Thursday, December 31, 2009

Orientasi Murid Tahun 1- SK Seri Makmur


Hari ini, 31 Disember 2009 telah diadakan aktiviti Orientasi Murid Tahun 1 dan Perjumpaan Ibu Bapa Murid Tahun 1 2010.

Saya dan isteri turut membawa anak ketiga iaitu Muhammad Firdaus untuk mengikuti aktiviti tersebut. Oleh kerana saya diberikan tugas untuk mengagihkan buku teks kepada murid Tahun 1 Kecubung, jadi segala urusan pendaftaran anak dan perjumpaan ibu bapa saya serahkan kepada isteri.

Sehingga hari ini, sebanyak 215 borang SMM telah dikembalikan kepada saya, jadi ini bermakna seramai 215 orang murud Tahun 1 akan memulakan persekolahan di SK Seri Makmur pada tahun ini. Sebanyak 6 buah kelas untuk Tahun 1 telah dibuka iatu Zamrud, Delima, Nilam, Kecubung, Topaz dan Baiduri. Anak saya telah ditempatkan di kelas 1 Topaz.

Pelbagai kerenah dapat dilihat pada hari pertama ini...masih ada yang menangis, tapi taklah ramai...mungkin budak ni tak sekolah tadika kut.

Bagi murid tahun 1, hari ini merupakan pengalaman pertama mereka berada di alam persekolahan formal...rasa gementar masih ada... masing-masing duduk di kerusi dan tak berani untuk bergerak ke sana - sini. Eleh, saya yakin lepas seminggu...hemm masing-masing akan menunjukkan kehebatan dan keheroan yang dipendam pada hari ini.

Ibu bapa menemani anak masing-masing di dataran perhimpunan.

Guru kelas Tahun 1 sibuk melaksanakan tugas...mendaftarkan murid-murid kelas masing-masing

Daftar dulu...baru boleh masuk kelas.

Hai Daus ...boring je nampaknye...

Murid Tahun 1 ditempatkan di kelas yang ditetapkan...senyap tak berani nak bergerak...eles seminggu je tu...

Monday, December 28, 2009

Mari Kita Lihat....Siapa Yang Kena ??????

Barisan Pentadbir SK Seri Makmur...sah tak kena..

"Mari kita lihat....siapa yang kena??? Itulah dialog yang pernah diucapkan oleh pelakon Ibrahim Pendek dalam filem Ali Baba dengan 40 orang penyamun.Apa kaitan dialog itu dengan kami guru-guru di SK Seri Makmur.

Sebenarnya pada hari ini 28 Disember 2009, telah diadakan Mesyuarat Guru Pertama untuk sesi persekolahan tahun 2010. Dalam banyak-banyak perkara yang disebut oleh Guru Besar, hanya satu yang tetap bermain di fikiran guru-guru opsyen pengajian Melayu di sekolah ini, iaitu 10 orang guru opsyen pengajian Melayu terpaksa ditukarkan ke Lembah Klang pada minggu ini.

Berkerut muka Guru Besar...menahan sedih dan hiba...terkedu guru-guru pengajian Melayu...buat pertama kali guru-guru akan ditukar secara paksa...bukan dalam daerah tetapi ke bandar...Lembah Klang.

Bagi saya yang menjadi salah seorang calon iaitu guru yang opsyen pengajian Melayu sudah tentu sentiasa dalam debaran. Ya... Allah, janganlah aku menjadi salah seorang yang terpilih menjadi sepuluh budak hitam itu. Bukan saya tidak sanggup...tetapi di hujung perkhidmatan ini biarlah saya terus di sini... di daerah kelahiran sendiri, tinggal di rumah sendiri.

Walaupun pelbagai alasan telah diberi oleh Guru Besar bagi menyelamatkan guru-gurunya...namun bagi pihak atasan opsyen lebih diutamakan daripada pengalaman berpuluh tahun mengajar sesuatu subjek itu. Cuba anda bayangkan seorang guru yang telah mengajar Sains atau Matematik selama lebih 20 tahun, menjadi pemeriksa kertas peperiksaan lagi dan sering dipanggil oleh sekolah lain untuk memberi motivasi dan teknik menjawab soalan sains atau matematik adakah masih tidak layak untuk mengajar subjek tersebut...walaupun opsyennya pengajian Melayu... lu fikirlah sendiri...kata si Nabil Si Raja Lawak.

Gembira sangatkah guru-guru opsyen bahasa Inggeris yang bakal diangkut ke Sabak Bernam nanti... saya rasa tentu mereka akan merasa seperti apa yang kami rasa.

Saya tidak dapat bayangkan...apa akan berlaku nanti bila si isteri atau si suami terpaksa dipisah-pisahkan sebegitu rupa...ahhh...sukar untuk saya bayangkan. Bagaimana kalau saya yang terkena????..Sudah tentu prestasi untuk mengajar akan menjadi rendah...ya..la nak fikir dan selesaikan macam-macam hal yang telah ditinggalkan...kan..kan.. Apa-apa pun kita LAYANNNNNN je la.....malas nak cakap dah...titik.

Adakah ada di antara mereka ini yang bakal terkena?

Atau mereka ini....

Atau aku..........hentamlah lah belalang...

Thursday, December 24, 2009

Percutian Terakhir ...2009

A..ha..inilah hotel penginapan kami sekeluarga, Marina Cove Lumut, Teluk Batik.

Setelah berminggu-minggu bercuti di rumah... ha, hari ini saya nak bawa keluarga bercuti di Teluk Batik. Sebab apa Teluk Batik menjadi destinasi saya... sebab anak-anak suka berkubang lah. Kalau bercuti ke tempat tak de air, jawabnya merungut ajelah sepanjang dalam kereta...itu le bebudak yang duduk di taman perumahan...asyik nak cari air untuk berkubang je tahunya.

Tepat pukul sebelas saya memulakan perjalanan ke utara...sampai di Seri Manjung..pukul 12.30 tengah hari...makan di restoran kegemaran...restoran ini di perkenalkan dek Cikgu Mahyudin SRJK C Yoke Kuan... bila kami berkursus di Coral Bay Pangkor... restoran inilah tempat kami makan tengah hari...harga dan rasa ...ok la.

Saya cuba mencari hotel yang sesuai... aaa haa..kereta pun dicornerkan ke Marina Cove...sebab ada taman tema...Marina Water Park...memang sesuai untuk anak-anak bermandi - manda.

Petang itu saya membawa anak-anak bermandi manda di Marina Water park...kena bayar wee..RM7 seorang...boleh mandi sampai kecut dan merah biji mata. Puas mandi, saya membawa pula anak-anak ke Lumut Waterfront. Dapatlah menikmati keindahan di situ sambil melihat feri-feri ke Pulau Pangkor silih berganti membawa penumpang...oh dah banyak berubah rupanya suasana di Lumut ni...kedainya dah tersusun dan cantik. Makan malam di Lumut dan membeli barang-barang untuk dibawa pulang...biasala kalau ke Lumut ini keropok berasaskan ikan , sotong dan udang mesti beli punya...tak ketinggalan ikan bilis mata biru dari Pulau Pangkor...mesti beli punya...woo harga dah mencecah RM40 lebih sekilo.Balik dari Lumut terus ke Teluk batik...jalan-jalan cari makan...

Malam dah kepenatan...anak-nak beriya-iya nak mandi kolam pada waktu malam. Ya, la asyik tengok je bebudak berkubang dari balconi. Tapi saya pujuk, supaya mandi esok pagi. Makanan ringan yang di beli di Lumut dah habis dimakan dek anak-anak.. tak dapat nak bawa balik. Anak-anak tidur lena...dalam kesejukan hawa dingin....kesihan baru rasa tidur dalam bilik sejuk.

Selepas sarapan...oh kena bayar lagi untuk dua orang sebab hanya empat orang sahaja yang dapat sarapan percuma...Selepas sarapan anak-anak pun bermandi manda di kolam. Mandilah puas-puas, bukan senang kauorang nak mandi di hotel ini. Tengah hari terpaksa pergi ke Teluk Batik kerana anak-anak nak lagi makanan ringan...terpaksa lah pulak pergi ke sana...tak jauh sangat, cuma dalam satu kilometer je.

Di Marina Cove...pembinaan masih terus berjalan...kelihatannya chalet-chalet ala pohon palma seperti di Dubai dan Tanjung Lalang masih dalam pembinaan. nanti kalau dah siap ha..boleh lah cuba duduk...

Geramnya tengok air kolam...tak sabar nak mandi..he..he..he..opp syabar belum check in lagi..

Berehat di tepian kolam renang di Marina Cove

Berendam bersama anak-anak di kolam air masin di Marina Water Park.. di sini lebih selamat tanpa pukulan ombak.

Pemandangan di Marina Water Park

Merakam kenangan di Balconi Marina Cove

Menikmati hembusan bayu di Lumut Waterfront

Anak-anak merakam kenangan di Teluk Batik

Tuesday, December 22, 2009

6600 Pelajar Ke Asrama Penuh

Kuala Lumpur- Hanya 6600 pelajar daripada 95286 permohonan terpilih untuk meneruskan pengajian mereka ke Tingkatan Satu sekolah berasrama penuh (SBP) bagi 2010.

Ketua Pengarah Pelajaran , datuk Alimuddin Mohd Dom berkata, pengumuman mengenai mereka yang berjaya itu akan dibuat hari ini.

"Semakan dan keterangan lanjut mengenai kemasukan ini boleh dibuat secara online dengan melayari laman web www.moe.gov.my manakala bagi yang tidak berjaya mendapat tempat, mereka boleh membuat rayuan secara online di e-rayuan," katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Menurutnya, tempoh rayuan adalah 20 hari, bermula dari hari ini hingga 12 Januari, namun keputusan rayuan tertakluk kepada kekosongan tempat yang ada setelah proses pendaftaran murid yang menerima tawaran dibuat pada 11 Januari.

Seramai 517,908 murid darjah enam menduduki peperiksaan UPSR tahun ini dan daripada jumlah itu seramai 48,171 berjaya memperolehi A bagi setiap mata pelajaran yang diambil. dipetik daripada akbar Sinar Harian Edisi Selangor Kuala Lumpur 23.12.2009.

Thursday, December 17, 2009

Selamat Datang 1431 Hijrah



Ketika kita berhijrah ke dunia, kita menangis sementara orang di sekeliling kita senyum kegembiraan.
Pastikan baki hidup kita penuh makna di sisi Allah supaya apabila tiba saat kita berhijrah untuk meninggalkan dunia ini, orang di sekeliling kita pula akan menangis kerana kehilangan kita sementara kita pula senyum menunggu ajal kerana telah berusaha dengan bersungguh-sungguh di dunia demi mencari keredhaan Allah.
salam Maal Hijrah daripada saya sekeluarga...

Friday, December 11, 2009

Menanti Dalam Debar

Adakah keceriaan semasa menerima slip keputusan ini akan berterusan apabila keputusan petempatan ke asrama penuh diumumkan kelak???

"Menanti Dalam Debar" itulah ungkapan yang paling sesuai ditujukan kepada 49 orang murid SK Seri Makmur yang telah mendapat keputusan 5A dalam UPSR 2009 yang lalu. Mengikut rekod tidak ramai yang akan terpilih untuk ditempatkan ke sekolah-sekolah berasrama penuh.
Itulah realiti yang terpaksa dihadapi oleh mereka. Saingan dari murid-murid yang mendapat 5A dari kawasan perkampungan yang terdapat di dalam daerah ini menjadikan mereka calon yang tidak berapa diberi perhatian dan pertimbangan.
Walaupun mendapat kelulusan yang setarap, mereka jarang mendapat peluang untuk ke asrama penuh... pada hal SK Seri Makmur bukanlah sekolah dalam kawasan bandar. Kebanyakan murid-muridnya hanya akan meneruskan pelajaran di SMK Sungai Besar.
Mungkin itu satu strategi Jabatan Pelajaran untuk menjadikan SMK Sungai Besar salah satu sekolah yang terunggul di daerah ini setaraf dengan gelarannya Sekolah Bestari.
Walau apapun... apa yang saya harapkan mereka akan tetap bersemangat untuk mencapai kecemerlangan walaupun di mana mereka belajar...sama ada di sekolah berasrama penuh, ataupun di sekolah harian biasa...Usaha tangga kejayaan....

Sunday, November 29, 2009

Temerloh Waterfront


Setelah beberapa hari bercuti di Temerloh...anak - anak sudah mula menampakkan kebosanannya. Yalah...berperap je di dalam rumah, sudah tentu membuatkan mereka mati kutu. Di Temerloh ni asyik hujan je...jadi tak dapat nak berjalan - jalan.
Apa pun pada petang tadi saya sempat membawa anak-anak bersiar-siar di Temerloh Waterfront. Gembira terpancar di wajah mereka. Dikesempatan ini juga saya membenarkan mereka menimba pengalaman menaiki bot penambang. Dengan bayaran RM20.00 mereka telah dibawa bersiar-siar menaiki bot menyusuri sungai Pahang dan sungai Semantan.
Oleh kerana Temerloh Waterfront ini terletak di pertemuan Sungai Pahang dan Sungai Semantan, jadi arusnya agak deras...tambahan pula keadaan air sungai yang agak dalam selepas hujan.
Anak-anak juga dapat melihat sendiri kehidupan penghuni rumah rakit. Di zaman serba maju ni, masih terdapat keluarga yang hidup di rumah rakit. Tapi jumlahnya mungkin sudah berkurangan. Yalah nasib manusiakan... mereka terpaksa kerana tidak mempunyai tanah...ataupun mereka memang selesa hidup begitu.


Rumah rakit yang masih terdapat di Temerloh,



Friday, November 20, 2009

Anugerah Kecemerlangan SK Seri Makmur 2009



19 November 2009, Khamis - Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar SK Seri Makmur telah diadakan pada hari ini. Acara tahunan ini telah dirasmikan oleh Tn. Hj. Mokhtar bin Manijo Timbalan Pegawai Pelajaran Daerah Sabak Bernam.
Para pelajar yang berjaya telah dianugerahi sijil dan hadiah sebagai satu penghargaan kepada hasil usaha mereka selama ini. Semoga mereka akan terus cemerlang pada masa hadapan. Bagi murid-murid yang belum berjaya...ayuh tingkatkan usaha anda, agar anda akan menjadi salah seorang yang akan diraikan pada tahun hadapan. "Usaha Tangga Kejayaan.

Rakaman Kegembiraan:

Pasukan Kompang SK Seri Makmur menunggu ketibaan perasmi.


Tuan Guru Besar Puan Hajjah Sariah binti Sidek dan GPK Petang Puan Hajjah Nor Ayerzati binti Awang menyambut tetamu yang hadir.


Ucapan Perasmian oleh Tn. Hj. Mokhtar Manijo Timbalan Pegawai Pelajaran Daerah Sabak Bernam.


Tokoh Pelajar Prasekolah


Tokoh Pelajar Mithali Lelaki:Luqman Azim bin Arbain, Perempuan : Nor Filzati binti Mukdir


Tokoh Pelajar Cemerlang Kokurikulum Lelaki: Muhammad Faiz Fikri bin Ismail, Perempuan:Nur Ainan Najihah binti Mohd Sobari


Tokoh Pelajar Cemerlang Akademik Lelaki: Muhammad Amirul Hafiz bin Mohd Zulkifli, Perempuan: Nur Ain Nabilah binti Ash'ari


Tokoh Pelajar akan menerima hadiah iringan sebuah basikal sumbangan daripada PIBG.


Tokoh Pelajar SK Seri Makmur Tahun 2009 : Nur Nadiah binti Basir

Wednesday, November 18, 2009

Tahniah Di Atas Kejayaan UPSR 2009..49 Orang 5A



19 November 2009 ,Khamis- Tahniah di ucapkan kepada murid-murid SK Seri Makmur , Sungai Besar, Selangor kerana seramai 49 orang murid telah mendapat 5A dalam peperiksaan UPSR 2009.
Nampaknya segala hasil usaha dan penat lelah murid-murid serta guru-guru terutama guru-guru tahun 6 menghasilkan sesuatu yang memberangsangkan.
Kepada murid-murid yang tidak mendapat 5A juga diucapkan tahniah..kerana UPSR adalah permulaan untuk perjalanan yang masih jauh...
Setiap murid yang mendapat 5A telah menerima wang tunai sebanyak RM70 seorang... Slip keputusan dan wang telah disampaikan oleh En. Mokhtar bin Manijo Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Sabak Bernam sempena Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar pada hari ini.

Murid-murid yang mendapat 5A pada tahun ini:



Sunday, November 15, 2009

Pening Lagi...Aku..



16 November 2009,Isnin- Setelah menempuh perjalanan berliku sejauh 60 km, akhirnya sampai juga saya bersama empat lagi rakan ke Hotel Rosa Passadena Brincang, Cameron Highland, Pahang. Untuk selama tiga hari dari 15 hingga 17 November 2009,kami guru-guru data SMM akan berkampung di sini bagi memantapkan lagi data SMM Daerah Sabak Bernam.
Fuhh..yooo..setelah proses installasi program Data versi 4 dilakukan..pening yang telah bersarang di kepala akibat perjalanan yang berliku bertambah perit apabila melihat banyak data yang telah dibuat di Data SMM versi 3.02 tidak dapat diconvert ke program baru.
Hah...nampaknya terpaksalah saya sekali lagi bersengkang mata untuk memasukkan data yang telah hilang itu...hai, bukan senang nak mengendalikan data murid seramai 1352 orang ni..silap-silap boleh bikin mereng kepala otak dibuatnya.
Apa pun yang penting syabar je lah...buat alon-alon lama-lama bereslah..kan..kan..

Klik Kamera di Rosa Passadena:

Kepala kembali pening apabila mendapati Data SMM versi 4 masih banyak ruang yang kosong

Noor Fadzliah dari SK Teluk Ru sibuk melengkapkan data SMM Versi 4

Bertanya khabar setelah lama tidak bertemu

Berehat di lobby hotel.

Cikgu Mohd Khusaini dari SK Pasir Panjang kusyuk memasukkan data....

Bergambar kenangan sebelum berangkat pulang. Dari kiri Ustaz Abdullah SK Sungai Leman,Cikgu Mohd Khusaini SK Pasir Panjang, Cikgu Mohd Yusof SK Simpang Lima, Cikgu Azhar SK Sungai Limau,dan saya Cikgu Zainon Abidin SK Seri Makmur.

Friday, November 6, 2009

Majlis Konvokesyen Tabika


7 November 2009,Sabtu- Hari ini anak ketiga saya iaitu Muhammad Firdaus terlibat untuk mengambil sijil sempena Majlis Konvokesyen dan Kecemerlangan Pelajar Tadika Kemas bagi Parlimen Sungai Besar. Majlis ini telah dilansungkan di Dewan Simpang Lima Sungai Besar, Selangor. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YB Puan Noriah binti Kasnon, Timbalan Menteri Tenaga Teknologi Hijau dan Air merangkap ahli Parlimen Sungai Besar, Selangor.

Setelah dua tahun belajar di Tabika Permata Hati, Taman Padu Permai, Sungai Besar akhirnya anak saya Muhammad Firdaus dan rakan-rakannya dianugerahkan sekeping sijil...tahniah daripada ayah dan ibu. Terima kasih kepada guru-guru yang begitu sabar mendidik dan membimbing anak saya. Dipohon kemaafan di atas kesilapan dan kenakalannya..

Antara rakaman peristiwa:

Bersedia untuk mengambil sijil

Antara ibu bapa yang hadir

Beratur untuk mengambil sijil

Para pelajar bersama sijil yang diperolehi

Kenangan bersama ibu masing-masing

Muhammad Firdaus bersama sijil yang diperolehi

Kenangan bersama Muhammad Firdaus selepas mengambil sijil.