Sunday, June 27, 2010

Mesyuarat Agung KOSPEP Tahun 2010

27.6.2010 ( Ahad) - Hari ini telah berlangsung Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi Serbaguna Perkhidmatan Pendidikan Sabak Bernam Berhad (KOSPEP) kali ke - 25. Mesyuarat ini berlangsung di Dewan Tun Abdul Razak, Sabak Bernam, Selangor. Lebih kurang 782 orang ahli telah hadir pada kali ini. Mesyuarat ini dirasmikan oleh Penolong Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Wilayah Sabak Bernam/Kuala Selangor.

Beberapa perkara baru telah dicadangkan dalam mesyuarat kali ini iaitu:

Satu cadangan agar KOSPEP memberi sagu hati kepada ahli yang pergi menunaikan fardu haji sebanyak RM500.00 telah dipersetujui sebulat suara.

Cadangan dari Ahli Lembaga Koperasi untuk memberhentikan potongan dana pendidikan sebanyak RM10.00 mulai bulan Oktober 2010 juga dipersetujui sebulat suara. Hal ini dilakukan kerana dana pendidikan kini telah mencecah 0.75 juta ringgit dan mencukupi untuk keperluan ahli. Bagi ahli yang mempunyai anak yang masuk ke universiti bolehlah memohon pinjaman dana pendidikan ini sebanyak RM3000.00 bagi setiap anak. Pinjaman ini perlu dibayar balik tanpa dikenakan sebarang faedah.

Bagi dividen pada tahun 2009, koperasi akan membayar mulai 1 Ogos 2010. Pada tahun 2009, KOSPEP telah membayar sebanyak 10 % dividen kepada ahli. Jumlah ini berkurangan jika dibandingkan dengan dividen sebelum ini di mana dividen KOSPEP tidak pernah kurang daripada 15%. Mungkin kelembapan ekonomi memaksa KOSPEP mengurangkan dividen tersebut. Namun begitu jumlah tersebut masih tinggi jika dibandingkan dengan dividen dari institusi lain.

Semoga KOSPEP terus maju dan berjaya pada masa hadapan dan seterusnya dapat memberi perkhidmatan yang terbaik kepada semua ahli. Kepada guru-guru yang berkhidmat di Sabak Bernam yang masih belum menjadi ahli...bertindaklah sekarang dengan menjadi ahli...banyak kebaikan yang kita perolehi daripadanya.

No comments: