Friday, February 5, 2010

Road Run 2010 SK Seri Makmur



Hari ini 6 Februari 2010 (Sabtu) telah berlangsung acara Road Run peringkat sekolah. Aktiviti ini dilaksanakan bagi mencari peserta yang bakal mewakili sekolah ke peringkat daerah. Seramai 620 orang murid tahap 2 dan pendidikan khas telah menyertai aktiviti ini.

Acara bermula pada pukul 8:00 pagi dan berakhir kira-kira pukul 10:30 pagi. Para peserta dibahagi kepada dua kategori iaitu lelaki dan perempuan. Para pemenang dari tempat pertama hingga kedua puluh telah menerima hadiah bagi septiap kategori. Di samping itu cabutan 20 nombor bertuah telah diadakan bagi para peserta berdasarkan nombor pada baju larian. Dengan ini pembuangan nombor dapat dielakkan dan seterusnya keadaan padang tidaklah dipenuhi sampah sarap.

Peserta lelaki dilepaskan lebih awal kerana jarak larian mereka sejauh 5 km. Diikuti peserta perempuan dilepaskan lima minit kemudian. Guru besar telah diberi penghormatan melepaskan para peserta. Namun begitu peserta perempuan telah sampai ke garisan penamat lebih dahulu berbanding peserta lelaki. Walaupun masa selama lima minit diberikan selepas peserta kedua puluh sampai, namun tidak ramai peserta lelaki yang berjaya tiba. Hal ini demikian, peserta lelaki lebih berminat untuk bersantai dengan berjalan kaki berbanding berusaha untuk berlari.

Pihak ahli jawatankuasa mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua warga SK Seri Makmur di atas kerjasama yang diberi sehingga aktiviti ini dapat dilaksanakan dengan jayanya. Tahniah diucapkan kepada para peserta yang berjaya dan kepada yang belum berjaya cuba lagi pada tahun hadapan.

Rakaman kenangan:




No comments: