Sunday, February 6, 2011

Membelah Banjaran Titiwangsa Amat Menyesakkan


Hari ini, selesai sahaja menunaikan solat Zuhur di rumah ibu mertuaku di Seberang Temerloh, aku terus memulakan perjalanan pulang ke rumah di Sungai Besar, Selangor. Biasanya aku hanya mengambil masa lebih kurang 4 jam sahaja untuk sampai ke rumah. Tetapi tidak untuk hari ini.

Dari Temerloh, aku mengambil keputusan tidak menggunakan Lebuhraya Pantai Timur, kerana aku sudah melihat semalam deretan kenderaan bergerak perlahan di Tol Karak. Hampir dua kilometer kenderaan berpusu-pusu menghala ke Kuala Lumpur.

Aku menggunakan jalan Persekutuan dari Temerloh ke Karak. Apabila tiba di Karak, aku masuk ke Lebuhraya Karak Kuala Lumpur. Walaupun banyak kenderaan, namun kelajuan masih lagi 90 km sejam. Tetapi tiba-tiba aku dapati kenderaan di hadapan semakin banyak dan mula menjadi sesak. Aku sangka tentu ada kemalangan di hadapan. Tetapi tiada. Setelah agak lama memandu dengan kelajuan hanya 20 km sejam, barulah aku perasan kesesakan itu disebabkan jumlah kenderaan yang terlalu banyak. Tol Bentong mungkin menjadi punca kesesakan.

Selepas melepasi tol Bentong, aku dapati aliran kenderaan masih tidak berubah. Dalam keadaan lebuhraya yang berbukit bukau itu, menambahkan lagi kesesakan. Pemanduan bukan lagi 20 km sejam, tetapi sudah mula terhenti-henti. Lebuhraya 2 lorong telah mula menjadi 3 lorong. Sikap pemandu yang tidak sabar, telah memotong Q, dan terbentuklah satu lagi barisan kenderaan. Hal ini menjadikan kesesakan semakin parah. Banyak kenderaan sudah mula berhenti di tepi lebuhraya..mereka sudah tidak mampu mengharungi situasi ini. Pertama kali sepanjang 19 tahun aku melalui lebuhraya ini...hari inilah kesesakan begitu amat teruk.

Mujurlah pihak MTD yang mengendalikan lebuhraya ini mengambil langkah drastik. Satu lencongan telah dibuat di Lentang. Kenderaan ke Kuala Lumpur dilencongkan ke lebuhraya yang menghala ke Karak. Sebelah lebuhraya arah Karak digunakan oleh kenderaan ke Kuala Lumpur. Barulah aku dapat memandu lebih laju sedikit iaitu antara 60 ke 70 km sejam. Namun apabila sampai ke Bukit Tinggi, kenderaan yang dilencongkan kembali masuk semula ke arah Kuala Lumpur. Cukup menyiksakan dalam keadaan mendaki..kenderaan sering terhenti-henti. Kalau lesen jenis beli ...tentu ada yang terundur ke belakang. Aku terpaksa mengharungi situasi ini hingga ke Terowong Genting Sempah.

Alhamdulillah, selepas melepasi terowong...laluan agak lega. Tak tahu ke mana menghilangnya kereta yang banyak tadi. Tiba-tiba sahaja pemanduan menjadi ok. Mungkin di sini lebuhrayanya tiga lorong. Namun dua km sebelum sampai ke tol gombak..situasi menjadi sesak kembali...aku tersangkut lagi di sini. Akhirnya dapat juga aku melepasi kesesakan yang amat teruk ini.

Aku hanya tiba di rumah pada pukul 7.40 malam, selepas mengharung 7 jam pemanduan yang meletihkan. Jika tiada kesesakan, biasanya aku boleh sampai ke rumah pada pukul 5 petang. Namun aku tetap bersyukur kerana selamat dalam perjalanan ini.

No comments: