lain masa, mungkin saya akan lebih bersedia jika dipanggil untuk ditemu duga.
No comments:
Post a Comment